The Malaysian Insider

Opinion

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Beliau memblog di www.aminiskandar.blogspot.com dan "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Aidilfitri dan arwah atuk

Sep 07, 2010

7 SEPT — Setiap kali menjelang Aidilfitri, saya pasti akan teringatkan arwah atuk. Sewaktu beliau masih hidup, suasana Hari Raya akan menjadi begitu meriah kerana karisma beliau yang memukau anak, cucu dan cicitnya.

Arwah atuk meninggal dunia tujuh tahun lalu kerana menderita penyakit kanser tulang. Pengaruh arwah atuk begitu besar dalam diri saya. Tanpa beliau, saya tidak akan jadi seperti hari ini.

Sewaktu beliau masih hidup, saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke rumah beliau di Banting, Selangor. Balik ke kampung semata-mata untuk meluangkan masa bersama atuk tersayang.

Arwah memberi gelaran “Amin Boss” kepada saya. Nama itu melekat dan dipanggil oleh saudara-mara yang lain sehingga hari ini. 

Mungkin kerana gelaran yang diberi oleh arwah itulah menyebabkan saya suka berperangai seperti “boss”.

Arwah atuk meminati politik. Beliau mencintai parti United Malay National Organisation (Umno). 

Inilah parti yang dianggotai sehingga akhir hayatnya. Malahan, beliau  telah mengabdikan seluruh hidupnya berjuang bagi memenangkan Umno. Setiap kali pilihanraya, arwah akan menjadi begitu sibuk dan rumahnya akan dipenuhi dengan jentera-jentera Barisan Nasional (BN).

Menurut ayah, arwah atuk adalah penyokong kuat dan rapat dengan arwah Datuk Harun Idris. 

Beliau dikatakan menjadi salah seorang “benteng manusia” ketika Datuk Harun hendak di tangkap di zaman di zaman pemerintahan Tun Hussein Onn dahulu.

Politik bukan pemisah

Kami berdua sering berbual-bual. Dari hal-hal semasa, agama, keluarga sehinggalah ke hal-hal politik. Malahan pada ketika usia saya di awal 20 an, saya sudah “lepas” untuk berbual dengan rakan-rakan atuk.

Walaupun kami mempunyai pemikiran politik yang berbeza, semua itu tidak pernah menjejaskan hubungan baik atuk dan cucu. Walaupun atuk adalah orang kampung, beliau professional dalam hal ini.

Perbezaan ideologi politik bukanlah pemutus hubungan kekeluargaan atau persahabatan. Hari ini, ramai yang mengaku mereka golongan professional tetapi tidak matang dalam berpolitik.

Jikalau berbicara tentang politik, arwah sebagai seorang yang hidup dizaman pemerintahan Inggeris dan Jepun pasti akan menggunakan hujah-hujah seperti “tanpa Umno, negara pasti akan terus dijajah”.

Saya yang pada ketika itu baru didedahkan dengan perjuangan golongan kiri Melayu dalam perlawanan menuntut kemerdekaan, akan “melawan” semua yang dikatakan oleh arwah atuk.

Saya masih teringat, arwah atuk tersenyum lebar apabila saya mengatakan bahawa rupanya tidak ubah seperti tokoh politik yang paling saya hormati, Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Pelajaran dari arwah 

Arwah adalah aktivis masyarakat yang berjuang tanpa mengenal lelah. Di surahkan oleh ayah saya bahawa arwah atuk seringkali menolak tawaran untuk bertanding sebagai wakil rakyat.

Pada beliau, menjadi wakil rakyat tidak penting. Yang paling penting adalah bagaimana beliau dapat membantu masyarakat. 

Itulah hebatnya Umno satu ketika dahulu.Orang-orang seperti arwah atuk memenuhi parti Melayu terbesar itu. Tetapi kini sudah berbeza. Umno dilihat sebagai parti kontraktor yang hanya mahukan keuntungan perniagaan semata-mata dan tidak lagi berjuang untuk rakyat marhaen.

Arwah atuk pasti tidak pernah terbayang bahawa negeri Selangor yang merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak lepas merdeka jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR).

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan arwah jika beliau masih hidup pada Mac 8, 2008. Beliau pasti akan kecewa. 

Sebelum Mac 8, 2008, PR sendiri tidak pernah menyangka bahawa mereka akan mengambil-alih Selangor. 

Sebab itulah ada calon yang seharusnya bertanding di kerusi Parlimen atau DUN di Selangor melarikan diri ke negeri lain yang dianggap selamat. 

Selepas tsunami berlaku, ramai yang menyesal. Begitulah politik. Segala-galanya sukar untuk diduga.

Semakin dekat takbir raya akan bergema, semakin sebak hati saya. Inilah lumrah hidup. Setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Akan tetapi, biarpun jasad telah tiada, namun semangat tetap bersama.

Saya dedikasikan penulisan kali ini kepada arwah atuk, arwah Haji Juberi bin Haji Taib. Semoga pembaca dapat bersama-sama menyedekahkan Al-Fatihah buatnya.

Sempena Aidilfitri yang akan tiba berberapa hari lagi, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca The Malaysian Insider. 

Berhati-hatilah ketika memandu di musim perayaan ini. Jangan kerana terlalu ghairah pulang ke kampung, kita hendak memandu dengan laju dan berbahaya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.