JAKARTA, 4 Sept — Permasalahan antara Indonesia dan Malaysia harus diselesaikan dalam semangat kesatuan dan persaudaraan Islam, kata seorang imam masjid nasional di sini.
Imam Masjid Istiqlal, Drs Muhasyim Abdul Majid, berkata pada masa yang sama kerajaan kedua-dua negara itu harus duduk berbincang dan menyiasat dalang di sebalik konflik yang tercetus sejak kebelakangan ini.
Masjid Istiqlal, yang mampu menampung 100,000 jemaah, merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara.
Drs Muhasyim berkata rakyat kedua-dua negara itu mempunyai pertalian persaudaraan yang sangat rapat sehingga tidak ada perbezaan dari segi keperibadian, bahasa dan perlilaku.
“Sebagai negara yang mempunyai ramai penduduk Islam, Indonesia dan Malaysia harus menyedari ada pihak tidak mahu melihat Islam maju dari segi ekonomi, politik, ketenteraan dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas ketegangan hubungan Indonesia dan Malaysia ketika ini.
“Kita belajar daripada keadaan masa lalu antara negara-negara Islam seperti Palestin dan Israel, Iraq dan Iran.
“Apabila Amerika Syarikat serta sekutunya menyerang dan mengebom Iraq, kenapa ada negara Islam di benua Arab yang membisu seribu kata. Malah negara itu membenci pula Iraq,” katanya.
Malaysia dan Indonesia akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan masalah sempadan maritim bersama di Kota Kinabalu, Sabah, pada Isnin ini.
Mesyuarat itu penting bagi mencari penyelesaian kepada ketegangan hubungan dua hala berikutan insiden di sempadan perairan berhampiran Pulau Bintan, Kepulauan Riau, pada 13 Ogos lalu, yang membangkitkan kemarahan beberapa kumpulan masyarakat Indonesia.
Pada insiden itu, bahagian penguatkuasaan Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguat kuasa kementerian Indonesia itu.
Ekoran kejadian itu, 37 rakyat Indonesia dari satu kumpulan dikenali Bendera berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan melontar najis manusia ke dalam kawasan kedutaan. — Bernama