28 NOV — Bajet 2012 Negeri Perak telah pun diluluskan oleh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengambil semangat Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, bajet bertemakan Perak Amanjaya: Mensejahterakan Rakyat & Memakmurkan Negeri itu menggariskan 50 Tumpuan di bawah empat kategori fokus iaitu Meningkatkan Ekonomi dan Peluang Pekerjaan; Memantapkan Pembangunan Modal Insan dan Perkhidmatan Awam; Melengkapkan Infrastruktur dan Kemudahan Awam; serta Mensejahterakan Kehidupan Rakyat.
Para pembangkang pantas mengatakan bajet berkenaan adalah bajet pilihan raya, namun Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak kisah dengan tuduhan itu. Apa yang penting baginya, bajet itu bajet rakyat! Bajet yang akan menguntungkan penduduk Perak Darul Ridzuan.
“Rakyat boleh menilai sendiri tumpuan bajet ini,” katanya semasa ditemubual dalam program Selamat Pagi Bersama Dr Zambry di radio PerakFM baru-baru ini.
Bagi Zambry, bajet ketiga sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar Perak ini cukup istimewa kerana pertama kalinya secara jelas menggariskan manfaat yang bakal diperoleh rakyat negeri ini daripada projek, program dan dasar yang dirancang.
Walaupun bajet sebelum ini juga mempunyai matlamat sama untuk kebajikan rakyat namun pengkelasan mengikut sektor menyebabkan ramai yang kurang jelas akan manfaatnya kepada mereka.
Justeru 50 tumpuan yang diberikan di bawah Bajet 2012 Negeri Perak menjadikannya satu pelan induk pembangunan negeri dan pengurusan pentadbiran yang cukup menyeluruh dan terperinci.
Lebih menarik lagi apabila lebih separuh daripada jumlah tumpuan itu diberikan untuk kategori keempat iaitu mensejahterakan rakyat. Antaranya skim perumahan dengan dana rolling plan untuk tahun depan sahaja berjumlah RM10 juta disediakan, pemansuhan lesen peniaga pasar malam dan penjaja yang sudah pasti membolehkan lebih 30,000 peniaga dan penjaja kecil di negeri ini menarik nafas lega.
Pada masa sama, tindakan tersebut juga akan menggalakkan budaya usaha niaga di kalangan rakyat negeri ini tanpa perlu bersusah payah memohon dan membayar lesen, hanya perlu mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan.
Turut mendapat manfaat daripada bajet kali ini, 7,000 bekas tentera dan polis yang akan mendapat lot rumah di bawah skim perumahan baru yang disediakan di samping program perumahan rakyat sedia ada.
Apa yang pasti bajet ini akan memenuhi aspirasi rakyat terbanyak - satu pelan induk yang dirangka bukan sehari dua atau melibatkan seorang dua sebaliknya melalui proses 3P: turun padang mendekati rakyat, menyelami perasaan dan mencari penyelesaian masalah mereka.
Projek dan program yang dirancang bukan bersifat 'one off' seperti didakwa oleh pembangkang sebaliknya bersifat jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada majoriti rakyat Perak tanpa mengira latar belakang apatah lagi fahaman politik. Pembangkang Perak sebenarnya sudah kehabisan peluru untuk dilepaskan terhadap naskhah bajet kali ini.
Tuduhan kerajaan negeri di ambang muflis yang dilemparkan gara-gara bajet yang dibentangkan kali ini adalah bajet defisit RM50.14 juta juga kurang memberi kesan. Ini kerana, apa sangatlah RM50.14 juta berbanding bajet defisit RM107.78 juta yang pernah dibentangkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang tahun lalu.
Lagipun seperti dijelaskan Zambry, perbelanjaan 2012 berjumlah RM915.26 juta melebihi unjuran pendapatan sebanyak RM865.12 juta itu bukan bermakna kerajaan negeri tidak ada duit kerana pembiayaan masih boleh dibuat daripada rezab negeri — malah dari segi kewangan negeri, jumlah defisit itu kurang tujuh peratus daripada rezab yang ada — maka ia tidak memerlukan kerajaan negeri membuat pinjaman.
Isu perjanjian migrasi air oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan Kerajaan Pusat yang menjadi sunggingan juak-juak DAP di negeri ini juga tidak menjadi kudis kepada kerajaan negeri memandangkan perjanjian sama turut dimeterai negeri-negeri lain termasuk yang diperintah oleh pembangkang, malah difahamkan ditandatangani lebih awal lagi.
Mungkin dalam diam-diam mengakui kebaikan Bajet Perak kali ini, pembangkang tidak menimbulkan huru-hara semasa persidangan DUN sehingga membolehkan perbahasan selama lima hari berjalan lancar.
Selayaknya bajet defisit kali ini dianggap defisit positif. Ia bukan sekadar 'gula-gula' pemanis mulut sebaliknya ubat pemberi tenaga yang akan memastikan kesinambungan agenda mensejahterakan rakyat.
Meskipun agak mustahil untuk memuaskan hati semua pihak, namun Bajet 2012 Negeri Perak patut menjangkau seramai mungkin penduduk Darul Ridzuan ini.
Selain sokongan penduduk, komitmen pemimpin segenap peringkat khususnya pegawai pelaksana diperlukan untuk membantu menjayakannya. Paling penting, tidak ada menjadi gunting dalam lipatan, mensabotaj pelaksanaan bajet tersebut
Justeru semuanya daripada kakitangan kerajaan negeri, petugas parti Umno dan BN, perlu mendukung pelan ini demi menjayakan wawasan Perak Amanjaya — untuk meningkatkan peluang pendidikan, ekonomi mahupun pekerjaan seterusnya menjamin pendapatan dan kehidupan berkualiti terhadap seluruh rakyat di negeri ini.
Semuanya perlu bergerak sebagai satu pasukan kerana Zambry tidak boleh melakukannya sendiri. — Utusan Malaysia
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.