The Malaysian Insider

Bahasa

MB Kedah: AUKU tetap dilaksanakan di KUIN

Jan 19, 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan tetap dikenakan terhadap mana-mana mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang melakukan kesalahan.

Jelas Azizan, isu sama ada KUIN melaksanakan AUKU ke atas mahasiswa yang melakukan kesalahan bukan isu besar sebaliknya ia boleh diselesaikan secara baik.

Beliau berkata penggantungan lima mahasiwa KUIN tahun lalu dibuat mengikut peruntukan di bawah kesalahan AUKU menambah pengurusan pusat pengajian tinggi itu membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Tindakan dibuat kerana kelima-lima mahasiswa ini melakukan kesalahan dan hukuman dibuat mengikut undang-undang sedia ada, jadi tidak timbul sama ada kerajaan negeri Kedah tidak seiiring dengan kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang mahu memansuhkan AUKU.

"KUIN adalah di bawah tanggungjawab penuh kerajaan negeri Kedah, keputusan penggantungan dibuat pentadbiran KUIN...dan saya tidak campur tangan sangat dalam hal ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam kumpulan mahasiswa mendesak Azizan menyatakan pendirian rasmi berhubung AUKU yang menjadi matlamat Pakatan Rakyat untuk memansuhkan undang-undang yang telah menyekat kebebasan mahasiswa selama ini.

Lima mahasiswa itu didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima mahasiswa itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Tempoh penggantungan empat mahasiswa yang digantung satu semester sudah tamat.

Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Mohd Safwan Anang berkata penggantungan lima mahasiswa KUIN itu bertentangan dengan janji dan prinsip Pakatan Rakyat untuk memansuhkan undang-undang itu.

“Kita mahukan satu jawapan rasmi dan permohonan maaf daripada kerajaan negeri Kedah dalam perkara ini, jika perlu bayar ganti rugi," katanya.

Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.

Kes itu akan mula disebut pada 12 Mac depan.

Menyentuh tindakan lima mahasiswa itu, Azizan berkata KUIN akan memberikan hujah-hujah di mahkamah nanti.

"Mereka yang failkan di mahkamah, bukannya kita...kalau kita (failkan) kita akan tarik balik.

"Kita akan jumpa mereka di mahkamah, kita akan lihat siapa yang betul," katanya.

Beliau juga menegaskan tidak akan membuat permohonan maaf kepada lima mahasiswa itu sambil menyifatkan "tidak melakukan apa-apa kesalahan."