Rencana

Cadangan untuk melindungi institusi raja Melayu ― Kelab Wartawan Muda Malaysia

November 09, 2012

Kebelakangan ini terdapat kecenderungan di kalangan sejumlah rakyat untuk mengkritik, mencemuh bahkan menghina kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak sistem kenegaraan Malaysia.

Kritikan, cemuhan dan penghinaan ini boleh ditemui dengan meluas di dalam ruang-rung siber seperti laman sesawang, facebook, youtube, forum, mirc, instagram, twitter blog, ‘chat room’ dan jaringan media sosial yang lain.

Institusi beraja Melayu sebagai satu teras kenegaraan Malaysia moden yang telah disepakati bersama oleh seluruh rakyat sewaktu penubuhan negara kita yang merdeka dan berdaulat, terbukti berjaya mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu,hormat menghormati, adil dan saksama, serta aman dan makmur sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu Kelab Wartawan Muda Malaysia amat prihatin dan yakin instituti tersebut perlu dipertahankan dan diperkukuhkan lagi dengan sekuat kudrat demi menjamin masa hadapan Malaysia seperti mana yang dihasratkan oleh kepimpinan kerajaan sekarang terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Gejala ini perlu dibendung kerana institusi beraja merupakan khazanah sejarah dan budaya rakyat yang amat bernilai.

Seperti juga Malaysia, sudah terbukti masyarakat yang telah melalui proses urbanisasi di kalangan negara-negara demokratik yang lain seperti United Kingdom, Jepun, Denmark, Netherlands dan Thailand telah membuktikan bahawa kesepaduan rakyat yang bernaung di bawah payung institusi beraja ini boleh mencapai tahap kemakmuran dan kemajuan yang jauh ke hadapan.”

Justeru itu, KWMM ingin mendesak agar kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan satu pendekatan holistik  yang wajar termasuk penggubalan akta khusus bagi menghentikan sebarang cemuhan dan penghinaan yang boleh menghakis bahkan meruntuhkan institusi kenegaraan yang amat penting dan telah banyak berkorban serta berjasa tidak terhingga ini.

KWMM juga ingin menegaskan agar kerajaan mengawasi tindak tanduk sebilangan rakyat tidak kira yang bernaung di bawah parti-parti kerajaan mahu pun pembangkang yang menyemarakkan gejala ini.

Penelitian KWMM di dalam laman sesawang, facebook, youtube, forum, mirc, instagram, twitter , SMS, blog, ‘chat room’ dan jaringan media sosial lain yang pro-pembangkang mendapati gejala ini bagaikan sudah tidak terkawal lagi.

Apa yang menghairankan kepimpinan utama pakatan pembangkang yang mendakwa mempertahankan kedaulatan institusi ini seolah-olah berdiam diri dan membiarkannya berleluasa tanpa mengeluarkan sebarang teguran tegas terhadap pendokong mereka.

Matlamat penggubalan akta yang diusulkan ini, sama sekali bukan bermaksud untuk mengekang kebebasan bersuara dan kemerdekaan rakyat tetapi untuk mendidik mereka menjadi warga bijak dan berilmu yang bersopan lagi bersusila terhadap warisan kenegaraan ini.

DZULKARNAIN TAIB

Presiden

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi