The Malaysian Insider

Bahasa

Rangkaian subway di Beijing

Jul 17, 2011

Jadual kekerapan bas di Beijing sangat memuaskan.
BEIJING, 17 Julai — Menjelang hari keempat di Beijing, China kami berempat yang datang atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd untuk menulis buku panduan pelancongan mengenai bandar raya ini sudah sedikit mahir menggunakan rangkaian subway.

Sebenarnya kemampuan saya, Izan Ali, Nurul Fadzillah dan Jasmine Koh bukanlah sesuatu yang terlalu hebat kerana sistem kereta api bawah tanah di Beijing memang amat teratur dan senang digunakan.

Dengan tiket berharga dua Yuan, anda boleh menggunakan keseluruhan rangkaian subway sepanjang hari, dengan syarat anda tidak keluar dari stesen.

Kebanyakan perjalanan kami yang diiringi pemandu pelancong, Tan See Hua, adalah menggunakan subway dan bas. Juga penggunaan ‘Bas nombor 11’ seperti kata See Hua untuk merujuk pada kaki.

Kami berlima biasanya memulakan perjalanan kami di stesen Weigongcun berhampiran Hotel BFSU dan Institut Teknologi Beijing.

Laluan 4 (Line 4) bermula di Anheqiao Utara dan berakhir di Gongyixiqiao, tetapi pengguna boleh bertukar ke Laluan 10 di stesen Haidian Huangzhuang serta Laluan 2 di Xizhimen atau Xuanwumen.

Laluan 4 juga melalui stesen Perpustakaan Negara dan Stesen Kereta Api Beijing Selatan. Rajah laluan boleh dirujuk pada paparan pada dinding dalam setiap koc.

Subway biasanya penuh dengan orang pada setiap masa. Koc kereta api juga selalu penuh. Beg-beg yang dibawa akan diimbas (scan) seperti di lapangan terbang. Jika membawa botol minuman, anda akan diminta minum seteguk untuk memastikan tiada bahan kimia larangan terkandung di dalamnya.

Menjelang hari ketiga, kami sudah biasa berdiri dan mula menggelar diri kami “orang Beijing” kerana sudah membiasakan diri dengan corak sistem pengangkutan di sini.

Laluan 4 turut berhenti di stesen Zoo Beijing. Sekiranya menyeberangi jalan — menggunakan laluan bawah tanah, tentunya — anda akan sampai ke Zoo Beijing di mana tarikan utama adalah panda.

Manakala, sebaik turun di stesen Zoo Beijing, beberapa meter dari sana terletak Planetarium Beijing. Di sebelahnya pula Pasar Borong Beijing yang sepatutnya menjadi tumpuan sesiapa yang mahu membeli kasut dan pakaian pada harga amat murah – dengan syarat anda bijak tawar-menawar — seperti yang kami berlima lakukan pada 14 Julai.

Pada 15 Julai pula, kami menggunakan Laluan 2 dan turun di stesen Yonghegong Lama Temple. Apa yang menarik, stesen ini dibina di bawah tapak warisan budaya tanpa sedikit pun menjejaskan pemuliharaan tapak berkenaan.

Kami berjalan sambil See Hua memberikan pelbagai penjelasan berguna serta menjawab ratusan soalan daripada kami berempat mengenai pelbagai aspek berkaitan Guozijian Jie (Imperial College Street) yang juga adalah tempat terdapatnya Confucian Temple.

Selepas meluangkan masa sepuas-puasnya di sana, kami berlima menaiki bas menuju ke Taman Jing Shan. Walaupun kaki sudah sakit kerana banyak berjalan (Bas Nombor 11) dan berdiri, kami tetapi menaiki anak-anak tangga ke puncak bukit buatan manusia setinggi 45.7 meter.

Dari puncak bukit, kami dapat melihat Kota Larangan di bahagian selatan dengan jelas. See Hua pula tidak putus-putus memberikan pelbagai maklumat dan fakta mengenai hampir kesemua tempat bersejarah di Beijing.

Taman Jing Shan yang dibina pada Dinasti Ming juga menyimpan kisah sejarah di mana maharaja terakhirnya, Chongzhen, menggantung diri pada sebatang pokok di taman ini pada 1644 selepas Beijing dirampas oleh Li Zicheng yang kemudian menubuhkan Dinasti Shun.

Satu lagi lokasi bersejarah adalah Dataran Tiananmen. Untuk sampai ke sana, anda boleh menggunakan Laluan 2 dan turun di stesen Fuxingmen atau Jiangguomen, lalu mengambil Laluan 1 ke destinasi.

Laluan 4 juga bertemu Laluan 1 di Xidan manakala Laluan 10 berhubung di stesen Guomao dan Laluan 5 bertemu Laluan 1 di stesen Dongdan.

Apabila turun di stesen yang dituju, anda boleh merujuk peta yang terdapat di sana untuk mengetahui laluan yang perlu digunakan untuk sampai ke destinasi.

Beg diimbas dan botol air juga diperiksa di pintu masuk subway.
Jadual perjalanan kereta api bawah tanah adalah amat kerap. Maka kita tidak peru risau jika tertinggal satu kereta api. Ketibaan kereta api juga tepat mengikut jadual, jika terlewat pun mungkin sekitar dua minit sahaja.

Hal yang sama juga bagi bas. Kita tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menaikinya. Bayaran pula 1 Yuan sahaja bagi perjalanan biasa di Beijing. Sediakan wang secukupnya kerana bayaran biasanya perlu dimasukkan ke dalam mesin dan baki tidak dikembalikan.

Apabila menaiki bas di Beijing, jangan terkejut apabila melihat jumlah kerusi yang amat sedikit sahaja manakala ruang berdiri lebih banyak dan luas. Palang untuk berpegang juga disediakan; sama seperti subway.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian apabila menggunakan kereta api dan bas adalah bahawa sebelum sampai ke stesen yang dituju, penumpang dinasihatkan berdiri dan bersedia untuk turun sebaik pintu dibuka.

Hal ini sedikit berbeza dengan Malaysia di mana kita dinasihatkan duduk sehingga bas berhenti sepenuhnya – walaupun rakyat Malaysia memang tidak patuh pada nasihat itu.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah bahawa kenderaan di sini menggunakan pemanduan sebelah kiri. Lorong kanan digunakan semasa memandu.

Memang kami sedikit keliru semasa melintas jalan pada hari pertama dan kedua. Namun, menjelang hari ketiga, kami sudah membiasakan diri.

Jika mahu merasa menaiki kereta mewah, gunakan sahaja taxi di Beijing. Anda berpeluang menaiki Volks Wagon, misalnya. Kereta-kereta mewah yang membuatkan mulut kita terlopong di Malaysia hanya ‘layak’ dijadikan teksi di sini.

Kesemua teksi di Beijing menggunakan meter. Maka tidak perlu risau ditipu; dan jangan juga cuba tawar-menawar harga dengan si pemandu.

Papan-papan tanda di sekitar Beijing menggunakan tulisan Cina dan juga Bahasa Inggeris. Tidak timbul masalah jika seseorang tidak tahu bercakap Mandarin.

Daripada pengalaman saya ‘mengembara’ bersama Izan, Fadzillah dan Jasmine selama empat hari pertama kami di Beijing, amat nyata bahawa penggunaan pengangkutan awam seperti teksi, bas dan subway — serta Bas Nombor 11 — lebih menyeronokkan berbanding mengikuti rombongan menaiki bas pelancong.

Kami berempat juga amat bertuah kerana diiringi See Hua sebagai pemandu pelancong. Pengalaman yang kami peroleh sangat banyak, luas dan memuaskan.

Maka, tidak hairanlah kami memutuskan untuk menyertai pemuda itu sekali lagi pada 20 Julai untuk melawat beberapa lagi tempat bersejarah dan penuh budaya di Beijing sebelum berlepas pulang ke tanah air pada keesokannya.