“Tentang pelajar IPT dan politik, ada perbincangan yang baik, tapi (Pemuda Gerakan) tidak spesifik setuju atau tidak untuk benarkan pelajar berpolitik,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.
Menurut beliau, antara yang dibangkitkan ialah mahasiswa perlu diberikan lebih peluang untuk bersuara dan semua pihak perlu mengiktiraf suara itu.
Hasil pertemuan itu kata Saifuddin, pihaknya mendapati perbincangan tentang isu ini perlu diteruskan dengan ilmiah dan bijaksana sesuai dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau terbuka untuk membincangkan idea berkenaan.
Saifuddin yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, dalam pertemuan itu Pemuda Gerakan ada membangkitkan bahawa jika pelajar diberikan untuk berpolitik, maka apakah garis panduan yang boleh dibenarkan.
Rombongan Pemuda Gerakan seramai 15 anggota mengadakan pertemuan kira-kira satu setengah jam di pejabatnya di Putrajaya.
Mereka diketuai oleh Ketua Pemuda Gerakan Lim Sin Pin.
Semalam, Saifuddin menerima memorandum daripada Dewan Pemuda PAS berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik.
Ahad lalu, Saifuddin berkata beliau akan berbincang dengan Pemuda PAS dan Gerakan berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik.
Saifuddin menjelaskan kepada Majlis Tertinggi Umno mengenai idea itu Jumaat lalu, yang membolehkan mahasiswa dan pensyarah menyertai politik secara aktif.
Beliau berkata ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan terbaik daripada pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu diputuskan.
Sementara itu Lim ketika dihubungi berkata, pihaknya mahu mahasiswa diberikan ruang yang luas untuk menyatakan suara mereka.
“Menyertai parti politik adalah salah satu cara, tetapi jika ia dilaksanakan kami memberi pandangan bahawa pelajar harus mempunyai kematangan untuk berpolitik dan mempunyai prestasi akademik atau gred yang baik ketika belajar di universiti,” katanya.
Bagaimanapun beliau menolak bahawa pelajar jika dibenarkan berpolitik ia harus dihadkan mengikut tahun.
“Tidak, jika dibenarkan pelajar semua tahun boleh sertai tetapi kita kena ada garis panduan,” katanya.
“Kami juga tidak bersetuju pelajar yang menyertai parti politik memegang jawatan kerana memegang jawatan bermakna memerlukan tumpuan sepenuh masa,” katanya lagi.