Rencana

Geopolitik, identiti dan cabaran umat Islam – Haris Zalkapli

November 14, 2012

NOV 14 – Keganasan dengan dokongan negara ke atas minoriti Muslim Rohingya di Myanmar mendapat perhatian dunia sejak tahun lalu, mencetuskan reaksi segera dari negara-negara majoriti Muslim.

Peristiwa ganas terhadap Muslim yang menjadi minoriti ini bukan sesuatu yang baharu, malah episod seperti ini berlaku berulang-ulang dan tidak pernah menyaksikan penyelesaian, walaupun sekuat mana reaksi daripada negara-negara Islam.

Di selatan Thailand, masyarakat Muslim di sana berdepan cabaran hebat yang turut melibatkan keganasan dengan dokongan negara, beserta usaha berterusan menghapuskan identiti Melayu Muslim yang menjadi ciri masyarakat tersebut.

Di Filipina, Muslim di wilayah selatannya, Mindanao, turut mendapat layanan kelas kedua daripada kerajaan, malah sentiasa dihantui label teroris.

Tiga kes ini merupakan contoh terburuk dan paling berprofil tinggi melibatkan minoriti Muslim di dunia sebelah sini, iaitu dalam kalangan negara-negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean.

Perkembangan ini, yang terus berlangsung tanpa sebarang upaya yang tersusun dan bertenaga di peringkat Asean dan kalangan negara-negara Muslim menjelaskan isu geopolitik dan identiti yang mendalam melibatkan isu minoriti Muslim di negara-negara Asia Tenggara.

Ketiga-tiga wilayah didiami Rohingya, Melayu Thailand dan Muslim Filipina merupakan wilayah yang berkepentingangeopolitik yang besar, melibatkan negara terbabit dan juga melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global.

Wilayah Arakan (kini dikenali Rakhine) di Myanmar meliputi kawasan barat daya negara itu, dengan pantai menyempadani Teluk Bengal, sebahagian daripada Lautan Hindi yang diuar-uarkan oleh pengkaji geopolitik Robert Kaplan sebagai medan persaingan masa depan yang kritikal antara Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Asia.

Di Myanmar, kepentingan tiga kuasa dunia; AS, India dan China bertemu. Myanmar yang menyempadani Lautan Hindi berkepentingan kepada China dari segi sumber tenaga, melibatkan minyak dan elektrik.

Myanmar menjadi laluan pintas bekalan sumber minyak dari Asia Barat, mengelakkan daripada melalui Selat Melaka yang dikuasai AS dan berpotensi disekat sekiranya berlaku konflik. Ini antara sebab utama China terus mahu menguasai Myanmar.

Di negara itu, AS dan China kini bersaing dengan lebih sengit untuk melebarkan dan mengukuhkan pengaruh. Selama ini, China menguasai sepenuhnya Myanmar, menjadi pembekal senjata, rakan perdagangan dan penaung politik.

Ekoran lawatan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton akhir tahun lalu, Myanmar menjadi lebih terbuka kepada Washington, dan kini mengimbangi hubungan dengan kedua-dua China dan AS.

Pada masa sama, bisnes dari negara-negara Asia tenggara terus mengambil bahagian dalam ekonomi Myanmar, memungkinkan isu-isu hak asasi dan demokrasi kurang mendapat perhatian, atau melunakkan tekanan ke atas pemerintah Myanmar ekoran kepentingan yang besar dari segi perdagangan.

Selain memungkinkan isu seperti keganasan terhadap minoriti diabaikan, persaingan kuasa serantau di Myanmar juga berpotensi menjadikan isu-isu etnik dan konflik dalaman sebagai permainan kuasa-kuasa asing untuk kepentingan geopolitik masing-masing, misalnya memberi sokongan kepada kumpulan tertentu untuk meningkatkan tekanan ke atas pemerintah Myanmar.

Di selatan Thailand, wilayah dari segi sejarahnya merupakan wilayah Melayu Muslimyang merdeka, kedudukan yang bersempadan dengan negara Muslim, Malaysia, menjadikan kawasan tersebut sangat sensitif kepada pemerintah Thailand, yang seperti juga Myanmar, negara yang kuat identiti Buddhanya.

Kesultanan Patani yang menyatukan empat negeri Melayu akhirnya lenyap dan menjadi sebahagian wilayah Thailand, ekoran perjanjian antara Siam dengan penjajah Inggeris.

Wilayah Melayu Thailand ini bersempadan dengan Malaysia, negara majoriti Muslimyang lebih mempunyai persamaan dari segi budaya dan agama dengan masyarakat selatan Thailand tersebut, terutama negeri Kelantan.

Kawasan majoriti Melayu Muslim Thailand ini meliputi satu kawasan yang besar, dan turut menyempadani perairan Teluk Thailand.

Kedudukannya yang bersempadan dengan Malaysia, persamaan identiti masyarakat di situ dengan negara jiran yang merupakan bersaingan antara satu sama lain menjadi salah satu faktor mendorong tekanan pemerintah Thailand ke atas wilayah ini.

Persamaan identiti itu dilihat boleh menggugat kesatuan dan sifat kohesif negara Thailand yang beridentiti Buddha, terutama apabila elemen pemisahan wujud dalam kalangan masyarakat di wilayah majoriti Melayu Muslim itu.

Keutuhan identiti masyarakat minoriti di wilayah selatan dilihat berupaya merapatkan lagi mereka dengan Malaysia, tidak kira sama ada Malaysia berperanan atau berkepentingan dalam hal ini ataupun tidak.

Isu kedaulatan wilayah dan identiti ialah isu tonggak bagi mana-mana negara berdaulat. Kebangkitan warga Muslim selatan Thailand yang mahu menegaskan identiti budaya dan agama dinilai dengan sangat kritikal ekoran hal ini, dan ditambah dengan sejarah dan sensitiviti melibatkan Buddha dan Islam di rantau Asia Tenggara.

Filipina, negara beridentiti Kristian Katolik mempunyai sejarah panjang melibatkan agama yang dibawa penjajahnya, Sepanyol.

Isu identiti dan sempadan dengan Malaysia juga menjadi faktor besar yang mempengaruhi geopolitikselatan Filipina atau Mindanao.

Tahun ini, 2012, ialah ulang tahun ke-10 kehadiran kembali secara besar-besaran tentera AS ke Filipina, ekoran kedudukan negara ini sebagai “barisan kedua perang melawan teror” ekoran peristiwa 11 September, 2001.

Mindanao yang juga mempunyai elemen perjuangan bersenjata menentang penguasaan dan layanan buruk Manila menjadikan wilayah itu dikaitkan dengan rapat kepada isu terorisme, dan isu ini dikuatkan lagi dengan kehadiran tentera AS, didakwa untuk memerangi al-Qaeda dan kumpulan berkaitan.

Isu yang didakwa terorisme ini membolehkan AS meneruskan kehadiran di Filipina, yang terletak di rantau Asia Pasifik, lokasi penempatan dan fokus terbaru ketenteraan AS dalam upaya menangani kebangkitan China.

Dalam hal ini, dua isu iaitu militan Islam dan kebangkitan China menjadi faktor yang membantu kehadiran tentera AS di Filipina termasuk Mindanao, dan membenarkan kerajaan Filipina terus menekan MuslimMindanao. AS kini mempunyai kehadiran tentera secara tetap di Mindanao, berpusat di Zamboanga.

Kehadiran AS sebelum ini terhenti ekoran tentangan kuat rakyat Filipina sendiri, tetapi perkembangan terbaru geopolitik serantau menyebabkan AS kembali ke Filipina, dengan misi yang dikemukakan sebagai turut memelihara kepentingan Filipina dalam berdepan China yang semakin agresif.

Filipina yang mempunyai perjanjian pertahanan dengan AS kini semakin merapatkan hubungan dengan AS ekoran apa yang dilihat sebagai ancaman China, yang terlibat dalam pertikaian wilayah perairan dengan Filipina di Laut Cina Selatan.

Hubungan rapat dengan AS ini menjadikan isu yang didakwa sebagai militan Islam dapat dilihat dan ditangani dengan sokongan AS, apabila isu berkaitan Islam diletakkan di bawah tajuk “perang menentang teror.”

Kerajaan Filipina dengan kumpulan Muslim di Mindanao telah mencapai perjanjian damai atas inisiatif Kuala Lumpur.

Perkembangan ini masih di peringkat awal, dan masa akan menentukan sejauh mana janji dan harapan perjanjian ini akan membela Muslim di wilayah itu.

Perkembangan ini walaupun menunjukkan satu perkembangan positif, sejarah panjang hubungan Manila dengan umat Muslim dan faktor geopolitik melibatkan Filipina di Asia Tenggara dijangka tidak akan mengubah segala dengan mudah.

Semua perkembangan ini menjadikan isu minoriti Muslim sebagai bergantung kepada persaingan geopolitik dan kepentingan nasional negara-negara terbabit.

Dua contoh kes terkini yang dapat diperhatikan ialah perkembangan di Syria dan minoriti Uyghur di Xinjiang, China.

Syria menunjukkan bagaimana kepentingan kuasa serantau seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki mengatasi kepentingan umat di negara Syam itu, walaupun Doha, Riyadh dan Ankara merupakan negara serantau yang kuat dan berpengaruh.

Hal ini diburukkan lagi oleh politik serantau yang semakin sektarian, ditakrif dari sudut pertembungan mazhab yang sangat divisif, dan pada masa sama badan seperti Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dipergunakan sebagai instrumen persaingan politik serantau.

Di Xinjiang, minoriti Uyghur masih tidak mendapat pembelaan, malah menjadi bidak dalam percaturan kuasa-kuasa, daripada China hingga kepada Turki yang mempunyai kepentingan geopolitik termasuk dalam hal melibatkan identiti rumpun bangsa Turki.

Amalan Asean yang tidak campur tangan dalam hal dalaman, sehingga tidak mampu untuk membuat kenyataan mengecam tindakan kejam terhadap Muslim seperti yang berlaku di selatan Thailand dan wilayah Rakhine di Myanmar menunjukkan kelemahan dan ketidakmampuan kesatuan serantau ini menangani isu tersebut.

Cabaran yang dihadapi Muslim seluruh dunia ini amat besar, tanpa kuasa besar Muslim yang berkemampuan untuk menggunakan pengaruh bagi membantu menangani isu umat yang kritikal, akibat kepentingan sendiri dan juga politik aliansi melibatkan kuasa-kuasa tertentu.

Usaha menangani masalah-masalah ini memerlukan lebih daripada sekadar pertemuan-pertemuan dan pengumuman janji-janji seperti yang biasa diadakan selama ini, tetapi kerjasama yang luar biasa merentasi perbezaan-perbezaan politik yang menjadi pencetus dan pemangkin kepada masalah-masalah tersebut.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi