Rencana

‘Belum’ tak dapat, ‘Chetti’ berciciran – Uthaya Sankar SB

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), yang menjalankan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya sejak Ogos 1999, benar-benar terharu dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahukan pihak dan agensi berkaitan mengkaji kemungkinan Hutan Hujan Belum-Temenggor di Gerik, Perak diberikan pengiktirafan tapak warisan dunia Unesco.

Menurut laporan Bernama (9 Mei 2014), Najib memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan nasional akan berusaha membangunkan kawasan seluas 300,000 hektar itu sekiranya ia memenuhi kriteria sebagai tapak warisan dunia.

Dalam pada kagum dan terharu dengan semangat serta kesungguhan Najib mengangkat Hutan Hujan Belum-Temenggor, Kavyan berharap tindakan kerajaan BN pimpinan Najib tidak menjadi umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Hal ini demikian kerana Kampung Chetti di Melaka, diiktiraf Perkampungan Warisan daripada Unesco, sedang secara amat nyata berdepan dengan kemusnahan yang berlaku di depan mata.

Wakil Kavyan beberapa kali berkunjung ke Kampung Chetti sejak 15 Disember 2013 dan menulis beberapa makalah serta mengeluarkan beberapa kenyataan media berhubung isu projek pembinaan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu.

Segala maklumat berkaitan isu penting ini boleh dirujuk di www.kampungchetti.blogspot.com yang diusahakan oleh Kavyan sebagai tanda solidariti.

Menurut laporan The Star (1 Januari 2014), Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kononnya sudah mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan itu yang ternyata melanggar peraturan.

Laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris “mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek dua kondominium 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di tengah Kampung Chetti”.

Malangnya, sehingga hari ini, janji BN tinggal janji, “Janji Dicapati”. Projek pembinaan yang bakal menghancurkan Kampung Chetti masih berjalan sehingga kini tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa, khasnya BN selaku kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Besarlah harapan Kavyan supaya sebelum Najib dan BN sibuk dengan kempen mengangkat Hutan Hujan Belum-Temenggor sebagai tapak warisan dunia, eloklah Kampung Chetti diselamatkan terlebih dahulu.

Biarlah kisah Pak Kaduk yang lazim dalam kalangan budaya masyarakat Melayu sejak zaman nenek-moyang menjadi pengajaran supaya jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Semoga Najib sudi mengarahkan seluruh jentera BN meneliti pelbagai pendedahan di blog www.kampungchetti.blogspot.com dan segera bertindak menyelamatkan Kampung Chetti sebelum ia hanya tinggal debu dan runtuhan. – May 9, 2014.

* Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan boleh dihubungi di emel uthayasb@yahoo.com.my.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments