KUALA LUMPUR, 25 Julai — Kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hanya memperuntukkan sejumlah RM3,000 sahaja untuk perbelanjaan pengurusan bagi Gabungan di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK), kata exco Belia dan Sukan, Kesenian,Warisan dan Kebudayaan Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib.
Hamdan yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, dengan jumlah peruntukan sedemikian, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu cuba sedaya upaya untuk melaksanakan program dengan memaksimumkan penyertaan aktiviti kesenian bagi mengurangkan belanja pengurusan.
Bagaimanapun, Hamdan turut menjelaskan, Kedah juga tidak pernah meminggirkan golongan artis, sama ada daripada pelakon, penyanyi, mahupun pelukis dalam pentadbiran setiap negeri yang dipimpin mereka.
"Kita tidak pernah abaikan golongan artis dan seniman ini. Malah seperti di Kedah, kami bekerjasama dengan agensi bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hasil seni dan kebudayaan, iaitu MKNK, yang mana di dalamnya turut melibatnya penyertaan pelukis, penari, penyanyi, termasuk kebudayaan Siam," kata Hamdan.
Sebaliknya, beliau turut menjelaskan, masalah yang timbul hanyalah dari aspek kewangan kerana mereka sukar mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Pusat, sebaliknya perlu menggunakan dana dan peruntukan sedia ada secara berhemah dan efisen.
"Melalui NGO ini, setiap aktiviti kebudayaan dan kesenian dapat dijalankan dengan teratur. Bagaimanapun, atas faktor kekurangan sumber kewangan, kami perlu menggabungkan beberapa aktiviti supaya ianya lebih praktikal dan menjimatkan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelas Adun Tanjung Dawai ini lagi, RM 3000 itu sangat terhad untuk menjalankan aktiviti kesenian yang besar.
"Kerajaan negeri susah nak dapat peruntukan daripada kerajaan pusat, jadi hanya gunakan apa sahaja yang termampu.
"Kalau nak jimat, kami perlu menggabungkan beberapa program menjadi satu. Ia dapat mengurangkan kos pengurusan," katanya lagi mengulas kenyataan kartunis Zunar sebelum ini yang mengharapkan kerajaan PR akan memberi lebih kebebasan kepada artis untuk berkarya.
Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque sebelum ini mengharapkan PR akan menyediakan ruang bagi golongan artis yang menyertai mereka untuk berkarya.
“Sepatutnya sekarang sudah tak ada masalah sebab PR dah ada empat negeri; Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan ... dan masalah dana sudah tidak timbul, ruang untuk buat persembahan atau bekarya pun banyak, tak macam dulu waktu 1998," katanya kepada The Malaysian Insider.
Menurut Zunar lagi, PR perlu menyokong golongan artis yang menyertai mereka untuk berkarya, bukannya hanya setakat berdiri di pentas ceramah politik semata-mata.
“PR kena sokong artis ni berkarya, ceramah ke hulu-ke hilir tak beri impak besar ... kita ada Bob Lokman sebagai penulis lirik, Sham Kamikaze boleh buat lagu dan Aisyah pula boleh menyanyi.
“Kan mantap tu? Rugi kita biarkan bakat artis ini terpendam dengan ceramah setiap malam,” kata Zunar lagi.
Bagaimanapun, Hamdan turut menjelaskan, Kedah juga tidak pernah meminggirkan golongan artis, sama ada daripada pelakon, penyanyi, mahupun pelukis dalam pentadbiran setiap negeri yang dipimpin mereka.