Rencana

Diskriminasi paksa Melayu berubah — Nizam Yatim

June 06, 2013

6 JUN — Perkara Lapan, Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kesamarataan menyebut tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras dan keturunan dalam mana-mana perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

Malangnya walaupun perkara itu termaktub dalam Perlembagaan tertinggi negara, dari segi realiti amalan itu tidak dilaksanakan terutama dalam kalangan syarikat Cina dan syarikat dimiliki pihak asing di negara ini.

Ini terbukti apabila siswazah kaum Melayu yang baru menamatkan pengajian didiskriminasikan semasa mereka memohon pekerjaan di sektor swasta yang sebahagian besar dimiliki kaum lain.

Apa yang dinyatakan ini bukan kata-kata kosong penuh emosional yang dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ultra-Melayu sebaliknya berasaskan fakta saintifik yang dikumpul hasil kajian lapangan.

Cukup unik, kajian itu dibuat oleh seorang ahli akademik Cina daripada sebuah universiti awam utama negara yang dilaksanakan untuk tujuan kajian ilmiah tanpa sebarang agenda politik.

Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan siswazah kaum Cina lebih berkemungkinan untuk dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.

Kajian selama enam bulan itu mendapati, syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina dan pihak asing lebih mengutamakan graduan kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.

Daripada 3,012 resume yang dihantar untuk 753 pekerjaan kepada syarikat terbabit, kaum Melayu hanya mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.

Kaum Cina pula mempunyai sebanyak 22.1 peratus peluang walaupun mereka mempunyai kelulusan setara dan lepasan universiti sama dengan kaum Melayu.

Kajian itu melibatkan 439 jawatan kosong di syarikat yang dimiliki kaum Cina, 131 jawatan di syarikat milik asing dan 73 jawatan di syarikat milik Melayu dan selebihnya di syarikat yang dimiliki secara bersama oleh pelbagai kaum.

Dalam erti kata lain, siswazah kaum Cina mempunyai lima kali lebih kemungkinan untuk dipanggil temu duga berbanding siswazah Melayu.

Kajian itu melibatkan siswazah yang baru menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan yang memohon bekerja dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan kewangan.

Menurut kajian itu, siswazah daripada IPTA yang dikenali dan diiktiraf iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lebih diutamakan majikan.

Sesuatu yang mengejutkan, kajian itu mendapati syarikat milik orang Melayu lebih cenderung mengambil lebih ramai siswazah Cina berbanding siswazah Melayu, walaupun perbezaan bilangan antara siswazah kedua-dua kaum tidak terlalu ketara.

Sebenarnya kajian berkenaan bukanlah kali pertama dibuat kerana beberapa kajian lain yang dibuat sejak 33 tahun lalu juga menghasilkan kesimpulan yang serupa.

Antaranya kajian pada 1980 oleh pakar ekonomi, D.R. Snodgrass yang membuat kesimpulan syarikat yang diterajui kaum Cina kebiasaannya tidak akan menggajikan pekerja Melayu.

Satu lagi kajian oleh pakar ekonomi dari Norway yang turut terbabit merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB), Tan Sri Just Faaland pada 2003 juga mendapati pendapatan pekerja bumiputera adalah 32 peratus lebih rendah berbanding pekerja Cina.

Kajian lain oleh Chr. Michelsen Institute (CMI) pada 2005 bagi pihak Bank Dunia juga mendapati bukan Cina dihalang daripada bekerja dalam sektor swasta dan sesiapa yang telah bekerja akan mengalami diskriminasi termasuk gaji yang rendah dan payah untuk naik pangkat.

Satu lagi kajian oleh pakar ekonomi Bank Dunia, Branko Milanovic pada 2006 pula mempersoalkan kenapa pekerja Cina menerima gaji lebih tinggi antara 20 hingga 40 peratus walaupun mempunyai kelayakan dan menunjukkan prestasi sama dengan pekerja bumiputera.

Fakta telah dinyatakan dan kita kini ingin bertanya apakah yang akan dilakukan oleh orang Melayu bagi memastikan mereka tidak terus dipinggirkan dalam bidang ekonomi dan sektor pekerjaan swasta di negara sendiri?

Perkara paling mudah adalah membuat desakan supaya tauke Cina menghormati Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan pekerjaan secara sama rata kepada semua etnik.

Hakikatnya desakan itu telah dibuat sejak kajian Snodgrass didedahkan 33 tahun lalu dan ia tidak pernah diendah oleh tauke-tauke Cina terbabit.

Cara lain seperti yang dicadangkan oleh ahli akademik Cina yang membuat kajian terbaharu berkenaan adalah supaya kerajaan menggubal Akta Peluang Saksama di sektor swasta dan awam serta menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi memantau pelaksanaan akta berkenaan.

Cadangan lain adalah supaya kerajaan memberikan insentif kepada syarikat yang mempunyai pekerja berbilang kaum yang seimbang.

Selain itu, orang Melayu juga perlu membuang sikap buruk mereka dan hendaklah sanggup belajar nilai etika dan budaya kaum Cina yang telah membuatkan kaum itu berjaya dalam bidang perniagaan dan kerjaya masing-masing.

Seperti yang dinyatakan dalam kajian terbaharu tersebut, diskriminasi yang dihadapi siswazah Melayu bukan disebabkan prejudis perkauman sebaliknya faktor-faktor lain.

Walaupun kajian itu tidak menyatakan apakah faktor-faktor berkenaan, komen pelbagai pihak sebelum ini menyatakan ia berpunca daripada persepsi salah bahawa pekerja Melayu tidak sanggup bekerja kuat dan tidak menghayati nilai etika dan budaya yang telah menyebabkan kaum Cina berjaya dalam bidang ekonomi.

Persepsi ini juga berpunca kerana graduan kaum Melayu dianggap berjaya mendapat pendidikan tinggi bukan hasil daripada usaha sendiri sebaliknya kerana sokongan dasar afirmatif seperti DEB.

Sebab itu, kajian terbaharu itu mendapati siswazah Melayu dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang didominasi kaum Cina yang terdedah dengan nilai etika dan budaya kaum berkenaan mempunyai lebih banyak peluang untuk dipanggil temu duga oleh syarikat milik etnik Cina.

Peluang juga lebih cerah jika siswazah kaum Melayu berkebolehan menulis, bertutur dan membaca dalam bahasa Cina.

Jika sebelum ini orang Melayu begitu ghairah untuk mempelajari nilai etika kerja orang Jepun, kenapa kita tidak mula belajar rahsia kaum Cina yang telah membolehkan mereka berjaya dalam bidang ekonomi dan pekerjaan.

Tidak mustahil pada masa depan orang Melayu akan diberikan kepercayaan untuk menerajui syarikat Cina dan kaum itu menerajui syarikat Melayu.

Ketika itu, kita sudah pasti telah mencapai apa yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai “national reconciliation” atau perdamaian kebangsaan. — utusan.com.my

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi