Rencana

Adakah Hj Hadi setaraf Zahid Hamidi? Buktikan atau mohon maaf! – Che’GuBard

December 17, 2013

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat;217 yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…”

Saya Badrul Hisham bin Shaharin atau lebih dikenali sebagai che’GuBard telah bertanding di kerusi N21 Dun Sungai Acheh, Pulau Pinang. Walaupun kerusi tersebut ialah kerusi PKR (tahun 2008 ditandingi PKR) tetapi kerusi tersebut telah turut ditandingi oleh calon PAS.

Semasa kempen pilihan raya umum lepas Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah berceramah di Marang pada 22 April menyatakan dengan jelas kononnya PAS terpaksa menghantar calon berlawan dengan calon Pakatan Rakyat (PR) kerana 3 alasan :

1. Calon PR yang lain yang telah dipersetujui awal dilawan kerana lambat menghantar borang pencalonan.
2. Calon PR yang lain yang telah dipersetujui awal dilawan kerana terlibat menjual pil kuda.
3. Calon PR yang lain yang telah dipersetujui awal dilawan kerana berfahaman komunis.

Jelas saya antara calon yang dipersetujui awal bertanding atas mandat PR tetapi turut dilawan oleh calon PAS ? Saya tidak hadir lewat ke Pusat Pencalonan maka saya antara yang dituduh oleh Hj Hadi sebagai penjual pil kuda dan berfahaman komunis.

Saya menganggap tuduhan itu berat bukan hanya ketika berperang (pilihan raya umum) Hj Hadi membekalkan peluru kepada musuh tetapi tuduhan tersebut yang diambil menjadi berita utama oleh media tidak pernah dibetulkan oleh Tuan Guru sehingga kini. Gambar saya turut disiarkan bersama kenyataan Tuan Guru dan antaranya menjadi tajuk muka depan.

Sedarkah Tuan Guru dengan prosedur yang beban membuktikan ialah beban yang ditanggung oleh pembawa tuduhan.

Saya menuntut Tuan Guru untuk menyebut dengan jelas siapa yang komunis dan siapa penjual pil kuda sebenarnya ? Apa buktinya ? Atau jika gagal membuktikan dan menyebut dengan jelas maka Datuk Seri perlu tampil memohon maaf secara terbuka seperti mana tuduhan itu dilemparkan.

Datuk Seri ingatlah firman Allah SWT di dalam Surah Al -Buruj ayat ke 10. "Sesungguhnya orang yang memfitnah orang mukmin dan mukminat dan kemudiannya tidak bertaubat, maka bagi mereka neraka jahannam dan dan bagi mereka azam dari api yang membara".

Saya berdiamkan selama ini kerana saya gunakan perbagai saluran dalaman malah saya terus tidak dipedulikan. Ini soal maruah, saya ada mak bapa juga anak-anak. Apa perasaan mereka mendengar sindiran atau terbaca bahan sejarah kemudianya yang mempalitkan saya dengan tuduhan tersebut ?

Tuan Guru, kami tidak tahu apa yang ada di dalam hati Tuan Guru..... Hanya Allah Yang Maha mengetahui. Namun begitu ingatlah akan Hadis Nabi SAW. "Abdullah bin Amr mengatakan bahwa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Empat yang barangsiapa terdapat pada dirinya keempat sikap itu, maka dia adalah seorang munafik yang tulen. Barangsiapa yang pada dirinya terdapat salah satu dari sifat sifat itu, maka pada dirinya terdapat salah satu sikap munafik itu, sehingga dia meninggalkannya. Yaitu, apabila dipercaya dia berkhianat (dan dalam satu riwayat: apabila berjanji dia ingkar), apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia menipu, dan apabila bertengkar dia curang." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Datuk Seri Tuan Guru,

Saya menyahut seruan yang sering Datuk Seri sendiri laungkan iaitu berpeganglah kepada ajaran Islam. Maka wajib ke atas diri Datuk Seri kemukakanlah bukti. Cakaplah di tempat yang sepatutnya. Berilah keadilah kepada semua. Semoga Allah beri keadilan kepada kita di Mahkamah Keadilan Rabbul Jalil. Janganlah Datuk Seri baling batu sembunyi tangan, aibkan orang dan kemudian duduk berdiam. Jika benar Datuk Seri tahu siapa menjual pil kuda dan diamkan maka Datuk Seri juga sedang mendiamkan jenayah yang menghancurkan anak Malaysia sendiri yang sudah tentu berbeda dengan perjuangan yang Datuk Seri cuba tonjolkan.

Ini semua mengingatkan saya kepada ucapan tuduhan fitnah jahat Dato’ Seri Zahid Hamidi tujukan kepada orang nombor dua dalam PAS.

Saya ada keyakinan Zahid Hamidi melontar fitnah itu kerana mendapat maklumat yang salah dari kelompok tertentu yang kemudian dijadikan isi ucapan. Adakah Datuk Seri juga begitu dan hanya setaraf Zahid Hamidi?

Namun sekurang-kurangnya pihak Zahid Hamidi tampil menyatakan bukti gred B dan menyimpan bukti gred A yang kemudian mengundang ketawa perbagai pihak. Sekurang – kurangnya ada juga cubaan membawa bukti, namun Datuk Seri Hj Hadi diam selepas melontar fitnah. Kita marah kenyataan Zahid Hamidi tetapi mengapa kebanyakan kita mendiamkan kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi? Adakah kebenaran itu berdasarkan dimana kita berada ?

Kepada semua yang lain harus diingatkan ini bukan masalah PAS atau PKR, ini masalah saya dengan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sahaja. Saya akan terus menyokong dan mendokong PAS malah ibu saya sendiri terus menjadi ahli PAS Cawangan Taman Bukit Chedang, Kawasan Rasah dan panji PAS terus berkibar depan kediaman keluarga saya walaupun telah lama melepasi pilihan raya.

Semoga surat ini Datuk Seri baca dengan tenang dan jauh daripada prasangka. Sesungguhnya tiada seorangpun dari kita yang mampu menongkat langit.

Saya mengulang tuntutan saya. Saya menuntut Tuan Guru untuk menyebut dengan jelas siapa yang komunis dan siapa penjual pil kuda sebenarnya? Apa buktinya ? Atau jika gagal membuktikan dan menyebut dengan jelas maka Datuk Seri perlu tampil memohon maaf secara terbuka seperti mana tuduhan itu dilemparkan dengan mendedahkan sumber maklumat yang menyebabkan Datuk Seri tersalah sebut ketika memberikan ucapan itu.

Saya orang muda yang banyak kelemahan memohon maaf jika terkasar namun saya yakin saya perlu menuntut hak saya untuk dibersihkan fitnah yang terpalit ke atas saya. Yakinlah tampil memohon maaf tidak akan mengurangkan sedikitkan darjat manusia malah Tuan Guru akan semakin dihormati.

Jika dosa itu berkaitan dengan manusia, hendaklah meminta maaf daripada manusia terbabit. Sekiranya dosa berkaitan dengan harta benda, hendaklah dikembalikan harta tersebut kepada tuannya. – 17 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi