Ahmad Habib (kanan) bersama Lim pada 14 September, 2012. — Gambar oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 14 Sept — Seorang lelaki hari ini tampil sebagai saksi menepis dakwaan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang telah kencing di tiang bendera di kediaman menteri besar (MB) Selangor ketika itu Datuk Harun Idris yang dikatakan menjadi punca berlakunya insiden 13 Mei 1969.
Ahmad Habib, 64, yang berada di kediaman menteri besar ketika itu berkata, berdasarkan keadaan rumah dan lokasi tiang bendera itu, adalah mustahil untuk mana-mana individu memasuki kawasan rumah berkenaan.
“Keseluruhan rumah MB pada ketika itu berpagar konkrit dan dijaga oleh pengawal keselamatan.
“Tiang bendera itu pula berada di dalam kawasan rumah yang jaraknya sekitar 15 meter dari jalan utama Jalan Raja Muda Abdul Aziz,” katanya yang bekerja sebagai ahli perniagaan hartanah.
Ahmad Habib yang pada ketika itu berusia lingkungan 20an dan pelajar jurusan perniagaan Mara turut menjelaskan beliau berada di kediaman menteri besar itu bermula sekitar jam 7 malam pada 13 Mei hingga jam 3 pagi hari berikutnya.
“Pada hari biasa, saya yakin tiada orang boleh masuk ke kawasan rumah MB ... apatah lagi untuk kencing di tiang bendera.
“Kalau ada pasti sudah dicederakan ... mungkin juga dibunuh,” katanya lagi.
Lim sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan mengatakan beliau telah kencing di tiang bendera di kediaman MB ketika itu selepas gambarnya sedang diseret dipaparkan di laman Facebook filem berkenaan 13 Mei, “Tanda Putera” dengan kapsyen,”Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah menteri besar Selangor ketika itu, Harun Idris.”
Gambar itu telah dimuatkan dalam album gambar filem berkenaan dengan tajuk “Peristiwa-peristiwa yang dimuatkan dalam filem ini.”
Sehubungan itu, Lim telah mengeluarkan kenyataan bahawa dakwaan itu adalah palsu dan menegaskan gambar itu diambil pada 1964 di Kota Kinabalu, apabila beliau diharamkan memasuki negeri berkenaan.
“... perkara (kencing) itu tidak dilaporkan sebelum ini, saya tidak yakin ia benar-benar berlaku.
“Setelah 43 tahun kemudian baru perkara ini muncul, saya yakin itu mengarut ... kalau ia timbul pada masa itu, mungkin ia boleh dipercayai,” kata Ahmad Habib lagi.
Filem kontroversi “Tanda Putera” yang sebelum ini telah menunda tarikh tayangnya dijangka akan mula ditayangkan pada 15 September ini.
Lim juga telah memulakan tindakan undang-undang untuk terhadap Pesona Pictures kerana memaparkan gambarnya di laman Facebook filem berkenaan.
Pengarah filem berkenaan, Datin Paduka Shuhaimi Baba bagaimanapun sebelum ini menegaskan “tiada watak pemimpin DAP dalam filem ‘Tanda Putera’.”
Shuhaimi berkata beliau telah menjelaskan beberapa kali bahawa filem durasi 117-minit itu juga tidak memaparkan mana-mana watak pemimpin DAP sepertimana dikatakan pelbagai pihak, terutama parti politik.
Menurutnya, adegan 13 Mei itu juga dimasukkan sekadar untuk memberikan latar kepada filem berkenaan.
“Adegan 13 Mei hanya memakan masa 10 minit daripada keseluruhan 115 minit filem ini. Ia hanya latar cerita.
“Saya pembuat filem ... bukan organ propaganda,” kata Shuhaimi sebelum ini.
