The Malaysian Insider

Bahasa

Israel, Palestin setuju jumpa setiap dua minggu selesai konflik

Sep 03, 2010

(Dari kiri) Netanyahu, Clinton, Abbas, dan Mitchell menghadiri sebuah sidang media selepas hari pertama rundingan damai Israel-Palestin di Washington 2 September 2010. — Foto Reuters
WASHINGTON, 3 Sept — Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas bersetuju untuk bertemu di rantau mereka sendiri 14 dan 15 September ini dan seterusnya mengadakan pertemuan setiap dua minggu bagi menyelesaikan konflik mereka.

Perkara itu diumumkan oleh utusan damai Amerika Syarikat ke Asia Barat George Mitchell semalam.

Mitchell dan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton akan menyertai pertemuan susulan itu.

Bagaimanapun menurut Mitchell, belum ada keputusan mengenai lokasi pertemuan tersebut.

Ia diputuskan pada pertemuan pertama semalam selepas 20 bulan tertangguh.

Clinton membuka sesi perundingan langsung membabitkan kedua-dua Israel dan Palestin di sini, semalam.

Menurut beliau, kehadiran kedua-dua pihak adalah langkah bermakna untuk bergerak ke depan.

“Dengan berada di sini hari ini, anda telah mengambil langkah penting untuk mewujudkan keamanan dan maruah, yang hanya anda sahaja boleh wujudkan,” kata beliau pada awal perundingan yang diadakan di Jabatan Negara di sini.

Dalam pada itu, Malaysia mengalu-alukan pusingan baru rundingan damai antara Israel dan Palestin, tetapi tidak begitu yakin yang rundingan itu akan membuahkan keputusan yang diingini dan diterima oleh penduduk Palestin dan masyarakat antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay, semasa dihubungi Bernama berkata berdasarkan rekod lampau Israel dalam rundingan damai, Kuala Lumpur tidak begitu yakin bahawa rundingan terbaru itu akan membuahkan keputusan yang diinginkan.

“Sudah pasti, rundingan ini merupakan perkembangan baik dan Malaysia juga berharap akan membuahkan hasil yang positif. Dalam soal ini, Israel perlu benar-benar serius dan jujur,” katanya semasa mengulas pusingan baru rundingan Israel-Palestin yang sedang berlangsung di Washington, rundingan pertama antara kedua-duanya dalam tempoh hampir dua tahun.

Rundingan Israel-Palestin terbantut kira-kira dua tahun lepas, tetapi pada bulan lepas kedua-dua pihak menerima pelawaan Amerika Syarikat dan negara kuasa besar lain untuk menyambung semula rundingan itu.

Kohilan Pillay berkata Amerika Syarikat, sebagai penyokong kuat Israel, perlu memberikan lebih tekanan ke atas Israel bagi membolehkan masalah Palestin yang sudah berlarutan sekian lama diselesaikan secara aman.

Beliau berkata Israel juga perlu menghentikan semua aktiviti penempatan di tanah penduduk Palestin yang dirampas.