The Malaysian Insider

Bahasa

Jawatankuasa Fatwa: perhimpunan “mencetus huru-hara” adalah haram

May 06, 2012
SEPANG, 6 Mei — Adalah haram buat umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasti yang bertujuan tidak baik, kata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini.

Bernama melaporkan jawatankuasa itu memandang serius isu perhimpunan itu di mana adanya umat Islam menjadi perusuh jalanan, seperti dalam perhimpunan Bersih 28 April lepas.

Pengerusi jawatankuasa itu, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dipetik berkata: "Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah."

Abdul Shukor berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu.

Beliau juga menyarankan umat Islam yang menyertai demonstrasi itu untuk "insaf" kerana tindakan mereka "bukan daripada ajaran Islam".

Turut dibincangkan dalam muzakarah itu adalah gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Transeksual (LGBT), yang kata beliau, tidak memerlukan fatwa kerana jelas haram di sisi Islam.

Abdul Shukor berkata umat Islam diminta tidak terlibat secara langsung dengan sebarang gerakan, sokongan atau kempen mengenai LGBT. Malah, katanya, menunjukkan sokongan dan simpati kepada LGBT juga haram.

"Tugas menghapuskan gejala ini adalah tugas semua umat Islam dan jika kita sokong perkara yang tidak baik itu dikatakan bersubahat dan berdosa jawabnya," katanya.

Beliau juga menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan untuk menyekat "gejala seks songsang" LGBT daripada terus berleluasa.

Namun beliau juga berkata, pemimpin, individu atau media dinasihatkan untuk hentikan sikap mendedahkan perkara-perkara keji yang didakwa dilakukan mana-mana pihak.

Abdul Shukor berkata, "Ini kerana perbuatan mendedahkan keaiban orang lain lebih-lebih lagi yang berkait dengan hubungan seksual amat ditegah Islam. Jika bertujuan untuk menghapuskan kemungkaran, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas."