Rencana

Catatan Hari Rusuhan — Khairul Naim Rafidi

5 MEI — Setelah sekian lama menunggu akhirnya pada hari ini tiba hari penentuan iaitu kemuncak perayaan demokrasi yang berlangsung lima tahun sekali.

Setiap rakyat sama ada yang cakna politik atau tidak pasti turut sama mengisi warna dan ritma perayaan ini. Benarlah kata Aristotle, ‘man is by nature a political animal’.

Malam tadi saya bersama beberapa teman ; Faris, Farid, Shah dan Syazmeer, kami singgah ke beberapa kawasan bagi melihat dengan mata kepala sendiri perilaku masyarakat Malaysia untuk PRU13 ini.

Kami singgah ke kawasan Shah Alam, Sri Muda, Selat Klang, Bandar Klang, Pendamar, Teluk Gong serta beberapa kawasan lagi yang diwartakan ‘panas’.

Bukan senang hendak melihat ragam yang berlangsung lima tahun sekali.

Di serata tempat begitu meriah dengan kebanjiran rakyat menunjukkan sokongan kepada parti politik masing-masing. Kenderaan kecil dan besar berpusu-pusu berada di atas jalan raya bertemankan panji politik dan juga hon bagi menyambut hari esok.

Paling menarik ialah apabila berada di Teluk Gong, puas kami berbual dengan masyarakat di tempat bersejarah perjuangan mahasiswa itu. Sampai satu tahap seorang daripada mereka menyebut tentang cerita rusuhan 13 Mei yang popular itu.

Beberapa hari lepas, saya agak terkejut apabila rakan sekelas terutamanya perempuan sibuk bercakap tentang rusuhan. Kata mereka ibu bapa masing-masing asyik mengingatkan supaya usah keluar rumah selepas keputusan PRU nanti. Bimbang perkara buruk atau rusuhan berlaku. Saya terkejut!

Tulisan sebelum ini saya ada mengingatkan tentang isu-isu sentimen yang tidak sepatutnya dimainkan oleh pemimpin politik dan juga rakyat.

Hakikatnya, tanpa sedar masih ramai rakyat kita dibayangi peristiwa hitam yang lepas itu. Bukan saya kata kita harus melupai sejarah, benar sejarah perlu sentiasa diingati supaya kita tidak mengulang semula. Tetapi, zaman dan keadaan kadang-kala merobah dan dengan sejarah kita dapat membaiki perkara buruk yang pernah terjadi.

13 Mei terjadi disebabkan resah orang Melayu tentang ‘kuasa politik’ mereka. Sikap bangsa Malaysia ketika itu jauh berbeda dengan keadaan sekarang. Paling tidak masing-masing masih menyimpan syak wasangka antara satu sama lain.

Tambahan pula ketika itu masih belum wujud ‘Pak Haji Google’ dan adik beradik maka maklumat mereka hanya berpaksi pada yang wahid. Jadi, mudah bagi sesetengah orang terpengaruh dengan dakyah orang berkepentingan.

PRU kali ini menyaksikan bahawa sikap dan pembawakan politik di Malaysia semakin baik. Walaupun masih belum berada di tahap yang benar-benar matang, perubahan itu nampak jelas apabila masing-masing sudah mula menerima antara satu sama lain.

Isu perkauman bukanlah satu isu yang utama dalam PRU kali ini. Rakyat mahukan idea, nilai dan dasar yang  jelas supaya dapat memacu kearah kestabilan, kesaksamaan dan keadilan.

Bagi mengelak sejarah berulang, rakyat haruslah membuang sikap taksub pada sentimen. Kali ini masing-masing sama ada dari pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat harus menghormati keputusan yang bakal diumumkan kelak.

Tidak salah jika rakyat ingin meraikan kemenangan parti politik masing-masing. Tetapi ia haruslah disulam dengan kematangan dan sikap menghormati antara satu sama lain. Kata orang lain tempat lain ragam. Justeru, rakyat haruslah bertindak dengan bijak serta mengikut keadaan bagi mengelak kejadian ‘hati terbakar’ antara dua pihak.

Catatan menjelang terbit fajar ini dilakar sebagai harapan kepada PRU13 yang paling kritikal ini.

Semoga hari esok membawa sinar kepada seluruh rakyat Malaysia 

* Penulis merupakan mahasiswa undang-undang UiTM Shah Alam dan pemimpin Mahasiswa Melayu Progresif (M.M.P.)

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments