The Malaysian Insider

Breaking Views

Anwar dan Yahudi — Amin Ahmad

Jul 02, 2010

2 JULAI — Hari ini kecoh di ruang berita tentang hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yahudi. Ia boleh diakses di laman berita Washington Post.

Sebenarnya, kisah hubungan Anwar dengan Yahudi ini bukanlah baru. Ia telah dijadikan bahan kempen oleh pihak tertentu sebaik saja Anwar disingkirkan daripada kerajaan. Biro Tata Negara (BTN) juga tidak terlepas daripada menggunakan isu ini untuk meraih sokongan politik kepada kerajaan (baca: secara tersiratnya Umno).

Isu ini rumit kerana kebencian kepada Yahudi ini, bagi sesetengah kalangan Muslim, adalah satu kebencian bersifat teologi. Setinggi mana pun ilmu yang mungkin anda gunakan, sentimen kebencian terhadap Yahudi kerana faktor sejarah yang banyak, tetap ada. Tanyalah mana-mana saja Muslim di Malaysia, baik yang mengikuti perkembangan semasa atau pun tidak.

Cuma sejak kebelakangan ini, khususnya sejak Reformasi 1998, muncul kelompok yang disebut “liberal” bangkit dengan penolakan sentimen buta terhadap Yahudi.

Bagi kelompok “liberal”, kebencian kepada Yahudi adalah satu bentuk perkauman yang beralaskan sentimen agama. Maka ditawarkan istilah Zionis sebagai pembeza. Ruang kelabu di sinilah yang nanti jadi pembeza utama. Rujuk berita yang memaparkan jawapan Anwar secara ringkas. Kemudian, rujuk pula dua segmen Yahudi yang berbeza pendapat tentangnya: satu di sini dan satu lagi di sini.

Ia sebenarnya rumit untuk dijelaskan. Malaysia mungkin dianggap Muslim sebagai sangat Islam dengan larangan lawatan ke Israel dan halangan mewujudkan kedutaan Israel di sini, meski kita bersama sejumlah negara umat Islam lain yang membenarkan hal itu berlaku dalam realiti negara-negara umat Islam umumnya simpati kepada Palestin dan membenci kezaliman Israel.

Saya sendiri menghadapi persoalan ini ketika bertandang ke Amerika pada tahun 2008 dulu. Tetapi, pertanyaan itu hanya berkisar soal pandangan Muslim Malaysia kepada Amerika. Jawab saya ialah Muslim Malaysia menghargai semua hal yang baik dibuat Amerika, namun rasa curiga tetap hadir kerana Amerika bersikap dwi-piawai apabila isunya berhubung dengan Israel-Palestin. Rakan saya, dari atas kerusi rodanya, perlahan mengaku bahawa hubungan niaga antara Amerika dan Israel adalah satu hambatan.

Di tengah kemarahan Muslim terhadap kejadian sempena bantuan untuk Palestin baru-baru ini, tentulah isu Anwar dan Yahudi ini boleh memberi skor yang banyak secara politiknya. Sekurang-kurangnya, keraguan terhadap Anwar itu dapat diwujudkan.

Sebenarnya isu berita Anwar dan Yahudi yang dicanang di berita utama media sehari dua ini hanyalah satu lagi tindakan desperado politik. Kenapa saya katakan begitu? Mari kita bincangkan.

Pertama, saya mahu mengambil itu sebagai asas perbincangan.

1. Ia ditulis oleh seorang Yahudi juga, tetapi ini bukan soal yang besar sangat buat saya. Menjadi persoalan-nya bagi saya ialah sikap selektif sebahagian kita.

i. Membenci Yahudi dan pada masa yang sama menelan bulat berita yang ditulis oleh seorang Yahudi.

ii. Membenci Yahudi tapi diam ketika isu APCO dibawakan ke Parlimen Malaysia, bahkan berdolak-dalik tentangnya. Lebih dahsyat lagi ialah apabila Utusan cuba menjustifikasikannya.

iii. Lebih dahsyat lagi, gambaran umum membenci Yahudi, tetapi kontrak tetap diberikan kepada anasir Yahudi-Zionis.

Kerumitan ada di sini dalam bentuk penerimaan kita terhadap Yahudi kerana memang ada Yahudi yang menolak Zionisme. Ruang kelabu yang sukar di sana akhirnya digunakan sebagai jalan memupuk sentimen politik, tetapi dalam bentuk yang selektif.

Saya fikir, ketika Anwar membentangkan isu APCO, secara jelas beliau menerangkan bagi dirinya isu sebenar ialah isu keselamatan negara. Saya pernah ditanyakan kenapa Anwar sibuk benar dengan APCO sedangkan mereka ialah perunding biasa sebagaimana yang lain. Jawab saya “Ya, mereka mungkin sebuah syarikat perunding yang menjalankan operasi sebagaimana perunding biasa. Namun, latar belakang keterlibatan sebilangan mereka dalam organisasi yang bersifat ‘lebih daripada biasa’ itu cukup untuk dijadikan asas penolakan.”

2. Jika kita memahami penulisan artikel berkenaan, kita tahu apa yang cuba didorong oleh penulis artikel berkenaan. Ini mungkin memerlukan kemahiran membaca artikel untuk membolehkannya berlaku. Rujuk dua perenggan awal dan dua perenggan akhir.

i. Keseluruhan artikel ini cuba menyampaikan kepada jaringan Yahudi, terlepas apa pun faham politik mereka, agar berhati-hati dengan sosok pejuang Islam yang kelihatan boleh berbincang dengan mereka yang tegar dengan pemahaman Zionisme-Israel. Hujah ini dapat dilihat dengan lebih dekat jika kita memahami apa yang cuba disampaikan pada perenggan ketiga artikel berkenaan.

ii. Kita harus berani mengaku terus-terang bahawa memang banyak pihak yang berurusan dengan Muslim kini mempunyai sikap berhati-hati kerana ada faktor sejarah termasuk isu keganasan atas nama agama. Tetapi apakah kita mahu terus membiarkan imej itu kukuh? Di sinilah “racun” yang cuba disumbat dalam artikel ini. Bahawa janganlah terlalu berbaik dengan mereka yang mempunyai latar belakang fikrah yang dibentuk daripada gerakan Islam meskipun mereka ini sedia berdialog. Lebih jauh, bagi mereka mungkin yang elok ialah lambakkan sekali tokoh yang sederhana dengan sesetengah tokoh yang menutup ruang dialog — dalam pengertian bersetuju untuk tidak bersetuju — ini.

3. Penulis cuba membayangkan bahawa kritikan Anwar kepada Zionisme mempunyai perkaitan dengan permainan politik iaitu satu tindak balas kepada tindakan Amerika Syarikat yang tidak memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia, meski penulis mengakui bahawa Anwar berdepan dengan risiko politik yang besar dan selama ini disuarakan oleh Amerika Syarikat.

Untuk saya, jika begitu sekali bunyinya, ia seolah-olah menggambarkan keberanian Anwar yang jika kita fikirkan, agak tidak waras bagi seorang yang mempunyai jaringan intim seperti yang cuba dibayangkan Utusan Malaysia. Logiknya pada saya, seorang yang punya jaringan intim tentu saja tahu kekuatan Zionisme-Israel untuk membunuh kerjayanya jika perlu. Itu bagi mereka yang benar-benar hanya bergantung atas dasar kenalan politik. Tetapi untuk Anwar, ia didokong oleh hubungan intelektual (intellectual engagement) yang saya sebutkan sebagai bersetuju untuk tidak bersetuju sebelumnya.

Kita boleh merujuk pada perenggan ke-4 dan ke-3 dari perenggan akhir. Padanya jelas Anwar dipetik berkata “If you say we are growing impatient with Israel, that is true” dan ini tidak langsung dikutip dalam berita Utusan Malaysia untuk memberikan pandangan menyeluruh. Bahkan, ini menunjukkan konsistensi Anwar untuk berani berbeza pendapat secara terbuka dan menjelaskan kedudukannya.

Kata yang dipetik, dimainkan, dan ditelan mudah oleh sesetengah pihak ialah: “If you say I am not too guarded or careful in what I say sometimes, that is also true” dan ini telah dijelaskan oleh Anwar sebagaimana dipetik oleh berita The Malaysian Insider di atas (berhubung istilah Zionis yang difahami berbeza oleh beliau dan mereka yang ditemuinya).

Jujurnya, saya tidak menemukan kata maaf dalam pengertian kesal kepada sikap yang diambil beliau terhadap isu terkini di Palestin. Saya tidak tahu sama ada yang menuduh itu memahami bahasa Inggeris lebih baik dan mahu menunjuk-ajar kepada saya. Lihat pada artikel berkenaan, jelas sekali penulis cuba membayangkan kata-kata Anwar yang mirip dengan kata Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran. Untuk saya, ia tidak lebih daripada usaha untuk melagakan dua tokoh yang dilihat oleh Muslim sebagai mempunyai kekuatan masing-masing, meski mungkin faham mereka terhadap semua isu jauh berbeza.

Akhir sekali, kita harus meneliti dengan jelas pada perenggan yang menyatakan “APCO has been peddling the anti-Israel statements around Washington”.

Apakah keperluan APCO melobi kebencian kepada Anwar dalam bentuk anti-Israel? Saya tidak tahu sama ada APCO ada menjelaskan sama ada wujud di kalangan mereka pernah terlibat sebagai pegawai kanan bahagian risikan Israel dan sebagainya.

Siapa dan apa pula hubungan APCO dengan Malaysia sehingga perlu melobi begitu sekali? Apa pula sikap Utusan Malaysia dalam isu-isu yang hampir sama seperti:

Pertemuan Datuk Zahid Hamidi dengan Ehud Barak dalam realiti kita tidak punya hubungan diplomatik dengan Israel.

Bayaran kepada Jack Abramoff untuk mempertemukan Tun Dr Mahathir Mohamad  dengan George Bush.

Kita jangan lekas terpukau dengan permainan Falasi Kad Tingkat iaitu cubaan menutup sebahagian berita dengan menonjolkan satu berita yang cocok dengan nafsu pihak tertentu.

* Amin Ahmad hanyalah anak muda yang mahu melihat persekitaran politik yang lebih bebas dan adil untuk semua. Beliau menulis di www.AminAhmad.com.

* This is the personal opinion of the writer or the publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.