8 SEPT — Sekonyong-konyong kenyataan Mohamad Sabu dalam satu ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang menjadi topik hangat menjelang tanggal kemerdekaan ke-54 dan ia masih terus diperkatakan sehingga kini. Menurut beliau, polis yang mati dalam tragedi Bukit Kepong ialah polis yang berkhidmat dengan British dan seorang pemuda tempatan bernama Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan sebenar. Dalam ceramah itu, beliau mempertikaikan proses pensejarahan negara yang didakwa hanya menonjolkan peranan tokoh-tokoh Umno sebagai pejuang kemerdekaan.
Kenyataan beliau telah memanggil sejumlah cemuhan dan kritikan. Hampir setiap hari rakyat Malaysia disajikan dengan cemuhan dan kritikan ini di media massa. Ada juga yang sampai mencadangkan agar Mohamad Sabu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau dilucutkan kerakyatan. Sebilangan ahli akademik turut tampil mengemukakan pandangan mereka. Selain itu, ada juga pihak menganggap perhatian terhadap persoalan yang timbul daripadanya tidak perlu diberi perhatian kerana lebih banyak perkara perlu dilakukan terhadap situasi negara kini.
Pertama sekali, sebagai anak muda, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mohamad Sabu kerana telah membuka ruang wacana satu sisi sejarah negara sempena sambutan ke-54 kemerdekaan negara dan juga hari Malaysia ke-48. Di alam maya (khususnya Facebook dan Twitter) serta dalam realiti pergaulan harian, saya dapat merasakan bagaimana munculnya minat ramai dalam memperkatakan isu ini. Sekurang-kurangnya ramai yang berpeluang membelek semula sejarah negara. Di samping itu, kecenderungan proses pensejarahan yang hanya menonjolkan Umno sebagai pejuang kemerdekaan boleh dirasakan sendiri oleh anak muda yang mengikuti proses pendidikan di negara ini.
Sekurang-kurangnya kenyataan Mohamad Sabu yang dijadikan isu besar media itu mendorong anak muda menyaring pelbagai maklumat. Ini penting kerana beberapa hari sebelum media massa menghangatkan isu ini, saya terdengar seorang pengacara radio menyebut dalam iklan merdeka yang disiarkan bahawa kemerdekaan negara diperolehi dengan melawan komunis. Ketika mendengar kenyataan itu, saya tertanya “sejak bila komunis pernah menjajah Malaysia?”
Saya terus mengikuti wacana yang berlangsung. Sedikit kesal kerana tidak dinafikan bahawa ada yang menjadikannya sebagai medan untuk “score political points”. Saya tidak memaksudkan itu salah, Cuma sebagai anak muda saya fikir ia harus pergi lebih jauh daripada itu. Ini penting kerana jika proses pensejarahan itu condong, sedikit sebanyak ia akan melahirkan generasi yang tidak objektif. Objektif yang dimaksudkan di sini ialah kebenaran sejarah mesti dinyatakan, sama ada kita suka atau tidak dengan ‘kebenaran’ tersebut.
Ungkapan Winston Churchill bahawa “sejarah ditulis oleh mereka yang menang” sering diulang ketika membincangkan aspek sejarah. Justeru, sikap kritikal terhadap naratif yang dikemukakan oleh kelompok ini adalah wajar. Selain daripada sejarah dari perspektif “mereka yang tewas”, perimbangan antara yang menang dan tewas ini juga penting untuk dilihat. Kebenaran sejarah tidak semestinya sama dengan kebenaran hakiki, namun ia boleh membantu manusia belajar, sebagaimana ditulis Thucydides dalam Sejarah Perang Peloponessian: “Sejarah adalah falsafah mengajar melalui contoh pengalaman.”
Saya fikir sejarah Malaysia kompleks. Namun, jika kita mempunyai idea pendorong yang jelas, ia boleh membantu dalam menyaring pelbagai maklumat yang ada. Dalam isu kenyataan Mohamad Sabu yang berkembang menjadi wacana komunis dan lain-lain hal, saya melihatnya begini:
Campur tangan British dalam hal ehwal negara bukanlah baru. Lihat sahaja Perjanjian Pangkor dan sejumlah penglibatan British dalam pentabiran negeri-negeri. British telah hadir ke wilayah negara ini sejak ratusan tahun yang lampau. Arkib negara mencatatkan kehadiran British seawal tahun 1786.
Penentangan terhadap British juga bukanlah baru. Penghulu Dol Said di Naning, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Rosli Dhoby dan Rentap di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah adalah sebahagian nama-nama tokoh penentangan terhadap British yang telah lama didengari.
British memang menggunakan polis dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk menangani kebangkitan rakyat. Dalam kes Pemberontakan Tani di Kuala Berang pada 1928, Dato’ Seri Lela Diraja dihantar oleh British untuk menangani kebangkitan rakyat. Beliau memberikan amaran kepada rakyat untuk segera menghentikan bantahan tetapi tidak diendahkan.
Akibatnya polis melepaskan tembakan. Polis tambahan diambil dari negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk mematahkan kebangkitan rakyat Sebahagian tokoh kebangkitan ditangkap, dipenjarakan, dibuang negeri dan dibunuh oleh British. Abdul Rahman Limbong di Terengganu misalnya telah dibuang negeri dan Tok Janggut dibunuh.
Sebahagian perjuangan tokoh-tokoh yang dinyatakan di atas mungkin gagal, namun untuk mengatakan mereka tidak berjuang adalah salah dan untuk mengatakan bahawa tidak ada polis tempatan yang mengikut telunjuk British juga salah. Mungkin patut ditanyakan apakah memang ada tokoh tempatan lain hanya sibuk memastikan kedudukan serta kekayaan tidak tergugat?
Selain daripada tokoh-tokoh yang dinyatakan, nama seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi, Za’ba, Burhanuddin al-Helmi dan juga Ahmad Boestamam (sekadar menyatakan sebahagian) juga memainkan peranan tersendiri dengan cara masing-masing untuk berjuang.
Masyarakat kita pernah menerima pengaruh Jepun yang popular dengan perjuangan Asia untuk orang Asia. Namun akhirnya menolak kezaliman Jepun dan sedia mendapatkan pertolongan British untuk melawannya. Namun, itu tidak beerti rakyat memang mahukan British. Hakikat bahawa slogan perjuangan Jepun diterima pada awalnya sehingga memaksa British berundur cukup untuk menjelaskan persoalan ini.
Meskipun saya bersetuju dengan kenyataan Profesor Tan Sri Dr Khoo Khay Kim tentang keperluan melihat pergerakan komunis dalam konteks perluasan empayar komunisme di seluruh dunia, saya fikir konteks zaman itu yang tebal dengan persoalan imperialisme dan pertembungan blok ekonomi tidak wajar dikesampingkan. Dalam pengertian lain, kerjasama untuk perluasan empayar itu adalah jenis pemikiran yang normal pada zaman itu. Seperkara lagi, saya fikir Khoo Khay Kim juga boleh melihat bagaimana dalam empayar komunis itu sendiri ada pergolakan. Dalam kes di Indochina sekitar zaman itu misalnya, berlaku pertembungan antara pengaruh China dan Soviet.
Komunis memang bertindak zalim kemudiannya. Ini harus diakui oleh para pendokong faham komunisme. Kezaliman komunis ini bukan sahaja di Malaysia tetapi di banyak tempat. Jika dihitung, ratusan juta manusia mati disebabkan oleh tindakan pemimpin dan pejuang komunisme. Fakta ini benar namun ia tidak menafikan bahawa pejuang komunisme yang melawan British itu tidak dianggap berjuang untuk kemerdekaan. Apatah lagi slogan Merdeka mula dilaungkan oleh kelompok yang dikaitkan dengan komunisme. Menyebut komunis juga terlibat memperjuangkan merdeka tidak menjadikan seseorang bersetuju dengan komunisme 100 peratus.
Saya juga berpendapat bahawa kezaliman adalah kezaliman. Terlepas siapa pun melakukannya, ia wajib ditolak. Kezaliman itu juga wujud dalam pelbagai bentuk. Prinsipnya, kezaliman mesti dilawan. British ada melakukan perkara yang baik dan betul misalnya menghapuskan perhambaan dan mengadakan sejumlah institusi untuk memodenkan pentadbiran, mereka juga ada melakukan kezaliman. Komunis juga ada berjuang untuk kemerdekaan dan ada juga melakukan kezaliman.
Saya fikir, dalam mana-mana perjuangan, setiap pihak berhak untuk memilih apa yang dipercayai oleh mereka. Jika British tewas lebih awal misalnya, ia tidak akan secara automatik menjadikan komunis sebagai pemimpin negara meskipun mereka tentunya akan cuba mendapatkan kuasa. Fikiran bahawa mereka akan secara automatik menjadi pemimpin negara muncul kerana kegagalan menghormati kepelbagaian aliran perjuangan yang ada pada waktu itu.
Katakan Parti Komunis Malaya berjaya mendapat sokongan majoriti pada waktu itu, apakah keputusan rakyat itu tidak akan dihormati? Persoalan saya ialah kenapa mereka tidak dibenarkan membentuk sebuah parti politik dan bertanding secara terbuka dan aman dalam keadaan mereka telah dilihat lemah?
Saya faham perasaan ahli keluarga polis dan rakyat yang menjadi mangsa kezaliman komunis. Saya juga mahu mengajak kita memahami perasaan ahli keluarga dan rakyat yang menjadi mangsa kezaliman British. Sentimen kebencian itu memang tetap akan ada. Namun, janganlah rasa benci itu menjadikan kita gagal mengambil sikap objektif dalam memberi keadilan kepada kebenaran sejarah.
Sejarah lisan (oral history) ada tempat dalam proses pensejarahan. Hakikat sejarah ditulis oleh mereka yang menang juga tak wajar dinafikan. Saya sendiri berharap Profesor Ramlah Adam ingat bagaimana beliau telah ditempelak kerana mengamalkan falasi susunan kad (card stacking — satu teknik propaganda yang menonjolkan satu sisi isu dan mengabaikan sisi lain, khususnya sisi bertentangan) dalam satu pembentangan isu Melayu-Islam di negeri Perlis beberapa tahun lalu.
Berkaitan dengan falasi tersebut juga, saya fikir peranan dan sumbangan Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain juga perlu diiktiraf seadanya.
Kebetulan saya juga tertonton rancangan di TV Al-Hijrah yang bertajuk Komunis: Agama itu Candu? Saya mendengar pandangan ahli panel yang masih tersekat dengan kata-kata Karl Marx bahawa “agama itu candu” walhal wacana komunisme berkembang, bentuknya pelbagai di samping candu dalam pengertian Karl Marx itu ada konteksnya.
Daripada keseluruhan proses ini, saya fikir anak muda khususnya harus belajar untuk cuba memahami sejarah dan perkembangannya selain akan gigih mencatatkan zeitgeist (semangat zaman) agar perkembangan wacana zaman ini akan dapat dirujuk dengan baik pada masa akan datang.
Dengan seluruh gambaran ini, secara peribadi saya mengambil sikap bahawa Mat Indera dan komunis memang ada mempunyai jasa dalam memperjuangkan kemerdekaan. Malah, sebagaimana memang sedia diketahui ramai, ada lebih banyak kelompok dan individu turut sama dalam usaha memerdekakan negara, selain daripada jumlah terhad organisasi dan individu yang sering ditonjolkan.
Kita tidak perlu bersetuju 100 peratus dengan mana-mana pihak untuk mengiktiraf bahawa mereka turut menyumbang kepada proses bina-negara ini. Memang politik wujud kerana kita tidak boleh bersetuju 100 peratus dalam semua perkara. Kita juga wajib sedar bahawa, tanpa British dan komunis sekalipun, kita tidak pernah mahu merdeka untuk membiarkan rasuah, kezaliman dan salah guna berlaku, atas nama apa pun, lebih-lebih lagi atas kepentingan agama, bangsa dan negara.
Selamat Hari Merdeka dan Selamat Hari Malaysia!
* Amin Ahmad adalah Felo di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), organisasi pendokong idea pasaran terbuka yang selalu ditentang oleh pendokong idea komunisme.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.