Rencana

Apa lagi Cina mau? — Abel Cheah

May 09, 2013

Penulis dengan murid-muridnya.Penulis dengan murid-muridnya.9 MEI — Saya mempunyai nama Cina, berketurunan Hokkien dan beragama Kristian. Secara amnya, saya termasuk ke dalam golongan Kelas Tengah yang membesar di kawasan bandar. Setelah tamatnya pelajaran saya, saya telah membuat keputusan untuk menjadi seorang pendidik di sebuah kawasan luar bandar di Negri Sembilan. Saya mengajar Bahasa Inggeris kepada budak yang serba kekurangan dari segi kewangan, perhatian dan suasana pembelajaran yang kondusif. Lapan puluh peratus daripada pelajar saya terdiri daripada pelajar yang berlainan kaum daripada saya — Melayu, India, Iban, Bidayuh dan lain-lain. Disebabkan saya tidak fasih bertutur dalam Bahasa Cina, saya lebih senang bergaul dengan budak Melayu, India, Iban dan Bidayuh berbanding dengan budak kaum sendiri. Namun, semuanya sama di mata saya. 

Sebagai pendidik, saya tidak pernah terfikir memberi layanan yang berbeza mengikut kaum budak-budak yang saya ajar. Malah, saya menganggap mereka seperti adik-beradik saya sendiri. Perbezaan antara kami hanyalah satu: peluang dalam hidup. Saya memandang berat tanggungjawab saya sebagai pendidik anak bangsa negara dalam 2 tahun perkhidmatan saya ini. Pernah saya menitis air mata memikirkan masa depan anak murid Melayu saya yang membesar di kawasan perkampungan. Pernah saya berasa marah memikirkan ketidakadilan keadaan budak-budak kampung ini yang sukar bertanding dengan budak bandar yang kaya-raya dan berpeluang banyak. Pernah saya memeluk anak lelaki Melayu dan India, yang memanggil saya “Sir” setiap hari di sekolah. Pernah kami duduk di dalam kelas yang tiada kuasa elektrik (“blackout”), mengejar ilmu pengetahuan bersama-sama dalam keadaan berpeluhan.

Sebagai guru Cina, saya tidak pernah memandang rendah budaya dan adat resam pelajar-pelajar saya, malah, saya sentiasa terpegun dengan kelembutan budaya kaum Melayu serta ketabahan kaum India. Kepelbagaian budaya kita tidak menjadi masalah; yang menjadi masalah ialah pihak-pihak yang selalu mengapi-apikan isu perkauman. Merekalah yang mengancam perpaduan negara kita.

Apa lagi yang Cina mau?

“Cina” ini mahukan demokrasi yang benar, bukan “kestabilan” yang palsu dan dangkal. “Cina” ini mahukan demokrasi yang matang, bukan negara yang dipimpin oleh orang yang bertopengkan keamanan, tetapi selalu memihak kepada golongan yang radikal dan rasis. “Cina” ini mahukan sebuah Malaysia yang berbangsa satu.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi