8 MEI — Bolehkah Pakatan Rakyat sampai ke Putrajaya tanpa menamakan kabinet bayangan seperti yang diamalkan oleh negara yang mewujudkan sistem dua parti seperti di Britain dan Australia dan lain-lain?
Itulah yang diejek-ejek oleh pemimpin BN khususnya Perdana Menteri terhadap Pakatan Rakyat yang hingga ini dikatakan gagal untuk menamakan kabinet bayangannya. Kegagalan itu dikira kelemahan pembangkang, maka ia kononnya mencerminkan ketidakupayaan mentadbir negara.
Adalah benar pembangkang Britain yang bergilir-gilir antara Parti Buruh dan Parti Konservatif ada kabinet bayangannya.
Tetapi ada juga negara yang memakai sistem dua parti tiada kabinet bayangan hinggalah ia memenangi pilihanraya seperti Amerika.
Pembangkang Amerika tidak pernah ada kabinet bayangan. Dua tahun sebelum pilihanraya Presiden mereka sebok memilih calon Presidennya dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Setelah ada calon Presiden mereka pulun dulu apa yang hendak dibuat kiranya berkuasa?
Sesudah calon pembangkang itu menang, ia ada masa dua bulan pula memilih anggota kabinetnya. Diumumkan seorang demi seorang. Tiada siapa tahu siapa anggota kabinetnya hinggalah dalam masa sebulan setengah itu dinamakan seorang demi seorang oleh Presiden yang terpilih itu.
Tiada siapa mengatakan pembangkang Amerika itu lemah kerana tiada kabinet bayangannya.
Dibandingkan antara Amerika dan pembangkang Malaysia yang sekarang Pakatan Rakyat tidak perlu berkempen macam pembangkang Amerika tentang siapa calon ketua kerajaan. Sebaik saja Pakatan dibentuk ia sudah ada Perdana Menteri bayangan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika Anwar diminta Yang di-Pertuan Agong membentuk kabinet selepas memenangi pilihanraya dia tidak akan mengambil masa berminggu-minggu seperti yang dilakukan oleh bakal Presiden Amerika bagi menamakan kabinetnya.
Kurang dari seminggu dia akan umumkan sekalian anggota kabinetnya serentak. Tanpa bayangan pun boleh membentuk kerajaan, memadai sekadar ada Perdana Menteri bayangan.
Rakyat yang memilih tidak perlu tahu siapa menteri pelajaran tinggi dan siapa menteri industri asas tani. Yang mereka hendak tahu sekarang ialah calon Perdana Menteri.
Yang pembangkang dulu tidak dilihat sempurna kerana pengundi tidak tahu siapa yang akan jadi Perdana Menteri kalau ia menang? Antara yang menguntungkan BN dulu ialah tiada calon Perdana Menteri yang tunggal itu. Sekarang calon itu telah diketahui sebelum Najib jadi Perdana Menteri.
Tiada kabinet bayangan itu bukan satu bukti kelemahan pembangkang. Jepun tidak pernah ada kabinet bayangan. Perdana Menteri bayangan pun tak ada. Ia bertukar Perdana Menteri setiap tahun. Tiada siapa di dunia kata sistem Jepun itu lemah.
Pengundi Malaysia sekarang bukan hendak tahu siapa kabinet bayangannya. Yang mereka hendak tahu apa program pembangkang jika ia menang?
Mereka sudah umumkan dalam Buku Jingga tiga tahun dulu banyak perkara yang akan dibuat dalam masa 100 hari ia berkuasa. Najib pun sudah hafal isi Buku Jingga itu. Ia curi sikit demi sikit.
Pakatan hendak adakan reformasi, Najib pun adakan transformasi. Pakatan hendak mansuhkan ISA, Najib padam kalimah ISA. Ditukar ISA pada nama lain.
Rakyat hendak tahu tentang harga runcit minyak. Ia akan turun sebelum kabinet dibentuk. Perdana Menteri bayangan sudah umumkan dalam masa 2 jam harga minyak akan diturunkan. Dalam masa 2 jam kabinet baru hendak dibentuk.
Tidak perlu dinamakan Lim Kit Siang ada dalam kabinet. Orang tahu dia akan ada kerana dia sudah umumkan akan bentuk Suruhanjaya Bebas tentang kedudukan Zon Bebas Pelabuhan Klang. Tanpa beritahu dia ada dalam kabinet orang pun tahu dengan pengumumannya itu dia ada dalam kabinet.
Orang tidak perlu tanya Ustaz Abdul Hadi ada atau tidak dalam kabinet, tetapi orang mahu tahu rakaman khutbah Jumaat akan disiarkan oleh RTM di waktu yang sesuai selepas solat Jumaat. Tiada sesuai ada siaran langsung kerana laki-laki Islam berada di masjid masing-masing semasa solat.
Tiada kabinet bayangan pun boleh sampai juga ke Putrajaya. Kabinet bayangan itu bukan wajib. Ia sekadar harus. — harakahdaily.net
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.