Rencana

Gelombang perubahan di Kelantan — Zulkiflee Bakar

February 10, 2013

10 FEB — Jika sebelum ini kerajaan Pas Kelantan boleh memandang remeh kenyataan bahawa angin perubahan politik di negeri itu sedang berlaku tetapi kali ini, mereka tidak boleh lagi berbuat demikian.

Keadaan itu memandangkan pada masa ini sudah wujud satu gelombang perubahan sikap dalam kalangan rakyat Kelantan untuk memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) kembali memerintah.

Kesungguhan Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu rakyat Kelantan ditambah pula dengan sokongan padu Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kegigihan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah memungkinkan impian BN untuk merampas negeri yang dikuasai oleh PAS sejak 1990 itu bukanlah omong kosong.

Sudah terdapat penganalisis politik termasuk dalam pakatan pembangkang sendiri yang melihat kesungguhan Najib, Muhyiddin dan Mustapa adalah ancaman yang tidak boleh dipandang remeh oleh PAS.

Tambahan pula tekanan arus perubahan ini bukannya baru dirasai oleh kerajaan Pas Kelantan malahan sejak tahun 2009 lagi, apabila dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan di negeri itu, rakyat memberi isyarat mereka sudah bersedia melakukan perubahan.

Pada 2009, PAS yang menguasai kerusi Manek Urai dengan majoriti 1,352 undi menerima tamparan apabila hanya mampu mengekalkan kerusi itu dengan majoriti jauh merosot iaitu 65 undi sahaja dalam pilihan raya kecil yang diadakan.

Perolehan undi seumpama itu amat mengejutkan PAS. Mereka tidak menyangka sama sekali akan memperolehi undi majoriti sekecil itu.

Pada November 2010, rakyat Kelantan di Dewan Undangan Negeri kawasan Galas, memberi isyarat lebih jelas apabila menghumban PAS dalam lembah kekalahan apabila memastikan kemenangan calon BN, Abdul Aziz Yusof dengan majoriti 1,190. Sebelum itu dalam pilihan raya umum 2008, kawasan berkenaan ditawan oleh PAS dengan majoriti 646 undi.

Isyarat yang diberikan oleh rakyat Kelantan melalui dua pilihan raya kecil tersebut amat meresahkan PAS. Apatah lagi melalui gandingan Mustapa dengan Datuk Dr.Awang Adek Husin sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, parti itu semakin agresif mendekati rakyat untuk mendapat sokongan mereka.

Penulis difahamkan, berikutan sikap agresif dan gerak kerja yang dilakukan oleh Mustapa, Awang Adek dan Umno Kelantan, rakyat negeri itu semakin membuka mata dan minda untuk menyebelahi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Di beberapa kawasan Parlimen, angin perubahan begitu terasa sekali termasuklah di Ketereh, Kota Bharu, Tanah Merah manakala di Jeli, rakyat di kawasan berkenaan tidak nampak apa alasan mereka perlu menolak BN khususnya Mustapa.

Di Kota Bharu, kegigihan Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menemui rakyat dikatakan semakin menggugat penguasaan Pas di kawasan berkenaan. Begitu juga di Ketereh, apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Mohd. Alwi Che Mat dilihat pemimpin berwibawa untuk memastikan BN bukan sahaja mempertahankan kerusi tersebut tetapi juga merampas kerusi Parlimen yang kini dikuasai oleh PKR.

Dalam masa yang sama, di kawasan Kelantan Selatan, khususnya Parlimen Tanah Merah, kegigihan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berusaha meyakinkan rakyat untuk kembali menyokong BN dilihat semakin menampakkan hasil.

Ketika ini hasil kerja kuat beliau mendampingi setiap rakyat di kawasan itu melalui program-program yang dilaksanakan, rakyat Tanah Merah semakin yakin untuk menyerahkan kembali kerusi Parlimen tersebut kepada BN.

Apa yang penulis nyatakan di sini hanyalah beberapa contoh sahaja bagaimana di kawasan-kawasan tertentu terdapat angin perubahan yang cukup ketara untuk menyokong BN.

Namun begitu, BN dan Umno belum boleh berasa selesa atau berpuas hati kerana cabaran untuk merampas kembali Kelantan masih mempunyai ranjau dan duri.

Meresahkan

Sebenarnya, jika melihat kepada corak pentadbiran kerajaan negeri dan pendekatan politik Pas Kelantan, mereka tidaklah sehebat mana.

Malahan di atas kertas, penganalisis politik pembangkang meletakkan PAS mempunyai hanya 15 kerusi DUN yang dianggap cukup selamat.

Kerusi-kerusi berkenaan dimenangi dengan majoriti lebih 2,000 undi iaitu Kelaboran (2,212 undi), Pasir Pekan (4,516 undi), Chempaka (,4249 undi), Panchor (3,437 undi), Tanjong Mas (6,112 undi), Kota Lama (5,206 undi), Bunut Payung (4,341 undi), Pengkalan Pasir (2,348 undi), Chetok (2,570 undi), Meranti (3,135 undi), Pasir Tumboh (3,403 undi), Demit (4,799 undi, Tawang (3,278 undi) dan Bukit Panau (4,148 undi).

Kerusi-kerusi lain termasuklah yang diperolehi dengan majoriti sekitar 1,000 hingga 2,000 undi masih belum lagi selamat. Begitu juga dengan kerusi yang dikuasai dengan majoriti di bawah 1,000 undi, kesemuanya berjumlah sembilan kerusi. Keadaan ini sudah tentulah meresahkan Pas Kelantan dalam usaha memastikan mereka kekal berkuasa.

Apatah lagi, mereka memahami bahawa BN kali ini benar-benar berupaya menawan negeri itu memandangkan terdapat terlalu banyak masalah yang melumuri Kelantan sejak Pas memerintah mulai 1990.

Rakyat Kelantan bukan sahaja semakin bosan dengan janji-janji kosong kerajaan negeri pimpinan PAS malahan sudah ada keyakinan bahawa BN berupaya mengubah wajah negeri itu ke satu tahap yang membanggakan. Namun cabaran terbesar kepada Umno dan BN ialah bagaimana hendak menterjemahkan hasrat rakyat itu kepada bentuk undi dalam pilihan raya umum nanti.

Dalam soal ini adalah perlu sesetengah pemimpin Umno menanam tekad bahawa mereka juga ada maruah dalam berpolitik dan mereka juga berasa malu kalau BN masih belum mampu menawan Kelantan.

Perkara paling utama ialah menghapuskan apa juga usaha yang dilihat memungkinkan Umno Kelantan terus dilanda virus cah keting. Mereka perlu mendengar nasihat Najib supaya mana-mana pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon harus setia kepada parti. Janganlah pula oleh kerana ghairah hendak menjadi calon, pemimpin dalam parti sendiri mahu dicantas.

Bibit-bibit senario ini sudah dikatakan wujud di beberapa bahagian di Kelantan. Antaranya ada dalam kalangan pemimpin Umno yang berusaha memburuk-burukkan ketua bahagian sedia ada, biar pun dia mengetahui ketua bahagian berkenaan semakin popular dan mendapat sokongan rakyat.

Bagaimanapun, ramai yakin puak-puak yang semakin menampakkan wajah mereka untuk menjadi pengkhianat kepada parti tidak akan bertahan lama. Ia memandangkan, rakyat sudah bijak menilai siapa yang layak menjadi wakil rakyat mereka dan siapa pula yang tidak lagi harus diberi peluang selepas gagal melaksanakan amanah yang diberikan dengan berkesan.

Namun begitu untuk memastikan kelompok pengkhianat ini tidak bermaharajalela adalah wajar jika pemimpin-pemimpin Umno Kelantan terus bekerja sebagai satu pasukan dan tidak memberi ruang kepada pemimpin seumpama itu termasuk mahu berkompromi.

Langkah itu wajar memandangkan rakyat Kelantan kini sudah mempunyai kesedaran yang cukup tinggi untuk kembali memastikan negeri itu diperintah oleh BN. Justeru jangan biarkan impian itu tidak kesampaian hanya kerana mainan politik pemimpin tertentu.

Tambahan pula, Kerajaan Pusat dan Mustapa benar-benar ikhlas untuk mengubah nasib rakyat Kelantan supaya negeri itu yang kini di bawah pimpinan PAS tidak hanya sekadar kaya dengan slogan semata-mata. — www.utusan.com.my

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi