The Malaysian Insider

Bahasa

Ngeh Koo Ham keluarkan pandangan peribadi, kata Hatta Ramli

Sep 20, 2012

PETALING JAYA, 20 Sept — Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Mohd Ramli (gambar) berkata, pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hanya mengeluarkan pandangan peribadi mengenai demonstrasi menentang klip video nabi yang akan dilangsungkan esok di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan tidak mewakili pandangan keseluruhan ahli Pakatan Rakyat (PR).

Menurut beliau, di dalam sebuah negara demokratik, setiap orang berhak untuk mengeluarkan pandangan sendiri asalkan ia tidak melampaui batas.

Pada 16 September lalu, Ngeh telah menulis dalam laman sosial Twitter yang bertulis, “Khairy mahu umat Islam berdemo menentang (klip video) Sam Bacile, untuk Islam atau kepentingan politik? Kenapa umat Islam membuang masa dan tenaga untuk semua ini.”

Berikutan dengan kenyataan itu, ia menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan beberapa pihak yang mengatakan Ngeh tidak sensitif dengan isu yang berkait dengan agama Islam.

Menurut Dr Hatta lagi, hubungan DAP dan PAS akan terus kekal rapat dalam kerjasama PR biarpun terdapat perbezaan dalam beberapa isu.

Dr Hatta ditemui selepas mengadakan sidang media bersama ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat yang berlangsung di pejabat parti PKR di Tropicana hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Dr Hatta mengumumkan tentang makan malam perdana PR yang akan berlangsung pada 28 September jam 8:30 malam di Stadium Tertutup Melawati.

Menurut beliau, dalam majlis makan malam itu, akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin atasan PR seperti ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng.

Tujuan majlis makan malam tersebut ialah bertujuan untuk mengumpul dana untuk pilihan raya umum yang akan datang.

“Walaupun parti akan mengadakan kempen secara berasingan, tetapi beberapa aspek seperti pengedaran risalah dan kajian pilihan raya akan dilakukan secara bersama oleh PR.

“Dan tujuan majlis makan malam ini diadakan untuk mendapat dana bagi tujuan tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata terdapat 255 buah meja disediakan untuk makan malam tersebut, tetapi kini sudah tinggal 30 meja untuk ditempah.

“Majoriti meja untuk majlis tersebut dijual dengan harga RM1,000,” katanya lagi.

Dr Hatta juga mengumumkan bahawa PR akan membuat perhimpunan raksasa di Stadium Bukit Jalil pada 3 November ini dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 150,000 orang akan hadir untuk hari tersebut.

“Kita berharap melalui dua acara ini, kita akan dapat mengumpulkan lebih banyak wang untuk kita menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya lagi.