The Malaysian Insider

Bahasa

Najib berlepas pulang selepas menghadiri sidang kemuncak ASEAN

Apr 05, 2012

Perdana Menteri Najib menyertai sesi di Peace Palace, Phnom Penh. — Foto ReutersKUALA LUMPUR, 5 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas pulang semalam selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-20 selama dua hari, di Phnom Penh.

Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada sidang kemuncak itu, Najib turut menyertai pemimpin ASEAN lain dalam mesyuarat bersama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, wakil Organisasi-organisasi Masyarakat Awam dan wakil-wakil belia, lapor Bernama Online.

Najib dan Rosmah turut membuat kunjungan hormat terhadap Raja Kemboja Norodom Sihamoni di Royal Palace.

Perdana Menteri bersama pemimpin-pemimpin ASEAN menyertai sesi Permukiman Sidang Kemuncak itu dan sesi rumusan di Peace Palace semalam.

Najib juga menghadiri Sidang Kemuncak Keenam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Sidang Kemuncak Kelapan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di Phnom Penh.

Beliau mengakhiri lawatan kerjanya dengan menyampaikan ucaptama pada Forum Kepimpinan ASEAN Ke-9 di sebuah hotel.

Najib yang genap tiga tahun menjadi perdana menteri semalam, diberi kejutan dengan hadiah sebiji kek oleh kakitangan Pejabat Perdana Menteri dan semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam sidang kemuncak itu.