Rencana

Fakta menunjukkan bahawa banjir Kuantan bukan bencana alam — PKR

January 07, 2013

7 JAN — Parti Keadilan Rakyat  mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang berusaha untuk melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap banjir kilat Kuantan melalui kenyataan “jangan menyalahkan kerajaan apabila berlakunya sesuatu musibah atau bencana alam seperti banjir”.

AJK MPN Keadilan Pahang, Lee Chean Chung berkata, kenyataan Najib yang menyatakan bahawa banjir di Kuantan berlaku disebabkan Pemanasan Global dan rakyat tidak harus menyalahkan kerajaan adalah satu penipuan besar dan merupakan usaha pemimpin Umno Barisan Nasional untuk mengelirukan rakyat daripada perkara sebenar.

“Pemanasan Global merupakan satu isu yang sedang dihadapi seluruh dunia. Selama ini, pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasi kesan-kesan Global Warming.

“Apa kaitan pula dengan Pemanasan Global? Ini hanya merupakan usaha kerajaan untuk mencari alasan terhadap reaksi pihak berkuasa yang bertindak lambat dalam bencana banjir ini.”

Lee juga menafikan tuduhan Najib yang mengatakan bahawa banjir kilat pada 24hb Disember tahun lepas itu berlaku disebabkan hujan lebat luar biasa sejumlah 300ml dalam 18 jam pada hari tersebut.

“Pada tahun 2003, hujan lebat dengan jumlah hujan mencecah 400ml pernah melandai bandar Kuantan dan menyebabkan banjir. Kalau adalah benar bahawa banjir kilat kali ini satu kejadian bencana alam, mengapakah keadaan banjir dengan hujan yang lebih lebat pada tahun 2003 itu tidak seteruk banjir kali ini? Apakah sebab sebenar yang cuba disembunyikan?”

Lebih memeranjatkan, Lee berkata, Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob dan Datuk Bandar Kuantan Datuk Zulkifli Yaacob juga mengeluarkan kenyataan sebegitu dan cuba menuduh jari terhadap hujan yang lebat dan membuat kesimpulan bahawa banjir berlaku atas takdir.

“Dengan menyalahi hujan lebat dan menuduh bahawa banjir itu ditakdir, mana-mana pihak kerajaan tidak perlu menanggung sebarang tanggungjawab dalam kejadian tersebut. Padahal, sikap sebeginilah yang menyebabkab masalah banjir tidak diselesaikan dalam masa sepuluh tahun ini!”

Lee yang juga merupakan Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota PKR turut mendedahkan bahawa dia telah mendapat bukti untuk menunjukkan bahawa banjir yang berlaku pada 24hb Disember itu bukan satu bencana alam, tetapi berlaku disebabkan oleh kelalaian manusia.

“Saya mencabar pihak berkuasa supaya mendedahkan dokumen-dokumen berkaitan tentang jumlah hujan dan keadaan banjir di Kuantan dalam tempoh 10 tahun yang lepas.

“Kalau itu betul-betul sesuatu bencana alam, berilah peluang kepada orang Kuantan untuk meneliti dokumen tersebut. Mereka berhak untuk mengetahui perkara sebenar, dan jika dibuktikan bahawa banjir itu bukan satu kejadian bencana alam, warga Kuantan yang mengalami kerugian berhak menuntut keadilan daripada pihak-pihak berkuasa yang gagal melaksanakan tugas mereka ini.”

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi