Rencana

Cinta, harapan dan identiti Malaysia — Nor Arlene Tan

29 NOV — Malaysia adalah sebuah negera yang majmuk dengan pelbagai budaya, tradisi and kaum etnik. Keadaan ini membuatkan negara kita unik, dimana kepelbagaian telah mencorakkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Sejarah masyarakat Malaysia adalah amat berwarna dan bebas, banyak imigran-imigran yang dibelenggu dengan kemiskinan, kepapaan dan sistem kasta pada masa lampau berhijrah ke tanah Malaya kerana ditawarkan dengan tiket kebebasan dan oportuniti untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Jadi tidak hairanlah, pertembungan kepelbagaian ini melahirkan komuniti-komuniti yang berdarah kacukan.

Sejak kecil, saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa diri saya unik, bagi saya itu merupakan sesuatu yang lazim dalam negara kita. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berdarah kacukan. Ayah saya merupakan seorang Cina Hokkien yang mempunyai darah kacukkan Burma-Thai, dan ibu saya pula berdarah campuran Indonesia dan Serani. Jika saya mengupas balik sejarah nenek moyang saya, darah kacukan saya adalah amat luas. Tetapi kini, saya dikenali sebagai seorang Melayu di dalam sijil surat beranak saya.

Hal ini adalah amat menghairankan, kerana saya telah ditempatkan di dalam kotak sempit yang dilebelkan Melayu. Dengan itu, saya juga dianggap perlu mempunyai perwatakan, selera dan pemikiran seorang Melayu. Walhal, kehidupan dan identiti saya adalah sama sekali bukan demikian. Politik bahagi dan perintah (divide and rule) ini telah menyebabkan saya melalu saat-saat diskriminasi dan kekeliruan terhadap identiti saya semasa kecil.

Polisi pendidikan dan ekonomi yang bukan sahaja berat sebelah, malah masyarakat juga dipolitikkan untuk mensyaki dan menstereotaip antara satu sama lain. Identiti nasional Bangsa Malaysia, langsung tidak diberi perhatian daripada ahli politik, guru-guru, mahupun masyarakat. Bahkan, sejak kecil kami telah dikelompokkan dan diindoktrinasikan dengan ideologi perkauman.

Masyarakat kita, walaupun majmuk tetapi langsung tidak bergaul satu sama lain. Sejak kecil, saya sering didiskriminasi kerana identiti saya yang kompleks. Saya bersekolah di sekolah Cina dan kawasan perumahan kami adalah berbangsa Melayu kebanyakannya, maka saya sentiasa didepani dengan kelompok-kelompok mono-etnik, menyebabkan saya sering keseorangan kerana saya tidak mencerminkan perwatakan mono-etnik.

Saya cemburu terhadap zaman ibubapa saya, walaupun hidup mereka tidak mempunyai teknologi canggih dan Internet seperti kini, tetapi memori ibubapa saya adalah zaman mereka bebas. Ayah saya adalah dari sekolah aliran Ingeris pada zaman British dahulu tetapi rakan-rakan sekolahnya adalah dari pelbagai bangsa. Zaman dahulu, adalah kebiasaan bagi masyarakat pelbagai bangsa mengadakan pesta joget di rumah, sama ada untuk jamuan ataupun majlis keramaian. Seringkali, wanita zaman dahulu memakai miniskirt atau kebaya ketat, membuat rambut ala “sarang tebuan”, dan kelihatan cantik. Lelaki pula memakai seluar “bell bottom” yang ketat dan memiliki rambut dan kumis ala “hippie”.

Kisah percintaan ibubapa saya adalah kisah cinta kebanyakan muda-mudi pada zaman mereka, tetapi idea perkauman langsung tidak terlintas difikiran mereka. Kisah cinta ibu dan bapa saya bagaikan cerita “Grease”, bapa saya merupakan “playboy” pada zamannya, sentiasa kelihatan macho dan diidami wanita dari pelbagai bangsa, tetapi ibu saya yang seorang yang lemah-lembut menjadi idamannya. Bagi saya, cinta adalah sesuatu yang sangat berkuasa, ia mampu menyatukan warna kulit dan ideologi.

Kisah cinta nenek moyang saya pula berbeza, mereka lebih bebas kerana pada zaman mereka tiada keperluan visa atau passport, seseorang mempunyai mobiliti yang tiada sempadan, jadi tidak hairanlah nenek moyang saya berkahwin campur. Datuk moyang ayah saya berasal dari negara Cina, di sebuah tempat yang bernama Swatow di daerah Guangzhou. Kehidupannya sangat miskin dan tiada peluang pekerjaan yang bagus, jadi, seperti kebanyakan imigran-imigran Cina pada zaman dahulu, mereka sanggup menempuh risiko nyawa di lautan Laut Cina Selatan, semata-mata keinginan untuk kehidupan yang baru dan lebih baik. Tanah Malaya merupakan negara yang penuh dengan peluang hidup dan pekerjaan. Datuk moyang saya menjadi seorang ahli bisnes yang berjaya di Kedah, dan pada masa sama, dia telah jatuh cinta terhadap nenek moyang saya yang berbangsa Burma-Thai dari Songkla, yang lazimnya berkebaya dan bersarung.

Nenek moyang belah ibu saya juga mempunyai kisah cinta dari berlainan budaya. Datuk saya seorang wartawan dan sasterawan dan merupakan salah seorang kaum kerabat dari Langkat, Sumatra. Ketika itu Indonesia sedang menghadapi pergolakkan politik dan rusuhan, maka dia telah menjadi pelarian politik ke tanah Melayu. Namun begitu, dia telah jatuh cinta terhadap nenek saya yang berbangsa Serani. Nenek saya adalah dari masyarakat Kristang keluarga De Rozario yang amat berdisplin, ayahnya adalah seorang Portugis dan ibunya adalah dari kacukan Parsi dan Sri Lanka. Masyarakat Kristang dahulu amat berpegang terhadap agama Katolik mereka. Perkauman tidak menjadi masalah pada masa tersebut, malah agak lazim keluarga-keluarga susah memberi anak mereka kepada keluarga dari bangsa lain tanpa ragu-ragu. Adik angkat kepada nenek saya adalah dari bangsa Cina.

Saya percaya, sejarah cinta ibubapa saya dan nenek moyang saya bukan lah unik atau berbeza dengan sejarah cinta bagi kebanyakkan masyarakat Malaysia dahulukala. Retorika bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah lapuk, hal ini kerana cinta telah membuka ruang kepada kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat Malaysia kini. Budaya dan bangsa juga adalah lebih harmoni dan berkepelbagaian jika ia dibiar bebas untuk berkembang tanpa intervensi oleh kerajaan atau “state”.

Jadi apakah identiti Malaysia dalam abad ke-21 ini? Adakah kita masih perlu melihat diri masing-masing melalui konteks bangsa and perkauman?

Di mana-mana, masyarakat Malaysia kini terlalu taksub dengan identiti bangsa mereka sehinggakan ia memecah-belah kepercayaan dan kesamaan antara satu sama. Amat ketara dilihat kelompok-kelompok mono-etnik yang berasa asing di negara mereka sendiri, mereka juga mempunyai realiti hidup dan aspirasi yang berbeza. Identiti nasional kita terlalu lemah, apatah lagi polisi-polisi dan pemerintah kerajaan yang bersifat “divide and rule”, dan golongan elit dan ahli politik yang lebih selesa dengan keadaan status quo.

Saya percaya kita mampu mewujudkan identiti nasional yang kukuh, tetapi bukanlah berdasarkan konsep asimilasi. Perhatian kerajaan terlalu mengagungkan konsep kepelbagaian yang terlalu retorik dan cetek, pada masa yang sama budaya Melayu dijadikan satu-satunya tunggak identiti Malaysia. Maka wujudnya rasisme secara terang-terangan atau “direct racism” terhadap sesiapa yang tidak merupai acuan tersebut sebagai ‘pendatang’ dan rasisme berbalik “reverse racism” oleh kaum-kaum lain terhadap masyarakat Melayu. Kita perlu menghadapi realiti yang Malaysia merupakan negara imigran dan majmuk.

Pada pandangan saya, identiti Malaysia seharusnya berdasarkan konsep kesamaan nilai dan cita-cita atau “shared values and ideals”. Ini adalah konsep yang sangat asas dan universal, kerana kesamaan nilai dan cita-cita adalah matlamat asal bagi kebanyakkan masyarakat Malaya dahulukala yang berhijrah ke tanah Malaya. Tanah Malaya merupakan bumi yang subur dan kaya dengan pelbagai peluang hidup yang cerah. Saya percaya, datuk dan nenek moyang saya berhijrah dengan harapan untuk membina kehidupan baru, dimana semua kaum dan bangsa diberi peluang untuk maju dengan sama rata. Mungkin idea saya terlalu romantik, tetapi hakikatnya ini juga adalah dorongan bagi kebanyakkan muda-mudi zaman sekarang yang berhijrah ke negara-negara maju yang lain untuk mencari peluang hidup dan pekerjaan yang lebih baik, yang akhirnya menyebabkan kehilangan yang besar bagi ekonomi Malaysia akibat fenomena “brain drain” ini.

Jadi, apakah kesamaan nilai dan cita-cita yang ada antara semua rakyat Malaysia? Saya rasa ini adalah tidak susah untuk kita memahami. Kebanyakkan rakyat Malaysia inginkan kesamarataan, kebebasan dan keadilan (equality, freedom and justice). Kita tidak semestinya perlu berperwatakan mono-etnik, berfikiran yang sama atau memiliki budaya yang “homogeneous”. Setiap manusia adalah berbeda-beda dan unik, tetapi aspirasi hidup kita adalah sama.

Saya percaya, kebanyakkan masyarakat Malaysia inginkan tahap pendidikan yang berkualiti tinggi, system pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan kronism, system penjagaan kesihatan yang percuma dan berkualiti tinggi, kebajikan pekerja yang terjaga, kos hidup dan kos perumahan yang rendah, alam sekitar yang terpelihara, kebebasan menjadi diri kita sendiri tanpa diskriminasi, qualiti kehidupan yang bagus, dan sebagainya.

Selain itu, kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan bangsa boleh dikecapi jika semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk berdiskusi dan berkongsi untuk memajukan dan memakmurkan negara Malaysia. Pemahaman terhadap sejarah dan budaya Malaysia yang tidak berat sebelah juga penting, hal ini kerana raykat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa telah bertungkus lumus dan berpeluhkan darah untuk membina negara ini.

Perpaduan nasional atau “national unity” adalah sebuah proses, dimana nilai-nilai yang utuh dan cita-cita yang universal dijadikan asas identiti Malaysia yang kita semua boleh banggakan. Walaupun aspirasi tersebut masih jauh tetapi saya percaya jika cinta dan harapan telah membawa nenek moyang saya dan ibubapa saya memanggil Malaysia sebagai “rumah”; cinta dan harapan juga boleh menjadi matlamat arah tuju bagi membentuk identiti Malaysia masa kini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments