The Malaysian Insider

Opinion

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Beliau memblog di www.aminiskandar.blogspot.com dan "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Filem hina Muhammad dan kemarahan umat Islam seluruh dunia

Sep 20, 2012

20 SEPT — Bermula minggu lalu umat Islam diseluruh dunia bangkit menentang penyebaran sebuah filem arahan Sam Bacile yang bertajuk “Innocence of Muslims” yang disiarkan di laman YouTube.

Filem ini menghina Nabi Muhammad S.A.W kerana menggambarkan beliau sebagai gila seks, gila perempuan, tidak waras, gay dan pelbagai lagi penghinaan yang mencetuskan ketegangan di negara-negara Arab, termasuk di Benghazi, Libya di mana Duta AS ke Libya, Christopher Stevens mati dalam serangan roket dari pejuang ekstremis Islam yang dikatakan ditaja oleh al-Qaeda.

Tujuan filem ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memprovokasi umat Islam untuk masuk kedalam perangkap politik mainan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Minggu lalu akhbar The Independent melaporkan pada 14 September melalui sumber dari diplomat senior, Washington sudah mempunyai maklumat bahawa kedutaan-kedutaan mereka akan menjadi sasaran 48 jam sebelum serangan berlaku terhadap kedutaan mereka di Benghazi, Libya.

Lebih mengejutkan, tiada amaran dikeluarkan kepada diplomat-diplomat supaya berjaga-jaga di tahap tertinggi yang pada kebiasaannya menghadkan pergerakkan pegawai-pegawai diplomat.

Christopher Stevens, duta yang terbunuh, baru sahaja pulang ke Libya dari lawatan ke Jerman, Austria dan Sweden dimana anggota keselamatan kedutaan AS sepatutnya memutuskan bahawa perjalanan boleh dijalankan dengan selamat.

Pegawai-pegawai kanan semakin yakin bahawa sifat ganas serangan Benghazi, di mana bom roket telah digunakan, menunjukkan ia bukanlah hasil kemarahan spontan disebabkan filem Sam Bacile.

Patrick Kennedy, Penolong Setiausaha di Jabatan Negara, berkata beliau yakin serangan itu dirancang kerana sifat yang luas dan percambahan senjata.

Malaysia tidak ketinggalan untuk membantah filem yang menghina Muhammad itu.

Jumaat lalu, 16 NGO Islam berdemo secara aman di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kerana membantah filem menghina Islam diarahkan oleh pengarah filem Amerika yang mencetuskan kemarahan seluruh dunia.

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu mengatakan bahawa penghinaan dilakukan oleh Sam Bacile ini lebih buruk daripada apa yang dilakukan oleh Salman Rushdie satu ketika dahulu.

“Islam melarang umatnya untuk menghina atau mencerca agama atau kepercayaan lain.

“Oleh itu Islam juga harus dihormati, tindakan Sam Bacile ini adalah penghinaan yang lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Salman Rushdie satu ketika dahulu,” katanya lagi.

Apa yang akan berlaku selepas serangan yang menyebabkan kematian duta AS di Libya?

Dahulu selepas serangan 11 September 2001, Afghanistan dan Iraq ditawan oleh AS dan sekutunya.

Apakah pembunuhan kedutaan AS di Benghazi bakal menyebabkan Syria jatuh ketangan AS dan sekutunya serta Iran diserang?

Untuk memahami politik antarabangsa, umat Islam di Malaysia mesti keluar dari sifat taksub mereka berkenaan dengan mahzab.

Barulah gambaran besar dapat dilihat dan anda akan tahu dengan siapa harus anda bersama. 

Tindakan Sam Bacile itu bertentangan dengan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh pemerintah AS.

Prinsip hak asasi manusia menghormati kebebasan beragama.

Menghormati agama dan kepercayaan lain turut diwajibkan oleh Islam.

Apa yang paling penting, dizaman globalisasi ini, Internet janganlah disalahgunakan untuk tujuan-tujuan politik tertentu.

Apatah lagi perkara-perkara melibatkan agama sudah pasti akan berakhir dengan ada yang terbunuh.

Namun kita juga perlu bertanya, apakah tujuan filem ini dikeluarkan?

Apakah ini satu lagi 11 September?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.