The Malaysian Insider

Bahasa

Kementerian minta sector swasta sediakan biasiswa bidang kesenian, kebudayaan

Sep 03, 2010

KUALA LUMPUR, 3 Sept —Sektor swasta harus menyediakan lebih banyak biasiswa untuk pelajar pascaijazah dalam bidang kesenian dan kebudayaan, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan bidang kesenian dan kebudayaan yang telah sekian lama dipinggirkan, kini menjadi asas kepada pelbagai strategi pembangunan yang memerlukan aspek kreativiti untuk mencergaskan ekonomi.

“Biasiswa tidak wajar ditawarkan untuk bidang seperti perniagaan, sains dan teknologi semata-mata, tetapi juga harus menyokong pertumbuhan bidang kesenian dan kebudayaan dengan menyediakan peluang kepada pelajar pascaijazah yang berminat dalam bidang tersebut,” katanya, di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu menyampaikan biasiswa ‘Maxis Scholarship Excellence Awards’ (MSEA) kepada penerima, berkata program seperti MSEA itu memberi peluang kepada golongan muda Malaysia untuk memenuhi potensi mereka dan menyumbang kepada wawasan negara.

“Saya difahamkan bahawa pogram biasiswa Maxis telah menghantar pelajar mengikuti pengajian pascaijazah dalam bidang seperti antropologi dan etnografi muzium serta kesenian liberal, dan salah seorang daripada mereka kini bekerja di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara,” katanya.

Seramai 29 orang terdiri daripada pelanggan dan kakitangan Maxis serta anak-anak mereka menerima biasiswa itu yang membolehkan mereka melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana muda dan pascaijazah di universiti di dalam dan luar negara.

Sebanyak RM20 juta diperuntukkan oleh Maxis untuk program yang diperkenalkan pada 2005 dan sehingga kini memberi manfaat kepada  22 pelajar pascaijazah dan 87 pelajar peringkat sarjana muda. — Bernama