Rencana

Halatuju pendidikan negara — Muhammad Nazreen

February 19, 2013

19 FEB — Laporan pendidikan berdasarkan kurikulum hanya mengalami tiga kali peralihan dan semakan secara menyeluruh. Laporan Pendidikan Negara bermula daripada Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) dan Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM) pada tahun 1960, kemudian mengalami peralihan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1983 sebelum disemak semula sekali pada tahun 2003.

Kemudian, pada tahun 2011, kerajaan Malaysia mengumumkan satu lagi peralihan kurikulum iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan menjelang 2014, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KBSM). Perubahan modul kurikulum baru ini nyata beerti sebagai perubahan kandungan teks yang dirombak secara menyeluruh, menyentuh perkembangan pedagogi yang melibatkan teknik yang multi-disiplinari serta percampuran beberapa tema penting yang menjalar di dalam subjek-subjek berbeza. 

Pada 8 Disember 2012, Teach for The Needs (TFTN), sebuah organisasi pendidikan yang menggerakkan beberapa sukarelawan terdiri daripada golongan professional dan guru pelatih telah menganjurkan Konvensyen Pendidikan TFTN di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Hasil daripada forum Halatuju Pendidikan Negara bersama Dzameer Dzuklfli (Teach for Malaysia) dan Edmond Yap (EduNation) memaparkan beberapa perspektif pendidikan negara di masa hadapan. 

Pertama, Dzameer selaku pelopor gerakan pendidikan yang berusaha untuk memperbaiki masalah ketidakseimbangan pendidikan melalui beberapa modul ekstensif. Beliau melihat halatuju pendidikan di Malaysia akan mengalami beberapa perubahan dinamik terutamanya dari segi demografi kependudukan, struktur sosioekonomi dan pertambahan akses terhadap pendidikan. Dimana, di dalam jangka masa 20-30 tahun akan datang, perubahan kurikulum secara mendasar ini mampu mencapai piawai menjelang Malaysia sebagai status negara maju 2020. Namun begitu, Cetakbiru Pendidikan Negara 2013-2025 yang dikemukakan Kementerian Pendidikan Malaysia hanya sekadar menyerlah di atas kertas manakala implementasinya sedikit meragukan terutamanya akibat pengurusan birokrasi yang lemah di setiap peringkat.

Akses pendidikan negara di tahap pendidikan rendah dan menengah membolehkan peratusan murid yang menerima pendidikan meningkat sebanyak 60-65 peratus peratus. Jadi, perbezaan jurang akses yang berbeza di kalangan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar dapat dikecilkan. Tambahan itu, kadar keputusan di dalam beberapa peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) meningkat setiap tahun pada kadar yang cukup memberansangkan. Peratusan rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan pendidikan di peringkat yang lebih tinggi pula, seperti Ijazah Pertama di universiti tempatan dan luar negara, kursus Diploma dan Sijil Vokasional meningkat kepada 20-25 peratus dan menunjukkan kadar literasi pendidikan di Malaysia berada di tahap memuaskan.

Walaubagaimanapun, analisis menunjukkan lulusan daripada sistem pendidikan di Malaysia kini di paras yang agak membimbangkan. Kualiti pendidikan negara merosot dari tahun ke tahun seperti indeks yang dikeluarkan Programme for International Student Assessment (PISA) pada tahun 2010 menunjukkan Malaysia hanya mampu memperoleh skor purata sebanyak 414 di dalam skala celik membaca dan berkongsi kedudukan yang sama dengan beberapa negara seperti Brazil, Colombia, Miranda-Venezuela, Montenegro, Thailand and Trinidad and Tobago. 56 peratus daripada pelajar-pelajar di Malaysia dijangka untuk celik dari segi pembacaan dan skor purata 414 menunjukkan bahawa peratusan pelajar yang celik membaca berada di bawah skor paras yang ditetapkan, manakala 41 peratus daripada mereka dijangka celik di dalam matapelajaran Matematik dan 57 peratus pelajar mahir di dalam matapelajaran Sains dan menguasai kemahiran aplikasi yang berguna untuk meningkatkan kadar penyertaan mereka di dalam industri sains dan teknologi kelak. 

Jadi, Malaysia dijangkakan untuk memperolehi skor purata sebanyak 422 berbanding 414 sekaligus menunjukkan kegagalan sistem pendidikan negara memperbaik kadar celik huruf negara dan meletakkan Malaysia lebih rendah daripada beberapa negara contohnya Mexico yang merupakan negara OECD yang mempunyai kadar celik huruf terendah dimana skor purata celik membaca di Mexico sebanyak 429 dan kadar median menurut PISA meletakkan skor membaca pada purata 493. Manakala, di dalam subjek matapelajaran Matematik dan Sains pula mempamerkan jurang sebanyak 10 peratus penguasaan kedua-dua subjek ini terpisah menurut jantina, dimana pelajar wanita berupaya untuk memperoleh markah yang lebih baik berbanding lelaki. Ini menunjukkan bahawa kadar celik huruf di Malaysia sahaja cukup sekali membimbangkan.

Barangkali, hal yang sebaliknya berlaku di setiap unit pengurusan pendidikan negara. Birokrasi yang berleluasa mengakibatkan organisasi pengurusan di setiap peringkat bermula daripada peringkat kementerian, pejabat pendidikan negeri, daerah sehinggalah di peringkat sekolah menyebabkan ketidakcekapan dan etika professionalisme penjawat awam menyukarkan lagi skop pendidikan diterjemah dengan lebih berkesan. Autonomi yang terhad diberikan kepada golongan ibubapa menerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta pelajar sendiri untuk terlibat dalam proses rombakan kurikulum dan dasar pendidikan negara menyebabkan berlaku ketidakseragaman di antara murid/pelajar dan staf pendidik seperti guru dan pegawai pendidikan daerah. 

Peruntukan yang dikeluarkan kerajaan Malaysia di dalam Belanjawan Negara 2013 menunjukkan bahawa peruntukan di dalam bidang pendidikan pada tahun ini sahaja mencecah RM50 billion dan merupakan antara bidang yang menerima peruntukan terbesar daripada hasil pendapatan negara. Tetapi, perkara yang mendukacitakan adalah banyak peruntukan ini dihabiskan di peringkat kementerian dan pejabat pendidikan dengan mengadakan seminar-seminar yang tidak memberikan manfaat dan akibatnya, berlaku pembaziran yang besar daripada peruntukan yang diberikan. Tambahan pula, sekolah-sekolah tidak menerima peruntukan terus daripada kerajaan. Akibatnya, pembaziran terus terjadi kerana mereka yang berada di kementerian tidak mempunyai pengurusan yang cekap dan pihak sekolah yang lebih arif terhadap permasalahan sendiri yang mereka hadapi terpaksa melalui proses birokrasi yang panjang untuk mendapatkan peruntukan. Proses birokrasi seperti ini juga terpaksa menelan belanja daripada peruntukan yang diberikan, dan sekiranya pihak sekolah tertentu tidak perlu menjalani proses birokrasi yang meletihkan ini, pasti banyak daripada perbelanjaan dapat dijimatkan.

Ternyata, perkembangan pendidikan negara mengalami perubahan yang progresif. Semenjak kemerdekaan negara pada tahun 1957 sehingga kini, kadar populasi yang menerima akses terhadap pendidikan sekolah rendah bertambah dengan jayanya. Pada tahun 1957, purata rakyat Malaysia yang menerima akses pendidikan peringkat rendah hanya sekitar 5 peratus, dan jumlahnya semakin bertambah. Menjelang 2012, jumlah rakyat Malaysia yang menerima pendidikan rendah adalah 96 peratus, kadar kemasukan ke peringkat sekolah menengah rendah (tingkatan 1-3) meningkat sehingga 87 peratus dan sekolah menengah tinggi (tingkatan 4-5) pada tahun 1980an sekitar 45 peratus kepada 78 peratus pada tahun 2011. Dengan peruntukan lebih 16 peratus daripada belanjawan negara di dalam sektor membolehkan kadar pertumbuhan pendidikan merebak dengan cepat sekaligus merapatkan jurang perbezaan taraf pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar. Kadar kemasukan pelajar ke sekolah swasta juga bertambah sekitar 96 peratus peringkat rendah, 91 peratus di peringkat menengah rendah, 82 peratus di peringkat menengah tinggi.Kadar celik huruf di kalangan remaja juga bertambah sebanyak 88 peratus pada tahun 1980 kepada 99 peratus pada tahun 2011 manakala buta huruf di kalangan dewasa daripada 60 peratus pada tahun 1950an menurun kepada 10 peratus pada tahun yang sama. Lantas, sistem pendidikan Malaysia secara umumnya menjalani beberapa transformasi yang berkesan. 

Falsafah Pendidikan Negara 1996 menjelaskan “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. “Jadi, tujuan asas pendidikan negara bukanlah semata-mata untuk memulihkan masalah butahuruf tetapi hal yang meruncing lagi adalah bagaimana untuk memastikan wujudnya kesaksamaan pendidikan yang bukan sahaja diukur daripada kemahiran intelektual tetapi juga bagaimana sistem pendidikan ini dapat melahirkan para pelajar yang kritis terhadap urusan sosial, politik dan ekonomi negara. 

Pada masa yang sama, produk daripada sistem pendidikan ini dapat menterjemahkan kemahiran mereka sebagai warganegara yang aktif dalam penyertaan kenegaraan dan bertanggungjawab di dalam masyarakat sebagai organ yang menjana perkembangan sosial.

Perkembangan kognitif pendidikan seperti yang digariskan di dalam Cetakbiru Pendidikan Kebangsaan menjurus kepada pengetahuan yang meluas dari segenap sudut. Kandungan terhadap pengetahuan yang diberi julukan sebagai 3R (Reading, wRiting, aRithmetic) atau (Pembacaan, Penulisan, Ilmu Hisab) ditekankan secara menyeluruh bersesuaian dengan beberapa penilaian antarabangsa seperti  Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in Mathematical and Science Studies (TIMSS) untuk mengukur sejauh mana perkembangan pendidikan negara. Malaysia menyertai TIMSS pada tahun 1999 dan hasilnya menunjukkan hampir 10- 15 peratus daripada murid di Malaysia gagal dalam penilaian awal subjek matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah.

Isu “Polisi Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris” atau PPSMI yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2000 menambahkan lagi kerumitan di kalangan ramai pelajar terutamanya mereka yang menetap di penempatan luar bandar untuk menguasai Bahasa Inggeris dan asas Matematik sekaligus. Kadar penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah di kalangan pelajar menyebabkan peratusan skor subjek Matematik dan Sains sedikit menurun. Masalah penguasaan yang lemah akibat daripada pertuturan bahasa Inggeris bukanlah bahasa ibunda mereka kerana rata-rata daripada rakyat Malaysia memilih untuk bertutur dalam bahasa Malaysia (bahasa rasmi persekutuan) menambahkan jurang perbezaan ketara di sekolah bandar dan sekolah luar bandar. Akses Bahasa Inggeris yang terhad di kawasan pedalaman dan luar bandar menyulitkan lagi para murid untuk mengikuti sukatan pelajaran yang 

MASALAH DAN KRITIKAN TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DAN PELAN CETAKBIRU PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2013-2025

Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Malaysia 1957 menjelaskan “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain”. Jadi, perkara ini menjelaskan bahawa setiap warganegara di Malaysia dibolehkan untuk mempelajari bahasa-bahasa lain selain daripada Malaysia. Walaubagaimanapun, isu yang lebih memberatkan kini tetapi tidak dinyatakan secara lanjut adalah berkenaan nasib sekolah-sekolah vernakular bahasa seperti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil  (SMJKT) tidak dinyatakan halatujunya secara komprehensif dan mendalam.

Tambahan pula, menurut Penyata Razak 1956, tujuan pendidikan di Malaysia adalah: 

Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah

Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu

Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan

Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan

Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih , lieral dan progresif

Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan.

Jadi, Pelan Cetakbiru Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 tidak menyatakan secara jelas bagaimana jenis sekolah vernakular bahasa ini mendapat tempat supaya tidak tercicir di dalam menuju pembaikan pendidikan bersama.  Masalah sistem pendidikan vernakular ini mula mendapat tumpuan ramai apabila Pelan Cetakbiru Pendidikan Kebangsaan seolah-olah meminggirkan tuntutan pejuang-pejuang pendidikan bahasa seperti Dong Zong *(Pertubuhan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu) yang merasakan sekolah vernakular dipinggirkan oleh kerajaan. Sepertimana yang dijamin di dalam Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Malaysia 1957, setiap daripada warganegara harus diberikan peluang untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka dan kerajaan harus prihatin terhadap nasib-nasib pendidikan mereka. Namun, tiada satu pun pelan yang dinyatakan secara langsung di dalam Pelan Cetakbiru Pendidikan Kebangsaan menunjukkan bahawa kerajaan bersedia untuk membincangkan masalah ini bersama kumpulan pejuang bahasa-bahasa ibunda mereka. Bahasa merupakan sebahagian daripada kebudayaan penting yang diwarisi oleh setiap etnik. Jadi, seharusnya perangkaan Pelan Cetakbiru Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 dibuat dengan kepekaan yang mengambil sudut kepentingan semua pihak, bukan objektif yang ditentukan di peringkat pusat sahaja.

Lantaran, seperti yang dibincangkan di dalam Pelan Cetakbiru Pendidikan Kebangsaan, kita dapat melihat pendekatan yang diambil adalah bersifat ‘top-down approach’ dimana badan eksekutif sahaj yang mempunyai autonomi penuh untuk merangka dan menggubal dasar sedia ada. Perkara ini bermasalah kerana dasar yang menjadi penentu aras hala tuju negara tidak dibincangkan di peringkat akar-umbi . Jadi, bagaimanakah negara selaku institusi mampu memilih keperluan mendasar masyarakat sekiranya setiap keputusan penting yang harus diperbincangkan bersama hanyalah ditentukan daripada atas dan intergrasi di antara rakyat dan institusi kerajaan tidak dapat dipaksikan secara simbiotik.

Jadi, adakah sebelum Pelan Cetakbiru Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 melalui perbincangan setara di setiap peringkat tempatan mahupun kebangsaan? Pelan ini hanya bersifat satu hala dimana kerajaan sebagai institusi meluncurkan pelan pendidikan tanpa melalui siri perbincangan yang intensif dan diwacanakan kepada setiap kelompok. Malahan, para pelajar seharusnya berada di dalam sebahagian wakil pembuat dasar untuk menentukan bagaimana mereka mampu untuk menselesakan diri dengan adaptasi keadaan pendidikan baru yang berubah wajah ini. Selain itu, para ibu-bapa perlu terlibat sama untuk menawarkan perspektif mereka tentang bagaimana dasar ini dijalankan kelak. Tetapi, kelihatannya, perancangan ini sama sekali tidak peka terhadap tuntutan yang disuarakan setiap kelompok secara mendasar.

 Perkara yang sering dihadapi di dalam sistem pendidikan negara adalah masalah kebanjiran siswazah perguruan sehinggakan mereka terpaksa ditapis untuk berkhidmat di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Menurut angka yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Malaysia pada tahun 2009, umlah sekolah dibawah kelolaan KPM berjumlah 9,844 buah dengan 7,655 buah adalah sekolah rendah dan 2,189 buah pula sekolah menengah. Jumlah murid disemua sekolah tersebut berjumlah 5,416,924 orang dengan 3,111,948 orang lelaki dan 2,304,976 orang perempuan.Bagi sekolah rendah , terdapat 219,766 orang guru di bawah KPM. Daripada jumlah itu, 67,947 orang adalah guru lelaki dan 151,819 orang adalah guru wanita. Peratus guru lelaki berbanding jumlah keseluruhan adalah 31 peratus dan guru wanita adalah 69 peratus. Manakala bagi sekolah menengah, terdapat 166,265 orang guru di bawah KPM.

Daripada jumlah itu, 53,825 orang adalah guru lelaki dan 112,440 orang adalah guru wanita. Peratus guru lelaki berbanding jumlah keseluruhan adalah 32 peratus dan guru wanita adalah 68 peratus. Jumlah keseluruhan guru adalah 377,031 orang.Bagi bukan guru (kakitangan sokongan) terdapat sejumlah 36,971 orang di sekolah rendah dengan pecahan 13,463 orang lelaki dan 23,508 orang wanita. Di sekolah menengah, terdapat 17,994 orang lelaki dan 29,982 orang wanita yang membawa jumlah 47,976 orang. Jumlah keseluruhan bukan guru adalah seramai 84,947 orang. Akibatnya, jumlah siswazah perguruan yang besar dan tidak setara dengan keperluan utama sekolah-sekolah menyebabkan ramai di antara mereka tidak layak untuk diserap ke dalam perkhidmatan perguruan.

Masalah guru-guru yang tidak berkualiti turut menyumbang kepada peratusan yang menyebankan sistem pendidikan negara semakin lompong dan membimbangkan. Malah, setelah para guru sudah bersama kontrak yang ditetapkan jabatan pendidikan, dan mereka didapati kurang berprestasi di dalam kerjaya. Tiada ‘exit policy’ atau polisi keluar menyebabkan ramai guru-guru yang tidak berkualiti ini dimampatkan di dalam sistem sekaligus taraf kualiti pendidikan negara semakin merosot. Sepertimana yang biasanya berlaku, para guru yang kurang baik dari segi prestasinya dihantar ke sekolah-sekolah pedalaman, manakala guru yang menunjukkan pencapaian yang baik dihantar ke sekolah-sekolah bandar. Perkara ini sangat bermasalah kerana kebanyakan pelajar yang memerlukan fokus adalah mereka yang berada di penempatan pedalaman akibat kurangnya akses terhadap media massa seperti televisyen dan Internet. Juga, peruntukan untuk kelas tuisyen yang berkurangan di kawasan luar bandar sebenarnya meningkatkan lagi jurang pendidikan bandar-luar bandar.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi