The Malaysian Insider

Bahasa

Polis ambil keterangan pemilik anjing pitbull yang serang warga emas

May 09, 2012

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Polis telah mengambil keterangan pemilik anjing jantan jenis Pitbull yang menyerang seorang warga emas sehingga maut di Subang Jaya semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahya Ramli ketika dihubungi Bernama hari ini berkata ketika kejadian, pemilik anjing berkenaan yang tinggal bersama ibu dan bapanya tiada di rumah kerana bekerja dan tidak mengetahui kejadian itu.

“Polis telah merekodkan kesemua keterangan pemilik berkenaan petang semalam dan beliau tidak ditahan kerana kes akan dirujuk terlebih dahulu kepada timbalan pendakwa,” katanya.

Beliau berkata pemilik pada kebiasaannya melepaskan anjing itu di dalam kawasan rumahnya yang berpagar bagi tujuan menjaga rumah dan anjing itu biasa keluar masuk melalui lubang di tempat pembuangan sampah bersebelahan pagar utama rumah pemiliknya.

“Polis sedang menyiasat punca anjing itu tiba-tiba bertindak ganas kerana menurut jiran pemilik, anjing itu tidak pernah mengganggu mereka dan tiada kes seumpamanya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata keterangan pemilik anjing itu diambil menurut seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian.

Anjing itu telah ditangkap dan kini di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan lanjut.

Semalam, seorang warga emas, Yip Sun Wah, 74, yang sedang berjogging mati selepas diserang seekor anjing jantan jenis Pitbull peliharaan jirannya di Jalan 19/5E, SS19 Subang Jaya. — Bernama