The Malaysian Insider

Bahasa

Mansuh duti eksais, khuatir wujud cukai baru, kata DPMM

Jul 26, 2012

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, (DPMM) melihat cadangan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli untuk memansuhkan duti eksais kereta jika mereka berjawa menawan Putrajaya bakal menyaksikan kerajaan akan berdepan dengan masalah kehilangan sumber pendapatan.

Rafizi Ramli telah berkata bahawa PR akan menghapuskan duti eksais kereta jika menang pilihan raya akan datang.Presiden Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Al Jeffri yang dihubungi The Malaysian Insider menjelaskan, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan pada masa itu mungkin akan memperkenalkan cukai baru bagi mengatasai kekurangan sumber pendapatan.

“Jika duti eksais dimansuhkan, dari aspek positifnya, harga kereta akan menjadi betul-betul murah. Namun perlu diingat, kesan lainnya adalah pendapatan kerajaan juga akan berkurang.

“Bagi mengatasi masalah ini, mungkin kerajaan ketika itu akan mengenakan cukai dalam bentuk yang lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Syed Amin turut menambah, duti eksais yang dikenakan kepada pembeli kereta sekarang ini adalah berdasarkan kapasiti enjin sesebuah kereta tersebut, dan kadar cukai adalah berbeza mengikut saiz enjin.

“Duti eksais ini dikenakan mengikut saiz enjin. Mereka berpendapatan tinggi biasanya akan dikenakan cukai yang tinggi kerana membeli kereta besar, mewah ... tapi mereka yang berpendapatan rendah hanya beli kereta ikut kemampuan, jadi cukai pun rendah.

“Jika dimansuhkan, berkemungkinan kadar cukai yang dikenakan nanti akan sama rata, tanpa mengira perbezaan taraf pendapatan. Itu kita tidak pasti,” tambahnya.

Namun jelas Syed Amin, beliau percaya kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang sudah semestinya tidak sewenang-wenangnya memperkenalkan duti eksais tanpa membuat perkiraan yang menyeluruh.

“Kerajaan Malaysia tidak sewenang-wenangnya buat keputusan itu ... sebab itu (kereta) dikenakan cukai. 

“Kalau nak mansuh atas dasar emosi, susahlah ... pendapatan (negara) tetap perlu diganti,” katanya lagi.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Datuk Zainuddin Abd Rahman sebelum ini menyambut baik cadangan PR berkenaan, namun menegaskan, yakin janji yang ditabur PR itu tidak akan dapat ditunaikan kerana menurutnya, pembangkang itu hanya gemar menabur janji, tapi jarang untuk menepatinya.

“Saya tidak yakin mereka akan laksanakannya,” kata Zainuddin kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR mengumumkan, PR akan memansuhkan duti eksais kereta jika mereka memenangi pilihan raya ke-13 akan datang.

Katanya, perkara ini sudah dibincangkan oleh pemimpin tertinggi PR dan akan dibawa secara serius untuk dijadikan manifesto untuk pilihan raya akan datang.