Rencana

Institut OEKO Eropah lapor operasi Lynas tidak selamat — Huzir Sulaiman

January 31, 2013

31 JAN — Memetik kenyataan akhbar yang dikeluarkan Institut OEKO Eropah yang berpengkalan di Jerman pada 28hb Januari 2013, kilang LAMP milik Lynas di Gebeng, Kuantan dikatakan mempunyai beberapa kelemahan dari aspek operasinya termasuk kesan daripada operasi kilang itu kepada alam sekitar. 

Laporan kajian setebal 114 mukasurat yang disediakan oleh Gerhard Schmidt, seorang pengkaji senior yang mempunyai 23 tahun pengalaman dalam pengurusan dan pelupusan sisa nuklear, pembersihan dan pemulihan lokasi tercemar khususnya yang berkaitrapat dengan lokasi perlombongan uranium dan lokasi simpanan sisa, perlindungan radiasi, isu keselamatan kemudahan infrastruktur termasuklah berpengalaman luas di dalam kajian impak alam sekitar dan kajian sisa merbahaya merumuskan hasil penemuan ini. 

Selaku wakil kepada badan bebas yang terlibat secara langsung dalam projek yang melibatkan penggubal undang-undang negeri dan persekutuan di negara itu, beliau menyenaraikan beberapa hasil dari kajian saintifik beliau di dalam laporan tersebut, diantaranya ialah:

● Kawasan sekitar telah dicemari bahan asid pada kepekatan yang tinggi yang tersebar melalui udara dalam bentuk zarah habuk.

● Pusat simpanan sisa radioaktif dan sisa toksik tidak dapat mencegah pengaliran keluar sisa-sisa itu daripada mencemari tanah dan air bawah tanah.

● Cadangan pelupusan sisa buangan jangka panjang yang berkaitrapat dengan keselamatan radiasi pada situasi atau keadaan yang diterimapakai masih tidak kelihatan.

● Harapan bahawa sisa buangan boleh digunasemula oleh pihak awam adalah mengarut/merepek dari aspek saintifik dan teknikal. Tindakan ini akan membahayakan orang awam dan tidak seharusnya diteruskan.

● Anggaran kasar 1.2 juta tan sisa WLP yang dihasilkan dari Kilang LYNAS haruslah dilupuskan dengan segera di Pusat Pelupusan Kekal atau “Permanent Disposal Facility (PDF)” yang masih tidak kelihatan sehingga ke hari ini. Operasi kilang Lynas tidak seharusnya diluluskan tanpa Pusat Pelupusan Kekal atau PDF itu.

● Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Lynas, AELB dan MOSTI tidak bertanggungjawab apabila tidak mengenalpasti, mengambilkira malah menghormati kriteria dos.

● Kemudahan Simpanan Residu atau “Residue Storage Facilities (RSF)” yang dibina di kilang Lynas di Gebeng, Kuantan untuk menyimpan residu/sisa dengan menggunakan hanya 1mm lapisan HDPE dan satu lapisan 30cm tanah liat tidak akan diluluskan di Negara Jerman malah untuk sisa toksik yang paling rendah kategorinya sekalipun. Isu kelembapan lapisan RSF ketika waktu hujan dan ketika musim tengkujuh termasuklah keperluan pengeringan untuk simpanan sisa WLP di atas RSF yang tidak diambil kira oleh LYNAS, Kemudahan Simpanan Residu atau RSF itu tidak seharusnya diluluskan oleh agensi yang berkaitan (AELB).

● Peralatan Penapisan yang kini digunapakai kilang Lynas untuk mengurangkan pelepasan gas ketika operasi tidak mencukupi/memadai. Malah berdasarkan teknologi terkini di Eropah, penggunaan peralatan yang sedia ada tidak akan diluluskan. 

● Sisa air yang dihasilkan dari kilang Lynas mengandungi kandungan garam yang tinggi yang hampir sama dengan air laut. Kandungan bahan ini tidak pernah disebut malah tidak pernah dikaji di dalam Kajian Impak Alam Sekitar (PEIA) yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (DOE) pada tahun 2008.

● Lokasi pengaliran air sisa yang terbuka sejauh beberapa kilometer boleh dimasuki manusia dan binatang. 

● Kandungan garam malah nadir bumi dari sisa air itu tidak dihadkan malah tidak diawasi. Sesuatu yang sukar difahami kenapa isu alam sekitar yang amat serius seperti ini tidak dikesan malah diperiksa oleh pihak yang berkenaan ketika Kajian Impak Alam Sekitar ini dilakukan pada tahun 2007 lagi.

● Kajian dan kawalan ancaman ketika proses pengeluaran/operasi tidak dilakukan sepenuhnya khususnya yang berkaitrapat dengan langkah kawalan kebocoran tangki simpanan, pelepasan wap asid sulfurik ke udara dan kebakaran akibat penggunaan bahan mudah bakar dari penggunaan bahan kimia (asid sulfurik dan asid hidroklorik) pada kuantiti yang banyak.

Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang yang juga AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang dan Pengerusi Stop Lynas Coalition (SLC), Andansura Rabu ketika dihubungi selepas pendedahan laporan kajian saintifik ini mengakui wujudnya kepincangan perancangan rekabentuk dan operasi kilang Lynas semenjak awal lagi malah sebahagian hasil kajian yang dilakukan Institut OEKO dari Jerman itu mirip beberapa isu yang pernah dibangkitkan PAS dan Kumpulan Anti-Lynas sebelum ini.

“Saya ingin mencabar semua pihak yang berkenaan khususnya AELB, Menteri Besar Pahang, Mustapa, Maximus Ongkili dan Najib untuk menjelaskan setiap butiran kajian itu dengan terperinci kerana jelas semua isu yang dibangkitkan Gerhard Schmidt yang mewakili Institut OEKO Eropah itu mempunyai asas saintifik dan fakta teknikal yang kukuh. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa Lesen Sementara Operasi(TOL) perlulah dibatalkan dan operasi kilang LAMP milik Lynas haruslah dihentikan serta-merta demi keselamatan dan kesihatan penduduk setempat termasuklah ancaman kepada Alam Sekitar”, ujar beliau yang kecewa dengan sikap AELB, MITI dan MOSTI yang tidak mengendahkan tuntutan mereka untuk membatalkan Lesen Sementara Operasi (TOL) semenjak penyerahan memorandum ke MITI akhir tahun yang lalu.

* Huzir Sulaiman adalah setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi