The Malaysian Insider

Bahasa

Sabah harap guru Kemas miliki diploma

Aug 27, 2010

KUNAK, 27 Ogos — Jabatan Kemajuan Masyarakat Sabah berhasrat menjadikan semua guru kelas Tabika dan Taska di bawah seliaannya memiliki sekurang-kurangnya diploma pendidikan.

Pengarah Kemas Sabah Marsidi Katong berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan guru pra sekolahnya ke arah menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi di semua pra sekolah di negeri itu.

“Daripada 864 orang guru pra-sekolah Kemas di Sabah, 361 orang telah kita hantar mengikuti kursus diploma di institusi pendidikan guru,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Marsidi setakat ini seramai 48 orang guru yang dihantar mengikuti kursus diploma pendidikan berkenaan sudahpun menamatkan pengajian dan telah kembali bertugas.

Katanya apabila anak-anak di peringkat pra sekolah didedahkan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran berkualiti sejak dari awal sudah tentu ia mampu membentuk kanak-kanak berkenaan menjadi insan cemerlang. — Bernama