Ribuan orang mengambil bahagian dalam perhimpunan membantah pembinaan kilang memproses nadir bumi Lynas, Kuantan, 26 Februari 2012. — Foto oleh Jack OoiKUALA LUMPUR, 26 Feb — Datuk Seri Najib Razak mengetepikan kebimbangan yang dibangkitkan peserta demonstrasi anti-Lynas, menegaskan loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi “fakta dan saintifik”.
Perdana Menteri mendakwa pembangkang menggunakan isu itu untuk mendapatkan sokongan politik dengan menyerang kerajaan.
“Tetapi apa yang mereka lakukan ini tidak menemui sebarang penyelesaian.
“Kita mahu mencari penyelesaian yang boleh diterima tetapi pada masa sama tidak akan menjejaskan pelaburan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini petang tadi.
Ribuan peserta anti-Lynas menyertai perhimpunan aman pembangkang di Kuantan hari ini, bantahan terbesar terhadap pembinaan kilang nadir bumi yang dijangka memulakan operasi hujung tahun ini.
Kumpulan anti-Lynas, Himpunan Hijau memberikan tempoh 24 jam kepada Putrajaya untuk menutup kilang Lynas di Gebeng atau akan berdepan demonstrasi yang lebih besar.
Perhimpunan hari ini sebagai bantahan terhadap keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 20 Januari, yang memberikan lesen kendalian sementara kepada syarikat perlombongan dari Australia itu, yang mana akan memulakan operasinya.
Pengkritik mengatakan Lynas tidak memberikan jaminan yang secukupnya untuk mengendalikan sisa radioaktif tahap rendah yang akan terhasil di kilang itu, yang melahirkan kebimbangan sekiranya loji nadir bumi itu akan mendedahkan penduduk terhadap radiasi.
Tetapi Najib mengatakan kerajaan telah mengkaji semula operasi Lynas Corp dan syarikat itu telah diberikan garis panduan ketat untuk dipatuhi.
“Kita tidak akan memberikan lesen kendalian melainkan kami berpuashati bahawa penduduk tempatan boleh menerima projek ini selamat,” katanya.
Beliau berkata salah satu syarat yang dikenakan terhadap Lynas Corp adalah sisa toksik yang dihasil ditempatkan di satu lokasi yang jauh dari penempatan penduduk.
