The Malaysian Insider

rencana

Keputusan PRU di Kedah ‘predictable’ — Aspan Alias

26 APRIL — Semalam hari kedua saya di Kedah dan saya nampak dengan jelas, kerajaan teraju PAS di Kedah akan kekal dan hampir kesemua kawasan Parlimen di negeri ini akan dimenangi oleh PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Malahan kerusi yang disandang oleh Umno di kawasan-kawasan DUN pun hanya menunggu masa untuk diambil alih oleh PAS.

Saya tidak mempunyai perkiraan secara saintifik, tetapi apa yang jelas Umno sudah terlalu jelas diketepikan oleh rakyat negeri jelapang padi ini. Kehadiran dua orang setiausaha politik Perdana Menteri yang tersenarai sebagai calon BN tidak memberikan kesan positif untuk BN malahan menjadi semangat bagi rakyat Kedah untuk melakukan perubahan yang dinanti-nantikan mereka.

Tidak ada sesiapa dapat mengagak apa yang akan dicapai oleh Mukhriz Mahathir dan ramai rakyat Kedah bertanya kenapa dalam banyak-banyak kawasan DUN, Umno memilih untuk meletakkan beliau di kawasan Air Hitam. Orang-orang Umno yang saya terjumpa semuanya bertanya, kenapa Mukhriz tidak diletakkan sebagai calon di Kuah misalnya. Saya nampak persoalan sebegini menunjukkan dengan jelas yang pekerja parti Umno sendiri mempunyai perasaan kurang yakin Mukhriz akan berjaya memenangi kerusi ini.

BN meletakkan Othman Abdul sebagai calon BN di Pendang berdasarkan beliau adalah orang yang mempunyai “grassroots” di sana. Tetapi mengikut orang orang tempatan Pendang, mereka beranggapan yang Othman Abdul sudah lama meninggalkan kawasan ini dan kehadiran beliau tidak disenangi oleh pimpinan Umno Bahagian Pendang sekarang ini. PAS pula meletakkan Mohamad Sabu sebagai calon untuk berhadapan dengan Othman Abdul. Maka keputusannya nanti adalah “predictable” dan Mohamad Sabu akan mendapat kemenangan yang lebih besar daripada kemenangan yang dicapai oleh Dr Hayati, bekas ahli Parlimen PAS yang tidak bertanding untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden PAS itu.

Penglibatan ramai muslimat PAS dalam PRU kali ini sudah menunjukkan yang PAS adalah jauh lebih diyakini untuk menang kerana mana-mana pihak yang disokong oleh kaum wanita, pihak itulah yang akan meraih lebih undi dari pihak yang lain itu.

Walaubagaimana pun kita masih mempunyai sembilan hari untuk melihat keputusan yang sebenarnya. Tetapi mengikut “mood” yang ada di akar umbi, Umno akan tetap menghadapi kekalahan dan beberapa kerusi yang disandang oleh Umno sekarang ini pun akan banyak yang terjatuh ke tangan PAS.

Begitulah keadaan di sini dan sebagaimana yang saya katakan tadi keputusan pilihanraya kali ini adalah “predictable”. — aspanaliasnet.blogspot.com

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.