The Malaysian Insider

Bahasa

Ubah salah persepsi bukan Islam terhadap Islam, kata Najib

Sep 02, 2010

Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai ruang untuk ekstremisme kaum ataupun agama. — gambar fail
PUTRAJAYA, 2 Sept — Datuk Seri Najib Razak menggesa umat Islam di seluruh dunia supaya sama-sama membantu mengubah tanggapan salah masyarakat bukan Islam terhadap Islam, yang sentiasa mementingkan keamanan dan kestabilan.

Perdana Menteri berkata ini kerana pada masa ini, masih lagi ada tanggapan salah masyarakat bukan Islam termasuk di Barat terhadap Islam.

Misalnya, beliau berkata dalam keluaran Time Magazine baru-baru ini, terdapatnya istilah baru iaitu “Islam fobia”.

“Sikap masyarakat bukan Islam terhadap Islam tidak banyak berubah. Mereka masih mempunyai tanggapan bahawa Islam itu merupakan ancaman kepada mereka.

“Oleh itu, masyarakat Islam perlu membantu memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam adalah agama yang mementingkan keamanan dan kestabilan,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama duta-duta dan perwakilan asing di Wisma Putra di sini, malam tadi.

 Najib berharap dengan penjelasan dan sikap yang ditunjukkan oleh umat Islam akan dapat menghakis tanggapan salah masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

Di Malaysia, beliau berkata walaupun rakyat terdiri daripada berbilang kaum dan agama, namun mereka boleh hidup dengan aman dan harmoni.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kerajaan akan memastikan tiada ruang bagi sebarang bentuk ekstremisme di negara ini sama ada dalam bentuk ekstremisme kaum ataupun agama.

“Ia mesti dilindungi dengan sebaik-baiknya. Misalnya, jika anda merosakkan gereja atau masjid, hukuman seharusnya sama. Kita tidak boleh mempunyai satu set hukuman yang berlainan dengan yang lain. Ini adalah untuk memastikan keamanan dan keharmonian dalam negara,” kata beliau. — Bernama