Rencana

Calon naib presiden berhasrat memperkasa kualiti ahli parti - Zaiem Al-Hilmee

Sebagai sebuah parti Islam yang sudah mencecah usia hampir 60 tahun, PAS pastinya sudah melalui pelbagai rencam perjuangan dalam usaha untuk memposisikan diri sebagai 'pergerakan politik' demokrasi di Malaysia. PAS yang dahulu diletakkan asasnya oleh para ulama sebagai benteng penindasan daripada rejim kini digerakkan oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira latar belakang.

Gerakan rakyat dan politik yang digerakkan oleh PAS hari ini perlu memenuhi banyak perkara yang mencabar dalam menuntut keadilan untuk masyarakat khususnya seperti isu yang melibatkan hak asasi manusia, maruah insan, permuafakatan kehidupan bersama antara kaum dan agama di Malaysia. Ini memaksa PAS perlu sentiasa memastikan ahli dalam bersiap siaga bagi berhadapan dengan isu yang menghimpit bagi menyelesaikan masalah rakyat sekali gus memimpin rakyat.

Calon naib presiden PAS, Datuk Abu Bakar Chik sebagai satu sosok yang melihat perkara ini sudah tentunya beliau menekankan setiap ahli parti perlu ada persediaan [al-isti'dad] daripada beberapa sudut sebagai agen perubahan. Ini menjadikan PAS tidak setakat menjadi parti politik semasa, bahkan menjadikan PAS sebagai sebuah gerakan yang sentiasa konsisten dan sistematik serta menjadi rujukan parti politik dan gerakan Islam dari luar negara.

Melarutkan 'tarbiyyah' ahli

Sudah pastinya, satu istilah dan agenda yang tidak boleh dipisahkan dengan PAS adalah tarbiyyah iaitu satu proses dalam mendidik dan melahirkan ahli yang mempunyai daya tahan daripada sudut pemikiran serta mengurus organ parti PAS yang hari ini sudah melebar ke setiap ceruk negara termasuk ke kampung.

Tidak dinafikan, agenda untuk memastikan ahli PAS agar melarutkan tarbiyyah dalam diri setiap ahli PAS antara hasrat calon naib presiden dalam memperkasakan PAS sebagai sebuah parti yang tidak hanya melahirkan politikus semata-mata namun boleh mengeluarkan politikus yang mempunyai wawasan dan tabiat dakwah Islam seperti yang diperlukan di dalam dunia Islam.

Inilah tunjang kepada parti yang perlu dijaga oleh setiap ahli agar identiti PAS sebagai sebuah parti Islam tidak luntur biar pun setiap ahli disaran sentiasa melakukan pembaharuan [tajdid] untuk menjadikan Islam itu sebagai satu-satunya penyelesaian kepada permasalahan manusia.

Bahkan, sememangnya PAS tidak boleh terikut-ikut mengambil kaedah daripada gerakan lain seperti gerakan liberal, sosialis dan sekular yang semakin rancak dalam persaingan demokrasi dan ini menjadikan PAS perlu berusaha mencipta 'formula' yang sesuai mengikut keadaan demografi dan suasana politik di Malaysia sekali gus menidakkan introspeksi pemikiran yang boleh merencatkan perjuangan PAS.

PAS sebagai rujukan luar

Setelah berdekad PAS mempersadakan diri dalam politik tanah air, Abu Bakar berusaha membawa PAS sebagai rujukan sebagai 'model parti politik Islam' kepada dunia luar. Untuk menjadikan PAS sebagai rujukan luar, maka PAS perlu memantapkan kepada tiga tunjang utama sebagai gerakan Islam iaitu kemantapan aspek siasah, tarbiyyah dan dakwah.

Ketokohan Abu Bakar yang kerap kali mewakili PAS ke persidangan dunia Islam menjadikan beliau mempunyai hubungan serantau yang rapat dengan tokoh Islam dari dunia luar dan ini menggalakkan lagi ahli PAS untuk bergerak ke arena antarabangsa dan berkongsi pendapat seperti amalan pergerakan parti politik lain yang berusaha melangkau lebih jauh sehingga PAS berjaya menguasai medan dan lapangan dengan sepenuhnya.

Menjelang pemilihan Muktamar PAS akan datang, Abu Bakar yang menawarkan diri untuk berkhidmat pada kerusi Naib Presiden sememangnya lebih daripada mampu untuk menggalas amanah setelah pelbagai pengalaman, jerih maung yang dihadapi oleh sosok tubuh ini bagi meneruskan khidmat bakti dalam menjaga keaslian dan asas pergerakan PAS sebagai parti politik Islam dan juga gerakan Islam yang terbesar di Malaysia. – 16 November, 2013.

* Penulis ialah Exco Dakwah & Pendidikan, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments