Rencana

Betulkah Kuis ada masalah? — Mohd Sayuti Omar

December 18, 2012

18 DIS — Apa sudah jadi dengan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)? Khabarnya institusi pengajian berorentasikan Islam itu ada masalah. Ada sedikit ribut yang melanda menyebabkan warganya, terutama kakitangan akademik rasa kurang enak dengan suasana dan iklim sekitar Kuis sekarang ini.

Situasi itu menyebabkan Kuis tidak menjadi setenang dan sedamai dulu, peringat awal ditubuhkan. Apa yang bergelora kini juga seakan menjejaskan prestasi Kuis. Masalah ini, kini berkisar di peringkat dalaman, tetapi sekiranya ia tidak dipedulikan Kuis bakal terjadi seperti mana Universiti Perindusterian Selangor (Unisel), meletus ke tengah umum dan akan menjejaskan nama baik kolej berkenaan.

Isu Kuis ini akan menjadi perhatian umum masyarakat akhirnya boleh merosakan reputasi kolej berkenaan dan juga menjejaskan pentadbiran kerajaan hari ini. 

Apa yang bergelora didalam Kuis sebenarnya sudah hangat di kalangan warganya. Masing-masing menahan diri dan berdoa agar apa yang sedang mendidih kini akan reda dan ianya dapat diselesaikan dengan baik tanpa merosakkan nama baik kolej.  Berbagai usaha secara spritual juga telah diambil namun belum ada tanda-tanda ia akan reda kelihatan.

Apa yang kedengaran dari kejauhan mengenai Kuis ini kononnya ada berlaku diskriminasi di kalangan tertentu oleh pihak pengurusan tertinggi Kuis. Pihak pengursan mengabaikan kepentingan dan kewajiban kakitangan tidak memenuhi tuntutan apa dimaktub dalam kontrek perkhidmatan.

Namun itu tidak begitu menjadi masalah besar. Apa yang penting ialah apa dinamakan berlaku perubahan besar dalam struktur kependidikan di dalam kolej berkenaan. Perubahan ini menyebabkan tujuan dan matlamat asal penubuhan Kuis sedikit tersasar dan berubah. Kuis kini didakwa sudah melencung dari landasan sebenar.

Paling membimbangkan apabila pengambilan pensyarah tidak lagi mengikut merit dan kriteria yang dibuat sebelum ini dimana cara terbaru ini boleh menyebabkan kualiti Kuis akan terjejas. 

Ini berlaku sejak kemasukan Azuiddin Ahmad sebagai rektor baru ke kolej itu pada tahun 2000. Rektor berkenaan dikatakan telah membuat banyak rombakan terhadap polisi dan mengemukakan pendekatan baru untuk mengembangkan kolej berkenaan. Tindak tanduk rektor ini juga seakan tidak mahu mengikut rentak kerajaan hari ini. Tindakan inilah dikatakan menjejaskan dan menjadikan aspirasi kolej berkenaan melencung.

Khabarnya perkara ini sudah pun dimaklumkan kepada pihak pentadbiran negara Selangor. Satu memorandum telah dihantar kepada MB tetapi malangnya tiada apa-apa tindakan diambil. Memorandum itu mengandungi 19 perkara yang menjelaskan akan kerosakan atau pun tindakan-tindakan yang meletakkan Kuis dalam gelora waktu ini.

Sesuatu mengejutkan ekoran perubahan yang dilakukan oleh Aziuddin menyebabkan Kuis mengalami defisit RM18 juta disebabkan beberapa kesalahan atau salah urus dibeberapa sektor di kolej berkenaan terutamanya berhubung urusan asrama pelajar. Penyelewengan ini katanya sampai ke peringkat ia hendak dibawa ke pengetahuan SPRM.

Adalah wajar kalau pihak kerajaan negeri amnya dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang menjadi penanggungjawab utama terhadap Kuis mengambil tindakan segera bagi menjamin kelestarian Kuis untuk terus gah dimasa depan. Dengan membiarkan keadaan ini apa lagi pihak tertinggi Mais merestui apa yang berlaku dibimbang maruah dan reputasi Kuis akan terjejas. Dalam isu ini perkara pokok yang kena dipandang ialah mengenai nasib para pelajarnya dan kena pastikan pembelajaran mereka tidak terjejas disebabkan masalah tersebut. — msomelayu.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi