The Malaysian Insider

Bahasa

Pesta Buku Selangor penuh dengan buku berunsur Islam, berharga mahal

Jul 09, 2012

Satu dari beberapa keluarga pengunjung di pesta. — Foto InternetSHAH ALAM, 9 Julai — Pesta Buku Selangor yang berlangsung selama 29 Jun hingga hari ini di Shah Alam Convention Centre (SACC) penuh dengan buku-buku berunsur Islam dan dijual dengan harga yang mahal.

Dari tinjauan dan menemuramah beberapa orang pengunjung, rata-rata menyifatkan buku-buku yang dijual hampir 3 kali ganda dari harga pasaran.

“Buku Jalaluddin Rumi 6 jilid berharga RM3,000 sedangkan harga sebenar dalam lingkungan RM1,000 sahaja,” kata salah seorang pengunjung yang datang.

Pengunjung pula rata-rata Melayu dan beragama Islam, kerana buku-buku yang dijual hanya buku-buku Melayu dan boleh dikatakan dalam 70 peratus syarikat buku-buku agama Islam.

“Ini menyebabkan orang bukan Melayu tidak berminat untuk datang ke pesta buku ini kerana ia seolah-olah ‘menghalau’ mereka dan hanya menjemput orang Melayu sahaja.

“Dan program ini adalah anjuran kerajaan negeri, yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) yang selama ini sibuk di ceramah-ceramah bercakap tentang perpaduan kaum,” kata seorang pengunjung yang ditemui dalam Pesta Buku kali ini.

“Ini bukannya Pesta Buku Islam, ini Pesta Buku Selangor. Orang Selangor ada pelbagai kaum dan agama, maka haruslah mereka yang bukan Melayu dan Islam dilibat sama.”

Rata-rata pemilik gerai di Pesta Buku Selangor merupakan orang Melayu yang menjual buku-buku Melayu.

Selain dari buku-buku bercirikan agama, terdapat juga buku-buku novel fiksyen seperti yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan independen — Lejen Press dan Fixi — memberikan kelainan dalam Pesta Buku Selangor kali ini.

“Jualan pada Pesta Buku kali ini sangat baik, dan kita berharap program ini akan terus berjalan untuk tahun-tahun akan datang,” kata Aisamuddin Asri yang merupakan pemilik gerai buku-buku alternatif terbitan Lejen Press.

“Kita harapkan dengan Pesta Buku ini minat membaca dalam masyarakat akan bertambah.”

Ini adalah tahun kedua Pesta Buku Selangor diadakan di SACC setelah kali pertama pada 2011.