The Malaysian Insider

Side Views

Bila mahu buat garis panduan tentang pembuli di sekolah? ― Nomy Nozwir

Sep 14, 2012

14 Sept ― Semalam saya telah membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Puad Zakarshi mengenai garis panduan untuk mengenali pelajar-pelajar yang dikatakan bakal menjadi “gay” dan “lesbian” dan ibu bapa harus memantaunya.

Ketika saya membaca cerita itu di laman sosial Twitter, ramai yang membincangkan isu tersebut, tidak kurang ramainya yang membuat lawak tentang “gay” dan “lesbian”.

Tetapi, ketika orang ramai sibuk membincangkan garis panduan dari Kementerian Pelajaran tentang “gay” dan “lesbian” ini, saya terfikir satu perkara yang sangat penting sebenarnya, yang sering diabaikan.

Soalan saya kepada Kementerian Pelajaran: Bila lagi mahu buat garis panduan untuk mengenali pelajar-pelajar pembuli di sekolah?

Sebagai mangsa buli semasa di sekolah, saya mengalami trauma dan beberapa kecederaan kekal akibat dipukul dan dibelasah oleh pelajar-pelajar di sekolah.

Semasa saya di sekolah, di mana sekolah saya yang majoritinya Melayu, saya dibuli oleh pelajar-pelajar hanya kerana mata saya yang sepet, dan saya dituduh sebagai “Cina makan babi”.

Realitinya, rasisme dan perkauman masih ada di sekolah, dan pembuli masih lagi ada di sekolah.

Semasa saya berada di darjah empat, setiap hari saya dipukul teruk tanpa sebab. Kadang-kala saya diugut agar memberikan wang saku sekolah saya kepada mereka, atau mereka pukul saya dengan lebih teruk.

Saya juga pernah disumbat tanah dalam mulut saya, selepas ustaz mengajar tentang cara-cara untuk menyamak najis mughallazah, iaitu najis yang dikeluarkan oleh anjing dan babi.

“Samak (cuci najis dengan tanah) mulut dia, dia makan babi!” jerit sekumpulan pelajar yang kemudian beramai-ramai menyumbat tanah dalam mulut saya. Sejak kejadian itu, saya trauma untuk hadir ke sekolah, dan saya rasa kurang berminat untuk ke sekolah.

Kejadian tersebut masih lagi dalam memori saya, walaupun sudah hampir 18 tahun peristiwa itu telah berlalu.

Saya sering mendengar cerita dari kawan-kawan saya pengalaman mereka dibuli sama ada oleh pelajar senior, rakan sebaya atau orang yang berlainan etnik. Dan setiap kali saya mendengar cerita ini, saya berfikir, “kenapa laporan terhadap buli ini tidak pernah dilakukan?”

Saya merasakan pembuli mempunyai satu penyakit mental yang serius ― iaitu ingin merasa hebat, atau “grandeur” dan mempunyai “fetish” untuk melihat kelompok minoriti, atau yang lebih lemah menjerit kesakitan, menangis atau terasa lemah dengan penguasaan mereka.

Pembuli ini berada di mana-mana, dan mereka tidak saja membuli dari segi fizikal seperti pukul atau menyumbat tanah dalam mulut seperti yang saya alami, tetapi buli dari segi psikologi atau mental, emosi, dan ada juga secara seksual.

Jika kita lihat di Twitter, golongan pembuli ini seronok membuli dengan kata-kata yang kesat, menghina dan kemudiannya rakan-rakan pembuli akan terus “retweet” beramai-ramai, menyebabkan mangsa tertekan secara emosional.

Mungkin ia tidak memberikan kecederaan seperti yang saya alami, namun tekanan dari para pembuli ini menyebabkan si mangsa merasa semua orang mahu berlaku kejam ke atas dirinya.

Kita tidak akan tahu apa yang bakal berlaku seterusnya, namun yang pasti, si pembuli-pembuli ini merasa puas bila mangsa merasa sedih dan tertekan.

Satu soalan saya ingin lontarkan kepada masyarakat: apakah ini budaya kita? Apakah satu keseronokan selain melihat mangsa yang lemah, atau dalam kelompok yang kecil, diherdik dan dihina sehingga tertekan akibat kata-kata mereka? Kenapa perlu lakukan sedemikian? Supaya merasakan diri berada dalam kelompok majoriti dan berada dalam golongan yang kuat?

Apakah ini tidak salah dalam masyarakat? Mengganggu orang yang lemah dan membuatkan mereka rasa seperti seluruh dunia membencinya adalah satu tindakan yang baik?

Dalam hal ini, saya juga ingin bertanya kepada Kementerian Pelajaran, sejauh manakah pihak kementerian memandang isu buli ini sebagai satu isu yang serius, kerana sebagai mangsa buli, saya tahu perasaan mereka yang merasakan diri mereka tidak selamat untuk ke sekolah, lalu mengambil keputusan untuk ponteng sekolah dan mencari kawan-kawan yang “lebih kuat” untuk menjaga mereka.

Ataupun pihak kementerian hanya berminat untuk memburu orang yang disyaki “gay” atau “lesbian” hanya kerana dia gemar memakai baju berkolar V dan memakai beg besar yang saya rasakan tidak ada kaitan langsung dengan menjadi gay?

Apakah ini satu diskrimikasi terhadap mereka yang memakai gaya sedemikian ― dan seterusnya menjadi OK untuk menghalang dari mereka memakai beg besar atau memakai baju V?

Tidakkah ini juga adalah satu tindakan yang membuli?

Pada akhirnya, jika kementerian tidak berminat untuk menangani masalah buli dan lebih memikirkan soal baju V dan beg besar dikaitkan dengan gay, jangan marahkan orang seperti saya, menganggap adalah OK untuk membuli, kerana buli ini sebahagian daripada budaya masyarakat.

Mungkin jika pihak kementerian mahu bersungguh-sungguh menangani masalah buli, dan mahu mencari simptom-simptom ciri-ciri seorang pembuli, mungkin mereka boleh lihat di sekeliling mereka.

Jawapan itu berada di mana-mana, dan mungkin berada dalam diri mereka sendiri.

* Nomy Nozwir is a reporter with The Malaysian Insider

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.