The Malaysian Insider

Bahasa

Muhyiddin: Kuasa besar boleh ‘masuk’ jika Malaysia bergolak

Jul 02, 2011

TAIPING, 2 Julai — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kemungkinan kuasa besar dunia akan campur tangan dalam urusan negara ini jika berlaku pergolakan akibat daripada perhimpunan 9 Julai ini. 

“Apabila bergolak, kuasa besar boleh masuk... kita tidak mahu Malaysia yang dibangunkan sejak 50 tahun berdepan dengan masalah seperti itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Rakyat di Padang Taman Kaya di sini. 

Dipetik Bernama Online beliau berkata, apabila berlaku pergolakan, akan berlaku ketidakstabilan yang menjejaskan ekonomi dan merosakkan perpaduan antara kaum dan agama yang telah dibina selama ini. 

Muhyiddin (gambar) berkata rakyat tidak harus terjebak dengan perbuatan mungkar yang didalangi kononnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi sebenarnya turut didokongi parti-parti pembangkang yang bermatlamat untuk mengambil alih kerajaan supaya pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri. 

Katanya, perjuangan kumpulan berkenaan kononnya sistem pilihan raya negara tidak bersih dan tidak adil hanya alasan kerana sudah 12 kali pilihan raya umum diadakan dan setiap kali pilihan raya, rakyat diberi peluang membuat pilihan. 

Katanya dalam setiap pilihan raya, ada kala Barisan Nasional (BN) menang  ada kala kalah, malah pada 2008, BN kalah di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan. 

“Kerajaan BN terima keputusan ini. BN tidak pertikai kerana yakin rakyat telah membuat pilihan dalam sistem pilihan raya yang bersih,” katanya. 

Beliau berkata pembangkang bagaimanapun masih mendakwa sistem itu tidak cukup dan ingin bertindak dengan membuat sistem demokrasi jalanan sebagai platform menyemarakkan kebencian rakyat dengan mengadakan perhimpunan raksasa di Malaysia serta perhimpunan di merata dunia. 

Muhyiddin berkata usaha yang dijalankan oleh kumpulan berkenaan juga mempunyai motif untuk menaikkan semangat penyokong parti pembangkang terutama yang pemimpinnya sedang menghadapi masalah imej yang menurun kerana bergelut dengan pelbagai masalah politik dan perbicaraan mahkamah. 

Muhyiddin berkata rakyat tidak harus mengambil mudah kejayaan negara memupuk perpaduan antara kaum dan agama, keharmonian, pembangunan dan keamanan yang dikecapi selama ini. 

“Apabila sebut Malaysia, kita tahu ia aman, bersatu, tiada pergolakan, tidak huru hara, tiada perang saudara dan pertumpahan darah... sudah jadi lumrah tetapi sebenarnya ia tidak mudah kalau tiada kerjasama dan konsep politik BN di mana semua duduk semeja untuk bangunkan negara,” katanya.