Rencana

Gencatan senjata kemenangan simbolik Hamas — Ismail Hashim

22 Nov —  Pada masa Tebing Gaza diserangi oleh jet pengganas Israel di mana kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdosa terkorban, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama dan Setiausaha Negara, Hillary Clinton mengadakan lawatan ke Myanmar, yang baru-baru ini menyaksikan pembersihan etnik ke atas penduduk Islam, Rohingya di wilayah Rakhine.

Obama membanggakan dirinya menjadi presiden AS pertama yang menjejakkan kami ke bumi yang rasis dengan harapan mengukuhkan proses demokrasi di Myanmar dengan janji bantuan kewangan.

Kata-kata Obama yang menjadi ingatan kepada saya: “menyokong anda dalam setiap langkah yang diambil”.

Cuba anda bayangkan perasaan Obama terhadap penderitaan dan kematian penduduk yang dihujani peluru Israel dan tiba-tiba mengunjungi Myanmar memberikan harapan positif terhadap sebuah negara seperti Israel yang membunuh muslim Rohingyas tanpa peri kemanusiaan.

Adakah ini bermakna Obama merestui dan mengesahkan tindakan regim atau junta Myanmar membantai dan membunuh minoriti umat Islam Rohingya.

Regim Myanmar enggan memperakui Muslim Rohingya sebagai warganegara dan berkata satu-satunya penyelesaian kepada krisis ini dengan menghantar mereka ke negara lain.

Atas dasar Myamarismenya, selama bertahun regim Myanmar telah memancung etnik Rohingya, menidakkan hak asasi dan dengan kejamnya membunuh secara genosid dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada mulanya saya merasakan lawatan Obama akan membuka pintu kepada mengutarakan konflik etnik Rohingya dan pembunuhan sistematik itu. Tetapi harapan saya berkecai malah lebih buruk Obama menghulurkan tangan persabahatan kepada Presiden Thein Sein dan selepas itu mengunjungi pemimpin pembangkang, Daw Aung San Suu Kyi yang jahil atau mengabaikan untuk membela etnik Rohingya.

Sikap apartheid berbau rasis ini adalah setara yang apa yang diperlihatkan oleh regim pengganas Israel sekarang yang telah menjadi Tebing Gaza bagaikan sebuah penjara terbesar di dunia.

Sehingga rencana ini ditulis, bumi Gaza telah dihujani peluru berpandu Israel lebih 1,500 kali dan lebih 130 penduduk mati syahid dan lebih 1,000 mengalami kecederaan.

Tindakan Presiden Mesir Mohamed Morsi yang membantu penduduk Gaza dengan melonggar pintu sempadan laluan Rafah telah menerima teguran dan kemarahan Washington.

Diplomat AS menggesa beliau supaya tidak berpihak dan sebaliknya berusaha perdamaian menjaga kepentingan Israel.

Jika tindakan Morsi berterusan menyokong Hamas dan Tebing Gaza, maka beliau dikatakan harus membayarnya dengan harga yang mahal, risiko penghentian bantuan berjumlah berbilion dolar AS dalam ketenteraan dan ekonomi.

Senator Lindsey Graham (wakil Republikan di Senat), memberikan amaran dengan nada keras pada Ahad lepas dengan berkata “hati-hati dengan apa yang anda laku dan bagaimana melakukannya…Anda seolah-olah ingin Kongres memotong bantuan anda dengan mencetuskan keganasan antara Israel dan Palestin.

Bayangkan seorang Senator AS di Kongres boleh memberikan amaran kepada Presiden sebuah negara berdaulat supaya berhati-hati dengan tindak-tanduknya jika tidak bantuan akan diputuskan.

Adakah ini berkaitan dengan penentangan Hamas yang agak menggemparkan pihak Israel. Sebuah negara yang tidak mempunyai tentera udara, laut atau sebarang kereta perisai apa lagi kereta kebal tetapi berjaya meancarkan roket sehingga ke Tel Aviv.

Ini juga menunjukkan tidak dapat melindungi warganya sendiri sama ada di kawasan bandar dan penempatan. Ia juga terbongkar bahawa Israel tidaklah sekuat mana, kelemahan mereka terdedah juga.

Pemimpin Israel berkata matlamat serangan ialah melindungi warganegara mereka dari serangan roket dan mortar Hamas dan kedua melemahkan keupayaan pelancar roket Hamas.

Nampak mereka telah gagal dalam kedua-dua objektif. Israel tidak boleh melindungi warganegaranya dan melindungi kawasan bandar dan penempatan.

Selepas Tentera Pertahanan Israel (IDF) mendakwa telah berjaya menghancur semua tapak pelancar roket Hamas, Uzi Rubin, pakar peluru berpandu Israel mengakui bahawa “Kita dapat andaikan keupayaan Palestin telah berjaya dihancurkan tetapi mereka masih kekal kukuh dalam aspek tindak balas serangannya”.

Apa yang dapat diihat bukan sahaja ratusan peluru berpandu berjaya dilancarkan tetapi mereka telah mengsasarkan bandar dan kawasan penempatan sesuatu yang tidak dilakukan oleh pejuang Palestin sejak penubuhan Israel.

Akibatnya untuk pertama kali sejak lebih 20 tahun para menteri dan warga Israel terpaksa mencari tempat perlindungan daripada hujan serangan roket, kilang-kilang digegarkan dan kapal terbang harus dialihkan ke tempat lain.

Pihak Israel agak terkejut dengan tindak balas Hamas yang tidak disangka-sangka malah dom besi yang dikatakan dapat menangkis serangan peluru berpandu Palestin bukan Iran Mungkin atas dasar inilah tidak dapat berbuat apa-apa.

Malah lebih mengejutkan salah sebuah peluru berpandu yang menghentam Tel Aviv didapati buatan sendiri bukannya dari Iran.

Apabila Israel mendapati tidak mengawal situasi mereka meminta lobi berkuasa mereka di Capitol Hill merencanakan suatu draf perdamaian berkepentingan Israel. Maka budak Clinton pun terpaksa membuat kerja budak pejabatnya dengan mengunjungi Baitullahmaqdis, Ramallah dan Keherah sebagai usaha mendapat persetujuan antara dua pihak bagi menyelesaikan konflik.

Pada Selasa, Hamas melalui Mesir, mencadangkan gencatan senjata yang termasuk syarat-syarat seperti menghentikan pembuhuhan; hentikan serangan roket dari Gaza, melonggarkan laluan di sempadan (walaupun tidak dibuka sepenuhnya; jaminan gencatan senjata adalah tanggungjawab kerajaan Mesir.

Pada mulanya Israel tidak bersetuju kerana tuntutan itu dikatakan tidak memihak kepada mereka. Tetapi setelah Hillary berada di Tel Avivi bertemu Benjamin Netanyahu gencatan senjata dicapai walaupun syarat sebenar dan yang muktamad itu tidak disiarkan.

Menurut Al Jazeera, Israel bersetuju dengan gencatan senjata walaupun enggan menarikan sekatan ekonomi yang membawa kepada penderitaan dan kemiskinan penduduk Palestin.

Walaupun gencatan senjata ini disokong oleh regim serantau seperti Qatar, Turki and Arab Saudi ia tidak menjamin hak-hak penduduk Tebing Gaza dilindungi dan tiada jaminan bahawa Israel akan mematuhi gencatan ini kerana bila-bila masa sahaja ia boleh bertukar menjadi perang semula.

Gencatan senjata ini mungkin digunakan Israel bagi menilai rancangan bagi menyerang dan menakluki Tebing Gaza dan membunuh penduduk Palestin.

Walau bagaimanapun gencatan senjata merupakan kemenangan simbolik bagi Hamas dan Palestin.

* Ismail Hashim adalah Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor, kampus Shah Alam.

** This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Comments