Rencana

Banjir kilat di kawasan bandar, di manakah silapnya! – Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin

February 23, 2013

FEB 23 – Banjir kilat yang telah berlaku pada 18 Februari 2013 di sepanjang KM21.36 dan KM23.50 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) telah menyebabkan kerosakan dan kesulitan kepada perniagaan-perniagaan tempatan, pemilik kenderaan dan juga orang ramai.

Namun punca utama berlakunya banjir ini bukanlah semata-mata disebabkan oleh hujan lebat ataupun paras rendah kawasan berkenaan. Sebenarnya kelebatan hujan 68mm yang dicatat oleh Stesen Hujan Telemetrik di sekitar kawasan tersebut pada lewat petang hari itu, tidaklah terlalu lebat berdasarkan statistik yang sedia ada, malah hujan yang sedemikian kerap berlaku sepanjang tahun.

Walaubagaimanapun, respons segera MPSJ serta perjumpaan segera mereka dengan pihak-pihak yang terlibat seperti LITRAK, MRCB, SPNB dan JPS untuk mengenalpasti punca-punca yang telah mengakibatkan banjir kilat tersebut adalah sangat memberangsangkan.

Punca utama yang telah dikesan adalah bahawa satu daripada tiga pembetung bawah tanah tidak berfungsi dengan baik dan ini telah menyebabkan air hujan yang berlebihan itu tidak dapat disalirkan keluar. Namun begitu siasatan teliti ke atas punca kegagalan penbetung bawah tanah tersebut perlulah dilakukan.

Terdapat beberapa kemungkinan yang menyebabkan pembetung itu tidak dapat berfungsi dengan baik. Salah satu daripadanya adalah sampah yang telah dibuang secara sewenang-wenangnya ke dalam longkang-longkang oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan sampah itu terperangkap di dalam pembetung.

Orang ramai perlu dimaklumkan bahawa sistem saliran air itu BUKANNYA satu sistem pembuangan sampah. Kemudahan-kemudahan pembuangan sampah-sarap yang lebih baik patut disediakan serta dipergunakan dan pihak berkenaan perlu menjalankan tugas mereka dalam penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah-sarap yang bersembarangan.

Sudah sampai masanya untuk orang ramai memahami bahawa pembuangan sampah-sarap ke dalam sistem saliran boleh mengakibatkan banjir kilat serta memberikan kesan-kesan lain yang negatif ke atas alam sekitar. Di samping itu, pihak berkuasa tempatan dan juga syarikat konsesi jalanraya perlu memastikan bahawa kerja-kerja pembersihan secara berkala dan berterusan untuk membuang sampah dan kelodak daripada kawasan yang sering dilanda banjir dijalankan dengan effisien.

Satu lagi kemunginan yang mengakibatkan kejadian banjir kilat ini adalah pembinaan dan kerja-kerja penggalian yang sedang dijalankan di persekitaran kawasan-kawasan tersebut. Ketika hujan berlarutan, kelodak dan sampah-sarap di tapak pembinaan mungkin telah dibawa ke pembetungan. Mendapan tanah di bawah pembetungan akan mengurangkan keluasan rentas keratin pembetungan itu dan menghalang keupayaan pembetungan tersebut untuk mengalirkan air yang berlebihan itu.

Pembinaan yang berterusan merupakan punca utama kejadian kebanyakan banjir kilat. Para kontraktor kerap mengambil jalan yang mudah dalam kerja-kerja pelencongan sementara demi mengurangkan kos dan ini mengakibatkan risiko banjir. Para kontraktor perlulah mengamalkan pendekatan yang lebih professional dan menggunakan data hujan yang bersesuaian di dalam rekabentuk kerja-kerja sementara.

Amalan pengurusan yang baik dalam kerja-kerja memerangkap kelodak, pembetungan dan peparitan juga mestilah dipraktikkan. Sekali lagi, penguatkuasaan oleh pihak yang berkuasa juga adalah sangat penting.

Institusi Jurutera Malaysia (IEM) sedia memberi bantuan kepada pihak berkuasa dalam mencari penyelesaian untuk mengurangkan kejadian banjir kilat dan jika perlu, pihak IEM sedia melantik ahli-ahli kami untuk memberikan khidmatnasihat melalui kepakaran mereka.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi