Rencana

Bahaya sempitkan Islam — Kunta Kinte

January 06, 2013

6 JAN — Dua tahun lalu, Kunta Kinte dan beberapa orang kawan pergi ke pejabat Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk teman seorang sahabat dari sebuah negara Barat peluk Islam.

Kunta Kinte sangat bangga dan besar hati dengan kecekapan bahagian yang jaga hal-ehwal penukaran agama dan mualaf, khasnya pegawai yang Islamkan sahabat kami itu. Dia boleh berbahasa Inggeris dan khutbahnya melegakan bukan saja hati saudara baru kami itu, tapi kami semua. Syukur Alhamdulillah.

Tapi itu bukanlah kali pertama Kunta Kinte sertai majlis mengislamkan orang daripada agama atau kepercayaan lain atau bantu orang yang baru peluk Islam.

Penerangan pegawai JAKIM itu berbeza sekali dengan yang Kunta Kinte selalu dengar masa budak-budak dulu. Masa itu, kita pun takut kepada Islam pasal yang mula-mula sekali disyaratkan ialah masuk jawi yang ertinya bersunat dalam loghat utara.

Tapi entah macam mana, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kunta Kinte perhatikan reaksi orang bukan Islam terhadap Islam di Malaysia mula berbeza. Ramai yang bercakap dengan Kunta Kinte tanya soalan-soalan yang Kunta Kinte tak pernah dengar sebelum ini, seolah-olah mereka takut kepada kita orang Islam.

Kunta Kinte tanya, apa pasal mereka berasa macam itu? Ada yang kata mereka dengar wanita dan kanak-kanak Islam dipaksa pakai tudung di sekolah. Mereka takut lama kelamaan trend itu akan jadi amalan wajib dan anak-anak mereka turut dipaksa pakai tudung.

Ada juga yang rasa bimbang sebab ramai kawan-kawan Muslim mereka sendiri mula pakai jubah, simpan janggut dan tak lagi bergaul dengan mereka.

Sebenarnya, lama sebelum kawan-kawan bukan Muslim timbulkan hal ini, Kunta Kinte sudah mula rasa risau mengenai kesan negatif debat Islam lawan bukan Islam, negara agama lawan negara sekular dan penggunaan kalimah Allah.

Daripada pergaulan dengan bukan Muslim, khasnya dalam kalangan generasi muda yang berpelajaran, Kunta Kinte dapat rasa yang mereka makin keliru dan bimbang terhadap Islam dan Muslim.

Kunta Kinte rasa makin susah nak bercakap dan berdakwah mengenai Islam sebab banyak sangat yang buruk dan tak kena yang berlaku kepada Islam dan umat Islam. Itu belum lagi diambil kira kekacauan dan keganasan yang makin berleluasa di negara-negara Islam.

Mereka nampaknya tambah keliru sebab lain yang mereka baca dan tahu mengenai Islam, lain pula yang berlaku di depan mata mereka. Mereka dibagi tahu yang Islam agama keamanan dan kesejahteraan, tapi ramai orang Islam bermusuhan antara satu sama lain dan tidak toleransi terhadap agama lain.

Jadi susah bagi Kunta Kinte nak yakinkan mereka yang Islam agama keamanan dan kesejahteraan, toleransi dan sederhana apabila apa yang orang Islam sendiri pamerkan berlainan sekali.

Maaflah kalau Kunta Kinte kata mereka keliru campur bimbang dengan keghairahan semakin ramai orang Melayu berjubah, berhijab, berserban dan berketayap seolah-olah nak jadi orang Arab. Itu belum diambil kira debat negara Islam dan hukum hudud yang tak berkesudahan.

Mereka hairan dengan rakan-rakan Islam mereka yang makin hari makin jauh dan renggang daripada mereka. Mereka bimbang dengan polemik mengenai Islam yang makin hari makin sempit, dogmatik dan eksklusif, dan dengan penontonan Islam secara luaran.

Sebagai seorang yang belajar dan membesar dalam persekitaran sistem sekolah mubaligh Roman Katolik, Kunta Kinte bimbang dengan kecenderungan makin ramai orang Islam menyisihkan diri daripada masyarakat umum atas alasan agama.

Sepatutnyalah, lagi dalam dan lagi komited seseorang itu kepada Islam, lagi berani dan lagi luaslah pergaulan dia sebab hanya dengan jalan itu saja dia boleh berdakwah mengenai Islam. Sebaliknya, mereka bergaul sesama sendiri di masjid dan surau seolah-olah Islam eksklusif kepada mereka saja.

Kunta Kinte perhatikan, orang bukan Islam tak curiga dan mereka rasa selesa dengan orang Melayu walaupun orang Melayu beragama Islam. Tapi apabila ada orang Melayu yang pakai macam Arab atau Taliban, mereka rasa takut dan tak selesa. Wallahualam. — bharian.com.my

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi