KUALA LUMPUR, 22 Jun — Status kualiti udara di seluruh negara bertambah baik dengan hanya satu kawasan direkod memiliki bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya hari ini melaporkan hanya sebuah stesen iaitu di ILP Miri, Sarawak merekodkan kualiti udara tidak sihat dalam tempoh 24 jam lepas iaitu IPU 161.
Kenyataan JAS itu turut melaporkan 14 kawasan berada pada tahap baik dan 37 kawasan pada tahap sederhana yang direkodkan pada jam 11 pagi hari ini.
Menurut kenyataan itu, status kualiti udara di Semenanjung menunjukkan penurunan bacaan IPU, bagaimanapun cuaca panas dan kering sepanjang Jun mungkin mengakibatkan ketidakstabilan status kualiti udara.
Kemerosotan kualiti udara di kawasan Miri, Sarawak pula disebabkan kebakaran tanah gambut seluas 10 hektar di Permai Jaya berdekatan ILP, Kuala Baram, Miri, Sarawak.
Kerja memadam kebakaran di kawasan itu masih giat dijalankan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dan keadaannya kini dilaporkan terkawal.
Kenyataan itu menyebut JAS turut menggerakkan pelan tindakan jerebu kebangsaan, pelan tindakan mencegah pembakaran terbuka dan mempertingkat program pencegahan kebakaran tanah gambut bagi mengawal punca yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di seluruh negara. — Bernama