Rencana

Analisis laporan TIMSS 2011 (Bahagian 2) — Zul Fikri Zamir dan Anas Alam Faizli

January 25, 2013

25 JAN — Dalam bahagian pertama kami telah nyatakan analisis awal kami terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian Malaysia di dalam standard pendidikan antarabangsa. Kami sedar Kementerian Pelajaran Malaysia berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki sistem sedia ada dengan pengenalan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) menggantikan orientasi peperiksaan, pelaksanaan program iThink melalui Agensi Inovasi Malaysia di kalangan guru-guru serta pelbagai program lain lagi. 

Dalam bahagian kedua ini pula kami akan bentangkan cadangan langkah awal yang boleh diambil oleh pihak berwajib sebagai alternatif dan penambahbaikan kepada sistem sedia ada. Menurut pemerhatian kami, belum ada satu penyelesaian khusus diperkenalkan untuk membantu murid corot dan terpinggir melibatkan anak miskin, anak yatim dan anak-anak pedalaman seperti Orang Asli dan pedalaman Sabah/Serawak. Berdasarkan analisis kami, cadangan ini sekurang-kurangnya akan membantu melonjakkan prestasi pencapaian pendidikan nasional sehingga 40 peratus dalam jangka masa dua tahun.  

Pertama sebuah jawatankuasa khusus perlu dibina dengan mengambil pakar pendidikan dari seluruh Malaysia melibatkan guru yang telah pencen, profesor dari universiti tempatan, guru-guru muda sebagai pelaksana serta ahli perniagaan yang akan memastikan sistem pelaksanaan dapat disebarkan secara adil dan berkesan. 

Jawatankuasa khas ini pada awalnya bertujuan untuk mengenalpasti dan menganalisis lokasi serta masalah berkaitan murid berkeperluan khas ini. Hasil dapatan melibatkan lokasi, jumlah serta masalah murid harus dibuka kepada awam untuk mendapat respon daripada pelbagai lapisan terutamanya melibatkan pakar, pembina kurikulum sehinggalah kepada guru-guru di sekolah.

Seterusnya jawatankuasa ini akan membuat kajian terperinci untuk membina modul khas membabitkan keperluan murid-murid berkenaan dengan input terbuka termasuk daripada pengamal pendidik tempatan serta teori-teori baharu membabitkan kajian awam. 

Masalah tersebut perlu dianalisis membabitkan isu luaran seperti infrastruktur dan keperluan asas membabitkan kelas, meja, kerusi, buku serta alat bantu mengajar yang lain ataupun isu dalaman seperti emosi, masalah keluarga, masalah ekonomi ataupun masalah budaya sebagaimana yang membabitkan murid orang asli. Punca kepada setiap masalah ini perlu dikenalpasti untuk memudahkan proses formal pembelajaran dijalankan kelak. 

Modul-modul ini seterusnya perlu melalui “pilot test” dengan menggunakan guru terbaik yang ada di sekolah-sekolah terbabit. Hasil dari “pilot test” ini kemudiannya harus bentangkan semula untuk mendapat reaksi sekunder. Pada akhirnya, sebuah modul khas akan disediakan sebagai modul alternatif kepada murid-murid berkeperluan khas ini. 

Sistem pendidikan nasional secara tunggal sebagaimana yang digunakan kini tidak berupaya untuk memberi impak tinggi terhadap murid berkeperluan khas ini. Murid-murid yang datang dari keluarga miskin, anak yatim, Orang Asli serta pedalaman mempunyai masalah mereka sendiri sehingga menyaksikan mereka kini tercicir dan terpinggir dari sistem pendidikan nasional. 

Dengan mengubah fokus sistem pendidikan nasional daripada murid berprestasi tinggi kepada meningkatkan prestasi murid berkeperluan khas, kami percaya jurang pendidikan yang semakin melebar akan mengecil serta dalam masa kurang dari dua tahun dilaksanakan akan memberi kesan berkadar lansung terhadap prestasi murid secara keseluruhannya.

Negara unik dan guru terbaik

Malaysia adalah sebuah negara unik dengan kepelbagaian kaum dan bangsa serta ciri-ciri budaya dan etnik yang pelbagai dari sisi geografi. Sistem pendidikan nasional tidak seharusnya meniru seratus peratus model-model dari luar negara kerana masalah yang timbul di negara ini berlainan dengan masalah yang dihadapi oleh negara seperti Finland mahupun Korea Selatan. Mulakan dengan menghantar guru-guru terbaik di setiap sekolah mengajar di kelas corot. Hanya guru di sekolah terbabit sahaja yang mengetahui dan memahami murid-murid ini dengan lebih baik, bukannya nazir ataupun pemantau dari kawasan lain. 

Untuk memastikan usaha ini realistik, boleh dicapai dan “sustainable” untuk tahun mendatang, pihak kementerian harus memastikan hanya calon terbaik dipilih memasuki profesion perguruan. Calon-calon ini harus diberi latihan lapangan yang secukupnya berbanding teori serta pengiktirafan sosial yang sesuai setaraf profesional lain termasuk dalam isu tangga gaji.  Seterusnya kajian terperinci terhadap prestasi murid perlu dilakukan oleh Fakulti Pendidikan dari universiti awam. Data-data ini perlu sebagai “check and balance” kepada dapatan kementerian. Jika perlu universiti-universiti ini juga perlu mengambil sekolah terlibat sebagai sekolah angkat mereka, terutamanya sekolah berprestasi rendah dengan label “Band 6”.

Guru yang terlibat pula perlu melalui proses penilaian secara lateral membabitkan prestasi pencapaian murid, respon dan pendapat murid terhadap guru serta pemantauan. Kajian oleh Bill & Melinda Gates Foundation (2013) menunjukkan model penilaian guru membabitkan tiga item seperti di atas mempunyai kebolehpercayaan yang lebih tinggi berbanding model tradisional yang lain. Sekolah-sekolah juga perlu diubah mentaliti dan sikap mereka daripada pencapaian diukur semata-mata dengan peratusan cemerlang dan lulus kepada pencapaian diukur melalui peningkatan peratusan gagal kepada lulus. 

Akhirnya, pemantauan oleh badan swasta serta syarikat korporat kepada sekolah terbabit akan memastikan pelaksanaan program dijalankan dengan urus tadbir yang baik. Untuk menjadikan kebolehpercayaan sistem lebih baik, dua orang nazir daripada kementerian dicadangkan untuk diletakkan di sekolah-sekolah terbabit sepanjang tahun untuk memandu perubahan berbanding lawatan sekali atau dua kali setahun.  

Melalui implementasi dua teras iaitu skala nasional melalui jawatankuasa khas dan skala lokal iaitu guru di sekolah, kami percaya inilah masanya untuk kita sama-sama menghayati perbezaan, mengakui kelemahan dan bergerak ke hadapan bersama-sama menuju sistem pendidikan yang lebih baik.  

Jane Green di dalam makalahnya “Critique, Contextualism and Consensus” memetik syarahan Charles Sanders Peirce di Cambridge; “...in order to learn, you must desire to learn and in so desiring not to be satisfied with what you already inclined to think”. Green kemudiannya meneruskan: “From this, there follows one corollary which itself deserves to be inscribed upon every wall of the city of philosophy: Do not block the way of inquiry,”. Dipetik dari “Comformism and Critique in Liberal Society”, 2005.

* Zul Fikri Zamir dan Anas Alam Faizli adalah dari Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivis pendidikan yang boleh dicapai di www.teachfortheneeds.org.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi