PUTRAJAYA, 30 Julai — Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MIC, parti komponen BN itu, akan menerima satu lagi jawatan menteri penuh — amalan yang dipraktikkan ketika pentadbiran bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak.
Dengan keputusan itu kata Najib, Presiden MIC Senator Datuk G. Palanivel (gambar) akan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi membuktikan komitmen pentadbirannya ke atas masyarakat India.
Perkembangan itu dilihat satu lagi strategi Najib memikat sokongan masyarakat India menjelang pilihan raya umum ke-13 selepas merosot teruk tiga tahun lalu.
Permintaan agar BN memperuntukkan jawatan menteri penuh kedua telah dibuat sejak era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya hendak kembali ke era Tun Razak apabila ada (wakil) India Malaysia dalam Kabinetnya,” kata beliau ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MIC di sini petang ini.
Najib berkata Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan atas keputusannya dan Palanivel, kini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Perusahaan dan Komoditi, akan mengangkat sumpah dalam waktu terdekat.
Palanivel dilantik sebagai senator pertengahan tahun lalu. Beliau tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008 dan gagal menjadi calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April 2010.
Sebagai kompromi beliau dilantik menjadi anggota Dewan Negara dan dijadikan timbalan menteri.
Beliau menggantikan Datuk Seri S Samy Vellu sebagai Presiden MIC pertengahan Disember lalu.
Ini perhimpunan agung pertama baginya selaku ketua MIC.
Dalam pada itu, Palanivel berharap dapat menyumbang lebih banyak lagi kepada anggota parti dan masyarakat India amnya, menerusi pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata pelantikan itu telah lama ditunggu oleh komuniti India, memandangkan semasa era pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein terdapat dua menteri penuh mewakili kaum tersebut.
“Selepas bertahun-tahun lamanya, komuniti ini dapat semula apa yang mereka mahukan... kita harap pelantikan ini dapat menyumbang lebih banyak untuk komuniti ini,” katanya dipetik Bernama Online.
Menyifatkan pelantikan itu sebagai tindakan bersejarah, Palanivel berkata beliau terperanjat ketika mendengar pengumuman tersebut.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kita kerana membuat pengumuman ini di hadapan 4,000 perwakilan . . . ini detik yang sangat bersejarah,” katanya.
Beliau juga yakin dapat menangani pelbagai isu yang dibangkitkan komuniti India sekarang.
Sementara itu, Naib Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata pelantikan Palanivel akan memberi platform yang lebih baik kepada MIC untuk bersuara dalam kerajaan.
Beliau juga menyifatkan pelantikan itu sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap 7.4 peratus rakyat kaum India di negara ini.
“Kami juga akan dapat menumpukan lebih perhatian kepada keperluan komuniti India secara lebih menyeluruh. Saya harap ini akan dapat bantu bangunkan masyarakat dan dapatkan balik sokongan masyarakat India,” katanya.