The Malaysian Insider

Bahasa

Ramadan tanpa ‘Baby’ ditahan di Cape Town

Sep 03, 2010

KUALA LUMPUR, 3 Sept — “Ini kali pertama Baby tidak sambut Ramadan bersama saya.”

Demikian luahan hati ibu Baby, Roslah Abdul Jani, 43, sambil menambah, “saya amat sedih kerana sepatutnya ketika ini dia ada di samping keluarga.”

Bagi Roslah, ketiadaan anaknya Baby atau nama sebenarnya Nur Dhiya Ain Rosman, yang kini ditahan berhubung kes dadah di Cape Town, Afrika Selatan merupakan satu kesedihan kerana buat pertama kali tidak dapat menyambut Ramadan bersama-sama.

Ketika ditemui The Malaysian Insider, Roslah mengakui bahawa Nur Dhiya, 19, seorang anak yang manja dan periang.

“Tiap-tiap hari saya teringatkan dia... keadaan Baby di sana pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Roslah yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, kebiasaanya ketika Ramadan Nur Dhiya adalah yang paling teruja jika hendak dibandingkan dengan adik-adiknya.

“Kalau bulan Ramadan ini Baby memang teruja, kalau nak ke bazar Ramadan pukul 4, dia dah siap nak ke sana.

“Saya pun kadang-kadang terpaksa ikutkan kehendaknya... kalah adik-adik dia yang lain,” kata ibu empat anak ini.

Nur Dhiya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Bangsar, menurut Roslah, tidak berapa fasih berbahasa Inggeris dan Capetown mungkin adalah satu tempat yang sukar baginya.

“Dia boleh cakap Inggeris tapi tidak berapa fasih, saya memang bimbang sangat macam mana keadaan dia di sana.

“Macam mana makan dia sepanjang Ramadan ini pun saya tidak tahu,” katanya.

Roslah berkata, Nur Dhiya bagaimanapun ada menghubungi sebanyak dua kali sejak di tangkap.

“Memang dia ada hubungi saya, kali pertama dia hubungi cakap hanya cakap sekejap sahaja kemudian putus.

“Kali kedua pada minggu lepas, ketika itu cakap lama sedikit. Baby cakap dia OK di sana cuma makan sahaja tidak lalu di sana.

“Mungkin dia tidak biasa dengan makanan di sana, dia juga ada cakap telah diasingkan di bilik lain daripada tahanan yang lain,” katanya.

Sebelum ini, Nur Dhiya yang didakwa dilarikan ke Afrika Selatan pada 10 Ogos lepas, ditahan oleh pihak berkuasa negara itu empat hari kemudian di sebuah hotel di Cape Town kerana dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 1.2kg.

Gadis malang itu kini ditahan di Pusat Tahanan Ravensmead dan akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Belleville atas tuduhan memiliki dadah.

Menurut Roslah, Nur Dhiya juga merupakan seorang anak yang aktif dalam aktiviti teater dan juga nyanyian selain berminat dalam industri pelancongan.

“Dia memang aktif kalau dalam perkara berkaitan teater atau hiburan.

“Kalau hendak beli barang dia kena berbelanja lebih sikit terutamanya ketika hendak raya,” katanya.

Roslah berkata juadah yang paling digemari Nur Dhiya ketika Ramadan adalah popia goreng.

“Bila ke bazar juadah pertama yang dia akan cari adalah popia goreng.

“Walaupun macam mana pun mesti kena ada, kalau tidak nanti dia merengek macam budak-budak,” katanya sambil ketawa.

Walaupun tidak melalui Ramadan bersama, Roslah bercadang untuk menghantar kad raya, makanan dan pakaian kepada anaknya sebagai tanda sokongan.

“Saya dah rancang untuk hantarkan barang keperluan kepadanya bahkan kawan-kawan anak saya juga bercadang untuk menghantar kad raya kepada Nur Dhiya.

“Walaupun sedih saya tetap akan pastikan anak saya mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga untuk menghadapi dugaan itu,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Roslah yang turut ditemani suaminya Rosman berkata kemungkinan besar selepas Aidilfitri mereka akan ke Capetown untuk menemui Nur Dhiya.

“Kita telah rancang untuk ke sana mungkin dalam 25 September,” kata Roslah.