Rencana

Faktor calon lebih penting — A. Kadir Jasin

January 06, 2013

6 JAN — Kita sudah bincang hal “Salah Pilih Kawan Hidup Tak Keruan” yang nampaknya makin sensasi dan sarat dengan teori konspirasi. Ramai mungkin mendapati jalan cerita dan watak-watak dalam “reality show” itu memualkan, tetapi itulah realiti “pertunjukan sebenar”.

Terima kasih kepada pembahas kerana tekun membincangkan tajuk “Bumiputera Warga Ekonomi Kelas Ketiga”. Seperti biasa dan seperti dijangka, tidak ada jawapan atau respons daripada pihak berkuasa. Tidak mengapa. Sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai, kita ada hak dan kita ada jalan. Ada ubi ada batas...

Keheningan pagi pasca subuh di desa tengah sawah dipecahkan oleh cerita ibu kepada jiran saya yang menjadi mangsa ragut di dalam kedai mamak Maidin ketika tengah hari buta beberapa hari lalu. Kota atau desa, Malaya sama saja. Janji sana janji sini, jenayah dan kemelaratan menjadi-jadi. Masya-Allah.

Dalam tampalan kali ini, mari kita bincang mengenai satu tajuk yang hangat diperkatakan, iaitu yang mana lebih penting — parti atau calon?

Saya mulakan dengan bertanya yang mana datang dulu — manusia atau parti politik? Tentunyalah manusia yang datang dulu, bermula dengan Nabi Allah Adam. Allah cipta Nabi Adam dan daripada Baginda, Allah ciptakan Hawa. Lepas itu bermulalah keturunan manusia dan evolusi yang dilaluinya.

Jadi bagi saya, manusialah yang lebih penting. Parti, persatuan dan pertubuhan adalah ciptaan manusia. Kalau manusia yang menubuhkan dan menganggotai sesebuah organisasi itu baik, maka baiklah organisasi itu. Tapi kalau orang yang menubuhkan organisasi itu jahat maka jahatlah organisasi itu. Contohnya, kongsi gelap dan sindiket jenayah.

Asal-usulnya, orang baiklah yang menubuhkan parti politik. Pada zaman penjajahan, mereka tubuh parti politik untuk tuntut kemerdekaan. Mereka bukan saja orang baik, tetapi juga cerdik, berwawasan dan kental semangat perjuangan. Mereka tubuh parti politik atas landasan perjuangan.

Jarang sangatlah orang tubuh parti untuk tujuan buruk. Tetapi kita perlu juga ingat, iaitu apa yang baik bagi seseorang, tidak semestinya baik bagi orang lain.

Misalnya, walaupun pergerakan Nazi dibenci kerana kekejamannya, tetapi masih ada orang di Barat yang cuba hidupkan semula ideologi Nazi dengan menubuhkan pergerakan Nazi baru (neo-Nazi) dan mengamalkan dasar keagungan orang kulit putih (white supremacy).

Di banyak negara bekas Empayar Soviet pula, parti komunis telah dibubarkan atau diharamkan, tetapi ada yang berjaya dihidupkan semula dan menang pilihan raya. Mereka berjaya kerana dasar dan calon mereka lebih diyakini.

Banyak juga parti yang ditubuhkan oleh orang baik dan berjasa kepada rakyat jelata akhirnya menjadi tidak baik apabila disusupi oleh orang tidak baik yang berjuang untuk diri sendiri dan abaikan rakyat jelata.

Pada zaman penjajahan, orang tak berapa kira sangat mutu pemimpin sebab yang mereka mahu adalah kemerdekaan. Masa itu, bukan orang cerdik dan baik saja menjadi pemimpin politik. Ramai yang tidak berapa cerdik dan tidak berapa baik turut menjadi pemimpin kerana mereka berani.

Hari ini, walaupun boleh kata semua negara tanah jajahan sudah merdeka, orang berani masih berguna, tetapi yang lebih kita perlukan adalah orang baik, orang cerdik dan orang bersih.

Namun, idealisme ini lebih mudah diucapkan daripada dilaksanakan kerana ramai orang baik, orang cerdik dan orang bersih tidak berminat menyertai politik atau mereka tidak diterima oleh kepemimpinan parti.

Tidak kurang pula bilangan orang baik, orang cerdik dan orang bersih menjadi korup apabila menyertai politik dan mendapat kuasa.

Jadi yang mana lebih utama, parti atau calon? Parti, persatuan dan pertubuhan akan baik kalau dipimpin oleh orang baik dan disokong oleh orang baik juga. Jawapannya, calonlah yang lebih utama.

Lagipun, dalam sistem pilihan raya kita, kita tidak pangkah parti, kita pangkah calon. Yang bertanding bukan parti tapi calon. Sebab itulah orang yang tidak berparti pun boleh jadi calon — calon bebas.

Semua parti baik. Setidak-tidaknya pun tidak melanggar undang-undang sebab itulah didaftarkan dan dibenarkan mengemukakan calon. Yang jadi masalah kepada parti adalah calon. Sebab itulah waktu penamaan calon, ada yang ditolak. Jadi dari awal lagi, faktor calon penting. Orang muflis atau yang ada rekod jenayah misalnya, tidak diterima menjadi calon.

Jadi, elok sangatlah proses penapisan calon diperketat dan dilaksanakan dengan telus dan diyakini. Seelok-eloknya calon mestilah bersih, sihat tubuh badan dan akal, baik budi pekerti dan berhemah tinggi.

Mana-mana parti pun akan kata mereka parti yang baik. Tapi kalau orang yang wakili parti tak baik, macam mana parti nak baik? Jadi, balik semula kepada hujah asal, iaitu kalau pemimpin baik, maka baiklah sesebuah parti atau pertubuhan. Tapi kalau pemimpin half-past six, macam mana parti nak jadi parti kelas dunia.

Inilah tugas berat dan dilema pengundi. Kalau mereka salah pilih kerana terlalu ketaasuban kepada parti dan kegilaan kepada pemimpin (cult) mereka juga akhirnya menderita.

Tetapi sekiranya pengundi menjadikan calon dan bukan parti sebagai faktor penentu, saya yakin parti-parti yang bertanding dan peka terhadap pemikiran semasa akan memilih calon-calon yang lebih baik, lebih bersih, lebih sihat badan dan akal, lebih muda dan lebih berwibawa.

Kayu reput, kayu hanyut, paku karat dan paku longgar bolehlah dibersarakan dan mereka duduklah diam-diam, jangan sabotaj dan bersyukurlah dengan pencen yang rakyat bagi. Pengundi, pembayar cukai dan rakyat jelata pula janganlah dewa-dewakan para Yang Berhormat dan anak bini mereka sampai mereka jadi kaduk naik junjung, lebih sudu daripada kuah. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi