The Malaysian Insider

Bahasa

Pilih parti yang mampu tentukan pentadbiran kukuh dan stabil, kata Najib

Jun 22, 2012

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Rakyat perlu memilih sebuah parti yang mampu menentukan sebuah pentadbiran yang kukuh dan stabil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Parti yang mampu memberikan pentadbiran yang kukuh dan stabil akan mencerna keyakinan kepada rakyat dan dunia luar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

“Sebagai sebuah parti kita perlu papar kita ada kelebihan, kenapa rakyat mesti pilih kita. Kelebihan itu kita perlu perlihatkan sehingga rakyat mesti yakin bahawa memang BN pilihan terbaik.

“Apa yang penting kita akan berusaha tentukan kerajaan kuat dan kukuh yang dapat jayakan transformasi berjalan dengan jayanya,” katanya.

Mengulas kemelut dalaman dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor ketika ini, Najib yang juga Presiden Umno berkata kemelut dalaman yang melanda parti pembangkang itu menunjukkan perbalahan di antara pemimpin parti itu semakin serius.

Beliau percaya rakyat sudah bijak membuat penilaian mengenai perpecahan serius yang melanda kepimpinan PKR Selangor sehingga ada pemimpinnya meletak jawatan secara tiba-tiba.

Ditanya sama ada kemelut PKR itu disebabkan masalah individu tertentu dalam pucuk pimpinan PKR, Najib (gambar) berkata itu merupakan sebuah andaian namun ia telah terzahir secara terbuka.

“Punca itu masing-masing kena buat kesimpulan apa punca perbalahan itu, tetapi nampaknya perbalahan semakin serius,” katanya.

Ditanya adakah kemelut dalaman PKR itu mampu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menawan kembali Selangor, beliau berkata BN sentiasa berusaha mencapai kejayaan di seluruh negara.

Semalam, Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Akhbar hari ini melaporkan peletakan jawatan Rafizi dikatakan menimbulkan pelbagai spekulasi memandangkan beberapa anggota PKR berpendapat ia mempunyai kaitan dengan perbalahan antara Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dengan beberapa pemimpin PKR negeri.

Selain itu, ada juga anggota PKR yang mendakwa peletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan perselisihan faham antara Rafizi dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai projek perintis pendidikan percuma di Selangor. — Bernama