KUALA LUMPUR, 7 Julai — Pembinaan Monumen Alaf Baru Putrajaya dan Astaka Morocco di Taman Botani juga di Putrajaya adalah relevan dan Berjaya menarik pelancong, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan.
Katanya monumen yang dibina untuk merekod dan mempamerkan kejayaan dan pencapaian negara oleh pemimpin-pemimpin negara yang lalu serta astaka dengan binaan berciri Islam telah menarik 8,500 pelancong asing dan tempatan sehingga kini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat hari ini yang menyifatkan pembinaan kedua-dua projek tersebut hanya menjadi "gajah putih".
Menjawab soalan Liew mengenai tujuan pembinaan, kos dan penyelenggaraan tahunannya, Saravanan berkata Monumen Alaf Baru Putrajaya dibina dengan kos RM21 juta manakala kos penyelenggaraannya adalah sebanyak RM93,000 setahun.
Bagi Astaka Morocco, kos pembinaannya berjumlah RM20 juta dengan kos penyelenggaraan sebanyak RM250,000 setahun termasuk pembersihan khas untuk kolam dan tulisan khat dinding dan pintu. — Bernama